Ahad, 11 November 2012

DENDAM YANG TERINDAH (27)





DIA MEMANG ANAK MANJA. Itu memang sudah nyata pun. Sejak dari tadi, Damia azra berjalan berpimpin tangan dengan papanya. Berjalan di tepi pantai sambil memandang keindahan pantai. Aku tak pernah lakukan semua ini dengan papa atau mama, tetapi Damia Azra yang garang dan kasar itu sedang berjalan dengan papanya. Mesra dan penuh dengan kasih sayang. Cemburunya hati melihat kemesraan antara seorang anak dan ayahnya.

Tengku Farel Hakimi mahu mendekati mereka berdua tetapi rasanya tidak elok menganggu Damia azra yang baru bertemu dengan papanya setelah berpisah begitu lama. Berilah mereka peluang, bisik hatinya. Dia berjalan meninggalkan mereka berdua.

Damia Azra sebenarnya sudah melihat Tengku Farel Hakimi yang sejak dari tadi memandang ke arahnya. Mujurlah mangkuk hayun tu sudah balik, kalau dia datang habis lah mood aku hari ini. Lagi pun aku tidak mahu diganggu dengan sesiapa pun.
“Papa masih sayangkan mama?” soal Damia azra ingin tahu. Di rumah papa, terlalu banyak gambar-gambar antara papa dan mama. Papa tersenyum.
“Sayanglah kerana dia cinta pertama papa. Tapi silap papa juga kerana abaikan mama, jadi jangan salah mama dalam hal ini, kerana ini bukan salah mama tetapi salah papa!” jawab papa jujur. Damia azra tersenggih. Mama sudah bahagia dengan abah sekarang, dan terus melupakan papa di dalam hidupnya. Siapa yang hendak kalau suaminya suka main perempuan, kaki joli pula tu. Andainya aku ditempat mama, aku pun tak mahulah suami macam itu. Betul kata papa, jangan salahkan mama dalam hal ini.
“Bukan jodoh papa dengan mama. Mama sekarang sudah bahagia di samping Dr. Luzman dan anak-anak. Mama ada anak kembar dengan Dr. Luzman, papa!” beritahu Damia Azra.
“Cemburunya papa dengar, Mia!” gurau papa. Masa-masa indah aku bersama Shahrini sudah tiada lagi, jadi untuk apalah dikenangkan hubungan antara kami berdua yang sudah berakhir. Aku sudah cukup bertuah kerana mempunyai Damia Azra, tanda cinta aku dan dia. Ini yang aku miliki sekarang.
“Cari orang lain, papa. Lagipun papa masih segak bergaya!” gurau Damia Azra pula. Perempuan mana yang tidak jatuh hati dengan papa, sekarang pun papa masih segak. Cuma satu saja yang papa tiada, harta kekayaan, tidak seperti dulu papa dipenuhi dengan harta  kekayaan. Itu yang membuat ramai perempuan yang tergila-gilakan papa. Bagaimana dengan aku? Agak-agak aku boleh tanding tak dengan papa? Hahaha, siapa pun tak mahulah dengan anak pembunuh seperti awak tu, Damia azra.
“Ada orang nak ke dengan papa ni?”
“Mesti ada!”
“Hahaha.,”  Damia Azra merangkul tangan papanya lalu mereka meneruskan langkah berjalan di tepi pantai tanpa memakai kasut. Kasut sudah ditinggalkan di atas tadi. Sesekali air laut menyentuh kaki Damia Azra. Dinginnya!

Datuk Mohsin memandang wajah anaknya. Kasihannya anak aku, sejak dari kecil sehingga kini dihina orang atas kesalahan dan kemarahan aku membunuh orang. Biar pun aku sudah insaf tetapi orang tetap tidak boleh menerima aku dan anak aku kerana kesalahan tersebut. Walaupun aku sudah menerima hukuman atas segala kesalahan. Tetapi yang kejamnya, orang turut menghukum anak aku. Agaknya bagaimana lah nasib dan masa depan Damia Azra kelak. Adakah lelaki yang sanggup mengambilnya menjadi isteri, andainya ada lelaki yang sudi, apakah keluarga si lelaki mahu menerima Damia Azra?

Itulah dulu aku tidak pernah fikir semua ini, aku tidak pernah berfikir akan akibat disebabkan perbuatan ku terhadap masa hadapan anak aku. Aku hanya pentingkan diri sendiri dari memikirkan perasaan anak aku. Aku terlalu mengikut perasaan.
“Papa!” panggil Damia Azra setelah melihat papa asyik benar berfikir panjang. Fikirkan apa? Tentu fikirkan masa depanku? Ah, bapa manalah yang tidak berfikir akan kebahagiaan dan masa hadapan anaknya. Disebabkan fikirkan masa depan lah, keluarga Engku Zahirah menghalang perhubungan antara aku dan Tengku Fayyad. Kerana fikirkan masa depan lah, Datuk Hisham menolak aku dari menjadi menantunya dan memilih Zana menjadi pilihan walaupun tahu Muiz Afendy tidak cintakan si Zana.
“Maafkan papa, disebabkan papa hidup Mia tidak seperti orang lain,” ucap papa sayu. Andainya masa boleh berundur kembali, mahu aku memulangkan semua masa-masa indah milik anak aku ini. Sayangnya masa tidak mungkin akan berundur dan aku sudah kehilangan masa-masa indah itu. Dulu aku tinggalkan dia, waktu itu dia adalah kanak-kanak yang comel, sekarang aku berjumpa dengannya, dia sudah pun dewasa.  Aku tidak dapat melihat masa-masa dia sedang membesar.
“Mia sudah redha dengan apa yang berlaku, papa!”ucap Damia Azra luhur. Dia mengenggam tangan papa semakin erat. Dulu memang papa jahat, papa kaki minum dan papa kaki botol, tetapi sekarang papa sudah berubah. Papa rajin solat, setiap malam papa baca al quran, bukan itu saja papa juga rajin lakukan solat-solat sunat. Papa sudah insaf dan bertaubat. Andainya ALLAH boleh menerima keampunan dari papa, inikan kita yang bernama manusia yang leka dan lalai melakukan kesalahan.
“Tetapi papa menyesal, Mia. Amat menyesal!” balas papa sebak. Dada Damia Azra turut sebak sama. Sedihnya hati kerana kata-kata papa menyentuh jiwanya.
“sudah lah papa, mulai hari ini kita mulakan hidup baru,” ucap Damia Azra penuh bersemangat.Ya, kita harus mulakan kehidupan yang baru dan membawa bersama cerita-cerita lama kerana semua itu akan tetap kekal selamanya. Mahu atau tidak, itu tetap akan berlaku. Masa hanya berlalu tetapi tidak bisa mengubah siapa sebenarnya diri kita. Kalau masa boleh mengubahkan kita, tentu orang sudah melupakan kesalahan papa selama ini.
“Papa kagum dengan Mia, sebab Mia bersemangat tinggi dan tabah!” puji papa membuatkan muka Damia Azra berubah.
“Tak lah papa!” ujar Damia Azra.
“Okey sudah lewat, nanti Farel mengamuk pula sebab pekerjanya datang lambat hari ini. Tengah hari nanti balik makan di rumah yer!” pesan papa. Jam sudah menunjukkan angka 7.30 pagi. Ada setengah jam lagi tentu aku terlewat hari ini. Hendak mandi dan menukar pakaian lagi. Sarapan pagi pun tak sempat rasanya.

Aduh, hasrat hatinya hanya mahu menenangkan fikiran dan berehat saja di rumah untuk seminggu dua ini. Tidak mahu memikirkan tentang kerja buat masa sekarang. Kebetulan duit simpanan masih mencukupi untuk menanggung perbelanjaannya dalam masa tiga atau empat bulan ini. Tidak perlu susah hati tentang perbelanjaan buat masa sekarang. Tetapi bila difikirkan Tengku Farel Hakimi mahu membongkarkan rahsia kehidupannya kepada papa, tok dan tok wan, dia terpaksa bekerja di resort istana kasih kepunyaan Tengku Farel Hakimi.

Memang dia kelewatan datang ke tempat kerja kerana menerima panggilan dari abah selepas dia selesai mandi.  Dia sendiri terkejut menerima panggilan dari abah seawal pagi. Selalunya malam baru abah telefon ataupun dia yang telefon abah, ini pagi-pagi sudah telefon tentu ada hal penting.
“Kenapa abah?”
“Abah dah bank in duit sebanyak lima ribu dalam akaun kamu, gunalah ia buat belanja kamu di sana!”
“Lima ribu?? Banyaknya. Mia ada duit sendirilah, abah!”
“Ambillah, kalau kamu menganggap abah ini seperti papa kamu juga, terima lah wang tersebut untuk kegunaan kamu!”
“Terima kasih, abah!”  ucapnya. Lima ribu tu terlalu banyak lah abah, kalau papa tahu mesti papa tidak setuju aku menerima wang pemberian dari abah tetapi abah menyuruh Damia Azra merahsiakannya dari pengetahuan papa.

Itu sebabnya dia datang lewat ke resort kepunyaan Tengku Farel Hakimi. Ketika dia sampai lelaki itu sedang menunggunya di kaunter tempat penyambut tetamu dengan muka yang masam mencuka. Bencinya Damia Azra melihatnya. Marahkan aku ke? Tak pasal-pasal hendak marahkan aku, aku datang pun sudah dikira cukup bertuah lah, Tengku Farel Hakimi ooi.
“Hari pertama sudah datang lewat, macam mana lah awak mengatur masa awak agaknya. Orang lambat seperti kura-kura, awak ni bukan kategori lambat tetapi lembap seperti siput!” leter Tengku Farel Hakimi di hadapan stafnya. Ada Lina bersama Nik Safuan bersama-sama di situ. Damia azra menahan malu.
“Tak mahu kerja lah kalau macam ni, baru datang sudah kena marah,  lebih baik saya tinggal di rumah saja!” balasnya. Abah baru saja bank in duit lah, lima ribu tu boleh buat belanja tiga bulan pun tak habis. Itu pun kalau berjimat cermat lah.
“Ikut suka hati awak lah, kalau awak sanggup menanggung akibatnya, saya tak menghalang!” balas Tengku Farel Hakimi. Hmm, ini yang malas nih, kerja ugut aku saja, apa kes?
“Baiklah, saya kerja kat sini!” ucap Damia Azra perlahan tanda terpaksa mengalah.
“Esok datang awal, jangan datang lewat seperti hari ini. Tugas awak ikut arahan saya, kalau saya suruh cuci pinggan di dapur, awak kena ikut lah yer,” terang Tengku Farel Hakimi. Memang sah kau nak buli aku. Damia Azra mengeluh berat. Rasanya seperti tidak sanggup saja dia melawan cabaran yang datangnya dari Tengku Farel Hakimi.
“Faham tak?” tengking Tengku Farel Hakimi.  Damia Azra mengangguk lesu.
“Masa kerja awak dari pukul lapan pagi sampai enam petang setiap hari, mengerti?” sambung Tengku Farel Hakimi. Kali ini dia tidak mengangguk tetapi memandang wajah Tengku Farel dengan tidak berkelip. Lamanya masa bekerja.
“Apa tugasan pertama saya, Tengku Farel?” soal Damia Azra sudah naik menyampah. Lagi cepat aku pergi buat kerja lagi bagus kan, dari aku mengadap muka dia yang tak segak langsung hari ini.
“Ambil mop lantai, dan mop di bahagian kaunter, ruang makan dan dalam pejabat saya. Itu tugas pertama awak!” arah Tengku Farel Hakimi. Kerja mop lantai, rumah aku pun aku tak pernah mop lantai, sekarang nak kena mop lantai pula. Dia ini memang hendak mengambil kesempatan ke atas diri aku lah.
“Apa kau ni, Ril. Berilah kerja ofis ke? Ini suruh Mia mop lantai pula!” tegur Lina.
“Eleh, bukannya teruk pun!” sokong Nik Safuan tanda sepakat dengan Tengku Farel Hakimi.
“Okey, okey saya buat!” ucap Damia Azra. Memang tak pernah mop lantai di rumah sebab ada Bibik Indah tetapi di Jusco dulu dia memang sudah biasa mop lantai. Hahaha.. kerja lama lah ni.

Dalam masa kurang dari satu jam, dia sudah siap mop lantai, bukan saja siap mop lantai, malah turut dikemaskan di bahagian kaunter, dewan makan yang boleh menampung tiga puluh orang itu dan bilik pejabat kepunyaan Tengku Farel Hakimi. Dibersihkan tempat-tempat tersebut malah siap menukar pewangi bilik. Haruman bilik menyegarkan pengunjung yang datang.
“Biasa buat kerja ni?” soal Lina yang merasa hairan dengan ketangkasan Damia Azra melakukan tugas-tugasnya.
“Dulu kerja kat jusco saja, jadi memang dah biasa buat kerja-kerja macam ini!” jawabnya sambil tersenyum. Ah, gadis ini tidak memilih pekerjaan rupanya.
“Patutlah pun!” balas Lina sambil mengambil plastik sampah di tangan Damia Azra.
“Selepas ini apa pula? “
“Kena tunggu arahan dari Farel dulu, nanti akak beritahu Mia yer. Mia pergilah sarapan pagi dulu di kafeteria sebelah kiri dewan makan!” beritahu Lina. Aku hanya makan seawal pagi, selepas itu tengah hari baru makan, sekarang perut masih kenyang.
“Kak, saya kat depan tu, kalau Tengku Farel cari saya, akak cakap kat dia, saya ada kat situ!”  beritahu Damia Azra terus ke ruang hadapan. Nampak daun-daun kering banyak sangat di hadapan resort. Dia mahu mencakar daun-daun tersebut supaya nampak semakin bersih. Sebenarnya ada seorang bibik indonesia yang umur sebaya dengan Bibik Indah sedang menyapu sampah di situ. Itu yang menarik minatnya. Rindu kepada Bibik Indah datang di dalam hati.

Damia Azra mengambil pencakar daun lalu dia menolong bibik tersebut.
“Bik, sudah lama kerja di sini?” soalnya ramah.
“Sudah setahun, bu!” jawabnya dalam loghat indonesia yang pekat. Tidak seperti Bibik Indah yang sudah fasih berbahasa melayu kerana sudah lama tinggal di sini.  Bibik Indah tinggal di Malaysia dan bekerja dengan mama sejak dari Damia Azra berusia 9 tahun.
“Panggil saja nama saya Mia, bik. Bibik nama apa?”
“Habsah, Non!”
“Ah, panggil saja Mia, Bik!” balasnya. Berbual sambil menolong Habsah yang baru dua tahun datang bekerja di resort ini. Kita rakyat bertuah kan, hanya perlu mencari rezeki di tempat sendiri saja tidak seperti penduduk negara luar, yang terpaksa bertungkus lumus mencari sumber rezeki di negara orang lain.
“Non, orang baru di sini?”
“Yup, baru sehari!”
“Hah, baru sehari? Tetapi kamu ramah sekali yer!”
“Hehehe..,” Leka berbual sampai terlupa dia berada di mana. Asyik benar menolong Habsah yang datang dari tempat yang sama dengan Bibik Indah. Orang Jawa Timur!
“Hey, awak buat apa di sini hah?” jerkah Tengku Farel Hakimi ke arah Damia Azra. Berdesing telinga. Panas habis seluruh badan. Sudah lah tengah menjemur cahaya matahari yang sedang membahang di atas kepala.
“Ada mata tengok sendiri lah!” balas Damia Azra. Kau memang tak boleh cakap elok-elok ke dengan aku. Asyik nak jerkah aku apa hal? Buah hati kau tinggalkan kau ke?
“Bukan saya dah pesan tadi, buat kerja ikut arahan saya yang awak tolong Habsah ni apa hal?”
“Ikut suka hati saya lah,”
“Siapa bos ni? Awak atau saya?” sindir Tengku Farel Hakimi. Merah menyingga muka Damia Azra. Bencinya aku.
“Bik, esok kita bual lagi yer. Saya pergi dulu!” beritahu Damia Azra. Pencakar sampah disandarkan ke pokok. Tengku Farel Hakimi memandang kawasan sekeliling, bersihnya, tiada satu pun daun kering yang tinggal. Satu resort aku cari, rupanya dia ada di sini. Lina kata, suruh makan pun tak mahu. Hmm, pengsan anak dara orang nanti, mati aku.
“Jom, ikut saya!” arah Tengku Farel Hakimi. Dia hanya mengikut langkah kaki Tengku Farel Hakimi masuk ke dalam pejabat kepunyaan Tengku Farel Hakimi. Bilik ini sudah pun dibersihkan dikemasnya pagi tadi.

Damia Azra melihat jam di dinding. Sudah pukul 12.30 tengah hari rupanya. Kiranya lama lah aku berbual dengan Habsah tadi yer. Patutlah bos mengamuk. Hahaha...

Damia Azra tersenyum tiba-tiba. Bos mana yang tak marah dan bengang kalau anak buahnya curi tulang macam itu. Kalau aku, aku pun marah.
“Senyum sorang-sorang ni kenapa pula?” tanya Tengku Farel Hakimi. Aku marah kau, boleh lagi kau tersenyum macam nih?
“Awak ini memang sakit hati kut, sampaikan saya senyum pun awak marah. Ikut suka hati saya lah hendak senyum ke, hendak menangis ke, itu hak saya lah!”  balas Damia Azra. Ini ajak aku masuk ke dalam bilik untuk apa? Apa lagi yang tak bersih di dalam bilik ini agaknya?
“Pelik lah tertiba saja awak senyum, kecuali awak gila, sebab tu senyum sorang-sorang!” ujar Tengku Farel Hakimi tidak mahu mengalah.  Kenapa lah hidup aku ada kaitan dengan mamat ni? Tak pasal-pasal kena tengking, kena marah. Seolah aku bersalah besar kepada kehidupannya. Masa atas bas boleh pula baik dengan aku. Siap sanggup buat apa saja untuk aku? Datang di sini di tempat sendiri hendak buli aku pula. Mentang-mentang lah tempat dia.
“Apa hal cari saya?” soal Damia Azra. Malaslah aku hendak bergaduh dengan kau hari-hari pula tu.
“Selepas rehat nanti, pergi bahagian dapur, cuci semua pinggan mangkuk yang kotor. Tunggu saya di situ sampai petang. Jangan ke mana-mana pula!” jawabnya. Kena cuci pinggan-mangkuk?? Hmm, kalau begini setiap hari boleh kurus kering aku. Bukan kerana tidak makan tetapi kerana sakit jiwa disebabkan Tengku Farel Hakimi yang sentiasa memberi tekanan kepada diriku. Aduhai, tak tertanggung untuk berhadapan dengan Tengku Farel Hakimi setiap saat dan waktu.
“Baik, bos!” perli Damia Azra sambil berlalu keluar dari bilik tersebut. Itu saja?? Panggil aku semata-mata kerana hal itu? Buang masa aku saja lah.

Pukul satu nanti aku mahu pulang ke rumah. Mahu melihat papa. Mahu makan tengah hari dengan papa. Lagipun jalan kaki pulang ke rumah tidak sampai pun 10 minit. Dekat saja. Boleh lah berulang alik dari rumah ketika waktu rehat. Lebih selesa dan mudah.

Kebanyakan staf makan di kafetaria kerana resort ini menyediakan makanan untuk mereka semua. Makan free lagi. Itulah yang dimaklumkan kepadanya oleh Lina apabila dia memberitahu mahu pulang ke rumah. Dia menolak ajakan Lina, papa lebih penting dari bosnya yang sawan itu.

Dia melangkah pulang walaupun di halang oleh Lina.

6 ulasan: