ALHAMDULILLAH.
KENYANG. PAPA MASAK NASI, TELUR MASAK KICAP DAN SAYUR CAMPUR. SEDAP PAPA MASAK.
Kalau dibezakan masa papa muda dengan papa sekarang jauh berbeza lah. Aku lagi
lah, semuanya harap Bibik Indah saja, sekarang kena buat sendiri. Bila lah aku
hendak masak untuk papa pula. Malam ini boleh kut? Tetapi bagaimana hendak
memasak? Untuk diri sendiri boleh lah, untuk papa??? Hmm , kena belajar memasak
lah selepas ini. Semua itu tanggungjawab anak perempuan.
Dia datang
bekerja dengan hatinya senang.Lupa sengketa antara dia dan Tengku Farel Hakimi
pagi tadi. Tidak ingat langsung akan kata-kata lelaki itu yang telah menyakiti
hatinya hari ini.
“Mia, Tengku
Farel tunggu di kafetaria sekarang!”beritahu Lina sebaik saja nampak
kelibatnya.
“Okey!”
jawabnya sepatah dan terus ke sana. Hanya ada mamat sawan tu seorang saja. Jam
di tangan tepat pukul dua tengah hari.
“Semua nak
kena cakap ke dengan awak?” ucap Tengku Farel Hakimi kepadanya. Aik. Aku datang
tepat pada masanya pun aku kena marah?
“Saya
datang tepat pukul dua, Tengku Farel!” jawabnya hairan.
“Bukan
kerana masalah. Di sini ada peraturan. Waktu tengah hari tidak boleh keluar
makan di luar ataupun di rumah awak, faham!”
terang Tengku Farel Hakimi. Ikut peraturan negara mana pula agaknya,
sampaikan tak boleh makan di tempat lain. Lagipun aku pulang ke rumah aku saja
lah. Bukan merewang ke tempat lain.
“Undang-undang
negara mana Tengku Farel terima pakai nih? Saya tak pernah dengar pun!” jawab
Damia Azra. Aku baru jumpa dengan papa,
dan mahu menikmati saat-saat indah bersama. Bukan senang hendak makan tengah
hari dengan papa, jadi apa salahnya aku makan tengah hari dengan papa dan boleh
juga berbual mesra dengan papa. Papa hendak tahu juga apa yang berlaku terhadap
anak gadisnya ini sepanjang kami berpisah, aku pun hendak mendengar juga cerita
suka duka papa.
“Awak
bekerja dengan sayakan, bukan bekerja dengan jusco pun, jadi awak kena dengar
cakap saya!”
“Tapi
bekerja dengan jusco lagi bahagia, bos pun baik dari kerja dengan awak yang
tidak berperikemanusiaan,” ucap Damia Azra. Betul kan? Mr. Chong baik sangat
dengan aku walaupun dia bangsa asing. Kau?? Harap muka segak pun sudah tak
segak lah sebab perangai buruk.
“Jangan
banyak cakap, mulai esok awak kena berada di sini ketika waktu rehat sekali
pun. Kalau boleh makan di sini juga!”
“Tak mahu
lah, semua arahan awak saya ikut tetapi yang ini saya tak nak. Saya tetap nak
balik makan dengan papa saya!”
“Kenapa?
Papa awak lebih penting dari segala-galanya ke?” marah Tengku Farel Hakimi.
Tiba-tiba dada Damia Azra naik sebak bila sebut nama papa. Tiba-tiba dia
seperti mahu menangis kerana tidak pernah lagi ada seorang lelaki yang menjerit
dan memarahinya sampai begitu sekali.
“Jangan
kaitkan papa saya dalam hal ini. Awak boleh marah saya, awak boleh kutuk saya,
tetapi jangan sesekali awak sentuh nama papa saya!” marah Damia Azra dalam
keadaan menangis. Hati mengapa begitu lemah semenjak bertemu dengan papa semula?
Air mata, mengapa terlalu murah harganya sejak ada papa?
Tengku
Farel Hakimi terkedu. Apa aku sudah buat ini? Papa Damia Azra adalah lelaki
yang aku hormati, kenapa aku marah si anak kaitkan si bapa pula? Sahih, Damia
Azra balik mengadu kepada Pak Cik Omar petang nanti. Apa alasan aku? Sengaja
mainkan perasaan anaknya? Dicapai kotak tisu yang berada di atas meja lalu
dihulurkan kepada Damia Azra. Damia Azra menolaknya. Ooo, mudahnya kau. Sudah
lah sakitkan hati aku, pujuk dengan kotak tisu saja. Ah, nak buat-buat menangis
lah. Biar padan muka Tengku Farel Hakimi.
“Kenapa
Mia?” soal Nik Safuan apabila melihat Damia Azra menangis teresak-esak. Tengku
Farel Hakimi hilang punca. Makin ramai staf yang mengelilingi Damia Azra
sekarang. Damia Azra diam tidak memberi
jawapan.
“Kau buat
apa ni?” marah Nik Safuan kepada Tengku Farel Hakimi pula. Damia Azra berjalan
masuk ke ruang dapur membiarkan Tengku Farel Hakimi disoal jawab oleh Nik
Safuan. Masuk di ruang dapur hanya ada tiga orang chef yang sedang memasak,
yang menolong mencuci pinggan hanya seorang saja. Aik? Resort punya besar
seorang saja tukang cuci pinggan mangkuk? Damia Azra mengesat air matanya.
Mudahnya aku menangis tadi kerana terlalu sakit hati dengan sikap Tengku Farel
Hakimi. Tetapi apabila melihat muka Tengku Farel Hakimi pucat lesi, dia ingin
ketawa saja. Hahaha.., Baru kau tahu aku siapa?
“Mia
tolong boleh?” pintanya kepada seorang perempuan yang berpangkat kakak.
“Boleh,
Mia cuci dengan air sabun selepas itu biar akak yang cuci dengan air bersih.
Hari ini Kak Nor cuti, anak dia tak berapa sihat!” beritahunya. Terpandang name
tag yang dipakai. Maznah namanya.
“Tak
mengapa, biar Mia tolong!”pinta Damia Azra.
Dia menyinting tangan baju kurungnya supaya tidak terkena air. Maznah
menghulur apron untuk dipakaikan ke badan agar baju tidak kotor. Baru dua biji pinggan yang dicuci, Tengku
Farel Hakimi berdiri di sebelahnya.
“Maz, awak
tolong Lina di bahagian kaunter yer, pinggan mangkuk ini biar saya yang cucikan
hari ini!” ucap Tengku Farel Hakimi perlahan. Dengan staf lain boleh pula kau
cakap lemah lembut, dengan aku macam nak makan aku saja.
“Baik,
Encik Farel!” Damia Azra tidak tentu
arah bila lelaki itu berdiri hampir di sebelahnya.
“Encik
Farel, masak sekali lepas ini, saya nak balik awal, sebab nak bawa tunang pergi
tengok baju pengantin!” sampuk seorang chef di bilik memasak.
“Okeylah.
Saya ganti lepas ini!” ucap Tengku Farel Hakimi menunggu pinggan yang dicuci
dari Damia Azra yang tidak bergerak pun. Serba tidak kena. Hendak membasuh satu
pinggan pun terasa terseksa. Tangan licin dek air sabun menyebabkan dia
terkial-kial untuk membasuh pinggan. Apa tah lagi lelaki itu sedang memandang
ke arahnya, lagi lah gelabah. Kalau
jatuh pinggan ini ke lantai pastinya aku kena marah lagi.
“Mia, kita
tukar tempat biar saya yang cuci dengan air sabun!” ucap Tengku Farel Hakimi.
Kenapa? Kau nak pujuk aku ataupun nak ambik hati aku setelah kau lukai hati aku
tadi? Begitu? Damia Azra buat tidak dengar. Tangannya tetap mencuci pinggan
yang kotor lalu diberikan kepada Tengku Farel Hakimi. Buat sajalah hendak tukar
kenapa pula?
“Mia..,”
panggil Tengku Farel Hakimi. Damia Azra langsung tidak ambil pusing, malah
tangannya semakin lincah membasuh pinggan.
Tengku Farel Hakimi hilang punca. Hendak berlembut ke? Mana boleh, aku
bos di tempat ini. Jatuh lah maruah aku.
Selesai
membasuh pinggan, tetapi Damia Azra tidak bersuara walaupun sepatah perkataan.
Dibiarkan Tengku Farel Hakimi berbual dengan staf yang lain tetapi dia diam
seribu bahasa. Biarlah apa saja dia orang mahukan katakan kepadaku, aku sombong
ke, aku berlagak ke, aku sudah tidak peduli tetapi hari ini hatiku sedikit
terluka kerana ada orang mengaitkan papa atas sikap aku. Kenapa? Teruk sangat
ke kami ini? Memang aku tidak puas hati dengan Tengku Farel Hakimi ini. Ingat
dia kaya, dia anak orang bangsawan, dia boleh kata apa saja kepada orang yang
susah seperti aku? Hebat sangat ke dia, sampaikan menghina aku?
Sebelum
melangkah pulang, dia membersihkan dahulu kawasan di dapur dan di bilik masak.
Di susunnya pinggan mangkuk di atas rak. Kemas dan sedap mata memandang. Pandai
Damia Azra menyusun pinggan-pinggan tersebut.
“Kak Lina,
Mia balik dulu!” beritahu Damia Azra. Ketika itu Lina dan suaminya, begitu juga
dengan Tengku Farel Hakimi berada di kaunter penyambut tetamu.
“Okey,
baik-baik berjalan yer!” pesan Lina. Damia Azra mengangguk. Wajah Tengku Farel
Hakimi dan Nik Safuan langsung tidak dipandangnya. Benci.
Sepanjang
jalan pulang ke rumah, dia tahu ada
orang sedang mengekorinya. Siapa pula nih? Damia Azra mempercepatkan langkah
tetapi tersekat kerana lelaki itu bersama seorang rakannya sudah berada di
sebelahnya.
“Hai cik
adik manis, boleh berkenalan?” soal lelaki bermisai lebat yang mengerunkan.
Siapa pula? Damia Azra ingin berlari tetapi disekat oleh lelaki bermisai.
“Nama saya
Johan, cik adik pula?” sambung Johan sambil menghalang perjalanan Damia Azra.
“Tepi
lah!” ujar Damia Azra sambil menepis tangan Johan yang sedang mendepang
menghalang langkahnya.
“Jangan
lah garang cik adik manis!” balas Johan cuba memegang bahu Damia Azra tetapi
Damia Azra lebih tangkas menghalang tangan Johan dari merayap di atas bahunya.
“Oo, main
kasar yer..,” kata Johan mahu menangkap Damia Azra tetapi ada sepasang tangan
yang menepis tangan Johan.
“Eh, Tengku!”
ucap Johan, sedikit ketakutan.
“Kau nak
buat apa Johan?” marah Tengku Farel Hakimi . Kau memang tak ada kerja lain ke
selain kacau perempuan, sekat perempuan ketika berjalan, usik perempuan dan
sebagainya lagi. Bukan Damia Azra saja yang diganggu oleh Johan dan rakannya
ini, semua gadis di Tanjung Rhu sudah diganggu oleh mereka berdua.
“Saya...,”
ucap Johan tersekat-sekat.
“Kau
nampak penumbuk aku nih, kau ganggu perempuan ini lagi, kau siap. Aku belasah
kau cukup-cukup!” marah Tengku Farel Hakimi memberi amaran. Damia Azra sudah
pun menghilang dari situ. Tengku Farel Hakimi cuba mengejar tetapi Damia Azra
sudah pun sampai ke rumah.
Ada juga
orang tak senonoh di Tanjung Rhu ini? Ingatkan sudah tiada orang yang
berperangai buruk seperti itu. Siapa namanya tadi? Johan?? Cukuplah hari ini,
Johan. Kalau esok kau ganggu juga aku, siaplah kau! Ujarnya geram.
“Pergi
mandi, nanti nak pergi belajar mengaji di rumah tok pula!” suruh papa sebaik
nampak muka Damia Azra yang kepenatan. Baru sudah berlari ke? Siapa yang kejar
anak aku ini? Ada orang menganggu ke? Andainya ada, siapa? Budak Johan?? Siapa
tidak kenal Johan di kampung ini, semua orang kenal Johan yang nakal dan suka
mengusik budak-budak perempuan, apa tah lagi budak perempuan yang cantik
seperti Damia Azra.
“Baik
papa. Mia nak rehat sebentar, lepas tu nak mandi!”
“Okey,
rehat lah diri tetapi ingat jangan terlena waktu petang begini, tak elok lah,
Mia!”
“Okey,
papa!”
Semangatnya
hendak pergi belajar mengaji di rumah tok hari malam ini. Mia, akan penuhi
permintaan papa, percayalah. Mia akan belajar dengan tekun sekali dengan tok
bermula malam ini. Rasa malu sudah pun dibuang jauh-jauh. Apa hendak malu? Aku
bukan buat perkara jahat pun. Jadi, aku mahu pergi awal malam ini untuk belajar
mengaji dengan anak-anak kecil yang setiap malam bertandang mencari ilmu
akhirat di rumah tok.
Selepas
solat mahgrib dengan papa, dia terus berjalan kaki menuju ke rumah tok.
Nasibnya baik kerana Tengku Farel Hakimi tiada di situ. Lelaki ini tidurnya di
mana? Di rumah tok dan tok wan atau pun ada rumah sendiri? Soal hati Damia
Azra.
“kakak,
nak belajar sekali dengan kami ke?” soal Melur yang berusia sembilan tahun.
Damia Azra tersenyum dan mengangguk saja.
“Yeyeye,
seronok, dapat kawan dengan akak yang cantik ni. Akak apa nama?” soalnya riang.
“Kak Mia!”
jawab Damia Azra. Ada pemisah di sini. Kanak-kanak perempuan termasuk dirinya
belajar dengan tok, manakala kanak-kanak lelaki belajar dengan tok wan di bilik
sebelah sana. Jadi, tidak bercampur lelaki dan perempuan. Ada seramai tujuh orang kanak-kanak
perempuan, masuk dengannya jadi lapan orang.
Kanak-kanak itu satu persatu datang memperkenalkan diri kepadanya.
Kebetulan Damia Azra ramah dan cepat mesra. Semua kanak-kanak kecil itu suka
kepadanya.
Ya Allah,
tenangkan hatiku dan terangkan hatiku, untuk mempelajari ilmu MU ini. Lapang
dadaku dan bimbinglah aku ke jalan yang ENGKAU redhai. Amin.
Damia Azra
otaknya pintar dan cepat boleh. Dengan mudah dia dapat mengenal semua
huruf-huruf jawi itu. Lancar dan laju. Tok pun tidak sangka, Damia Azra cepat
boleh dan mudah dapat menangkapnya. Semua kanak-kanak sudah pulang ke rumah
masing-masing, hanya tinggal mereka berdua saja.
“Mia, nak
sambung lagi?” soal tok. Sekarang sudah pukul 10.30 malam. Iqra tahap satu
sudah pun hampir habis. Esok boleh sambung Iqra tahap dua dan seterusnya.
“Mia, nak
balik. Lagi pun kasihan kat tok sejak dari tadi tak berehat,” kata Damia Azra.
“Okey lah,
esok pagi Mia pun nak kerja kan? Malam esok kita sambung lagi!” kata tok sambil
menepuk bahu Damia Azra dengan mesra. Dia mengangguk saja. Memang letih pun,
mata sudah teringat batal dan katil saja sekarang.
“Mia,
balik dulu ya tok. Esok Mia datang lagi!”
katanya. Di ruang tamu rupanya abah sedang menunggu dirinya.
“Jom, kita
balik!” ajak papa. Mereka berjalan berdua untuk pulang. Andainya masa dapat
berulang, keadaan ini lah yang akan aku lakukan untuk jaminan hidup di dunia
dan juga di akhirat kepada Damia Azra. Sewaktu kecil Damia Azra tidak boleh
belajar kerana aku tidak menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab, aku
abaikan dia kerana kepentingan hidup, kini, hari ini, saat ini barulah aku mahu
melaksanakan tanggungjawab yang cukup besar. Aku mahu memberi didikan dan
pengetahuan agama kepadanya. Syukur alhamdulillah, kerana dia anak yang menurut
kata walaupun aku tahu hati dan perasaannya. Sebagai anak dara sunti, dia
sebenarnya malu untuk belajar dengan anak-anak kecil di sini.
“Mia,
Farel dah minta maaf dengan papa tadi. Katanya dia tidak berniat untuk
melukakan hati Mia dan hati papa,” kata papa tangan Damia Azra dipimpinnya.
Seolah memegang tangan anaknya yang masih kecil.
“Papa
maafkan dia?”
“kita
hanya insan biasa sayang. Sedangkan ALLAH itu maha pengampun inikan pula kita yang
tidak mempunyai apa-apa. Mia kena belajar untuk memaafkan orang-orang yang
melukakan hati Mia. Belajar untuk maafkan mama, papa tahu Mia marah pada mama
kerana pilih kasih dalam memberi kasih sayang seorang ibu,” nasihat papa. Aku
tahu segala suka duka Damia Azra, kerana rakan ku sering bercerita tentang dia.
“Mia tak
nak fikir tentang mama lagi. Mia dah ada papa. Jadi cukuplah bagi diri Mia.
Lagi pun mama sudah ada keluarga sendiri, papa. Mama dah ada abah, dah ada Zana
dan anak-anak kembar. Mia ni? Mama tak pernah sayang pun!” adu Damia Azra.
Tengok lah sampai saat ini, mama tak cari pun Mia, yang asyik bertanya khabar
tentang Mia ada lah abah, selain Bibik Indah dan Aisya. Mama?? Asyik manjakan
Zana saja. Mia???
“Mana
boleh cakap macam tu, ibu mana yang tak sayangkan anaknya? Mia tetap anak mama
lah. Darah daging mama!”
“Papa yang
kata macam tu, mama tak lah papa!” jawab
Damia Azra. Tentu hatinya terlalu terluka kerana sikap mamanya selama ini.
Agaknya kenapa Shahrini melayan Damia Azra
begitu? Kerana bencikan aku ke? Marahkan aku kerana telah melakukan satu
kesalahan besar lalu membabitkan anak aku sekali? Kasihan dia, kerana aku, dia
tidak mendapat kasih sayang seorang ibu.
“Maafkan
mama, tentu hati Mia akan menjadi tenang nanti!” pujuk papa. Aku tidak mahu
anak aku membenci ibunya sendiri. Kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa pula
adalah kasih yang sejati.
“Tengoklah
macam mana nanti. Buat masa sekarang Mia hanya mahu tinggal di sini bersama
papa saja!” jawabnya. Aku merajuk hati ke kerana mama melayan aku tidak seperti
seorang ibu yang menyayangi diri ku? Dulu mama okey saja, sanggup lakukan apa
saja untuk aku tetapi perangai mama berubah apabila aku ditangkap polis. Mama
mula membenci ku kerana kes itu. Jadi wajarkah aku salahkan mama sedangkan
semua itu berpunca dari sikap kedegilan aku? Aku yang tidak makan nasihat. Aku
yang nakal dan suka melawan cakap mama? Jadi, salahkah mama?
Aku harus
memaafkan diri ku sendiri, dan selepas itu barulah boleh memaafkan orang lain.
Aku yang banyak melakukan kesalahan dan kesilapan kepada mama dan aku yang
sepatutnya meminta maaf kepada mama.
“Papa dah
makan?”
“Dah. Mia
nak makan ke?”
“Mia nak
tidur, dah kenyang makan di resort tadi!”
“Okey,
pergilah tidur. Selamat malam!” ucap
papa.
Dia mahu
tidur saja dan tidak mahu berfikir apa-apa lagi.