Rabu, 29 Ogos 2012

DENDAM YANG TERINDAH (12)



“ABAH HANTAR KAU BELAJAR sampai ke luar negara, ini yang kau bawa balik, Zana?” marah Dr. Lukman kepada anak kesayangannya. Ini kali pertama dia engkar kepada kemahuan anak emasnya itu. Aku sudah tidak boleh melentur anak sendiri kerana sikap ketidakadilan aku terhadap Damia Azra. Mungkin ini hukuman untuk aku.
“Abah habiskan duit untuk kau supaya kau jadi anak yang berjaya tetapi bukan jadi anak kurang ajar. Kau sepatutnya menghormati perasaan mama kau yang lebih sayangkan kau dari anak kandungnya sendiri, Zana!” sambung abah di hadapan mama dan Damia Azra.  Mama agak terkejut mendengar kata-kata abah, mungkin kerana mama tidak percaya abah akan berkata sebegini di hadapan anak-anaknya.
“Zana boleh ikut segala kemahuan abah, tetapi dengan syarat halau saja Mia dari rumah kita. Zana sudah tak sanggup melihat Mia di sini lagi, abah. Sakit hati Zana nih!” ucap Zana sambil  menangis, memohon simpati barangkali.
“Apa yang Mia lakukan sampai kau benci sangat kepadanya, Zana? Rampas Muiz? Perasaan cinta bukannya boleh dipaksa-paksa. Andainya sudah jodoh Mia dan Muiz, kita tak boleh menghalangnya, Zana!”  kali ini abah mahu bersikap jujur di kepada anak-anaknya. Tidak mahu lagi berat sebelah antara Zana dan Damia Azra kerana dia tahu Damia Azra sudah banyak berubah untuk menjadi baik. Tidak seperti anaknya yang tidak pernah berubah-ubah. Sejak dari kecil sampai sudah hendak menjadi isteri orang masih berperangai buruk.
“Tak, Zana tak akan biarkan semua ini terjadi, sampai mati pun Zana tak mahu Mia berkahwin dengan Muiz!”  tekan Zana. Hish, bila pula aku hendak berkahwin dengan Muiz Afendy? Insan yang aku cintai adalah Tengku Fayyad, bukannya Muiz Afendy pun. Pelik lah Zana nih. Apa aku hendak cakap? Layakkah aku bersuara di sini?
“Mama janjilah dengan Zana, yang Mia tak akan berkahwin dengan Muiz. Selagi mama ada, semua itu tak akan berlaku,” janji mama membuatkan Damia Azra buntu.  Sebuah janji yang tidak sepatutnya diperkatakan. Andainya aku sedang bercinta dengan Muiz itu lain lah, ini aku dengan Tengku Fayyad. Tidak perlu berjanjilah mama, Mia memang tak akan berkahwin dengan Muiz.
“Mama juga sudah berjanji mahu mengusir Mia dari rumah kita? Tetapi mama tak tunai pun!  Mama nak tipu Zana kan?” ungkit Zana menambahkan kemarahan abah terhadapnya. Kurang ajar betul lah budak ini. Siapa yang memberi hak kepadanya untuk mengusir orang sesuka hati?
“Zana, cakap elok sikit boleh tak? Zana kena ingat dengan siapa Zana sedang bercakap?” ingat abah. Aduh semakin kecoh jadinya. Saling menuduh dan prasangka. Malah bercakap seolah aku tiada hati dan perasaan. Aku ini patung ke?
“Abah ni kenapa? Asyik sebelah kan Mia saja. Zana tak suka lah!” ronta Zana sambil berlari masuk ke dalam biliknya. Dr. Luzman hanya memandang perangai anak daranya yang semakin menjadi-jadi sejak pulang dari luar negara. Macam budak kecil saja lagaknya. Itulah bagi muka sangat dulu, sekarang tengok lah apa sudah jadi?

Damia Azra sejak dari tadi tidak bersuara. Diam seribu bahasa hanya menjadi pemerhati saja. Juri keamanan barangkali. Sepatah ayat tidak bergema di bibir Damia Azra sedangkan di dalam hati Damia Azra meratap pilu. Luka lama  berdarah kembali dengan kepulangan Zana. Rupanya apa yang Damia Azra takutkan benar-benar menjadi kenyataan. Sakitnya perasaan kala ini tidak ada sesiapa pun yang tahu termasuk ibu kandung sendiri.
“Mama nak awak keluar dari rumah ini sekarang juga, kerana awak telah membuatkan Zana tidak tenteram tinggal di rumah ini,” tutur mama lancar. Hati Damia Azra remuk mendengarnya. Akhirnya mama mengusir aku kerana arahan Zana iaitu anak tirinya. Benarlah kini mama lebih sayangkan Zana dari aku. Mungkin aku ini tidak ada nilai di hati mama lagi.
“Apa yang awak cakap ni?” tegur abah. Isterinya ini tidak pernah lagi membincangkan tentang kehidupan Damia Azra sejak anak gadis ini ditangkap oleh pihak polis. Dr. Shahrini menutup kemas hatinya dari membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan Damia Azra. Sihat ke? Makan ke? Dia tidak pernah ambil tahu. Tetapi keengganan itu membuatkan Damia Azra pandai berdikari, matang dan ada keyakinan diri sendiri. Malah kemanjaan dan sikap nakal Damia Azra telah tiada lagi. Damia Azra bukan sekecil yang degil dan bantah tetapi Damia Azra adalah anak yang pendiam dan sepi dari kehidupan orang lain. Susah hendak melihat Damia Azra gelak ketawa di dalam rumah ini.  Senyum pun jarang terukir di wajahnya.
“Papanya sudah keluar dari penjara dan anak pembunuh ini wajar tinggal dengan papanya bukan dengan kita lagi,” sambung mama mencincang segenap tubuh Damia Azra. Rupanya aku hanya debu yang ditiup angin saja. Aku bukannya barangan yang berharga di dalam kehidupan mama. Mata Damia Azra berpinar terasa pedih dan sakit.
“Abah benar tak saya tinggal di sini?” suara Damia Azra setelah lama tidak bersuara. Ini kali pertama dia bercakap dengan abah dan mama. Selama ini mereka sudah lama tidak bertegur sapa. Masing-masing membawa haluan masing-masing walaupun ada kala berselisih bahu ketika berada di dalam rumah. Biarlah abah yang membuat keputusan, kalau abah juga menghalau aku, aku akan keluar dari rumah ini dengan senang hati. Ini rumah abah, jadi aku perlu meminta keizinan dari abah bukan dari mama pun kerana mama lebih pentingkan orang lain dari aku anak kandungnya.
“Abah benarkan. Ini pun rumah Mia juga!” jawab abah ikhlas tetapi dalam keadaan serba salah. Benarkan Damia Azra tinggal di sini bagaimana pula dengan Zana? Tetapi kalau menghalau Damia Azra keluar dari rumah ini, ke mana Damia Azra hendak pergi membawa diri? Sedangkan semua orang tahu Damia Azra sudah tidak mempunyai sesiapa lagi selain kami di sini.
“Abang kena fikirkan perasaan Zana...,” kata-kata mama terhenti di situ kerana Damia Azra mencelahnya.
“Berilah masa kepada Mia, abah. Nanti bila Mia kahwin Mia akan keluar dari rumah ini juga. Mia tahu Mia tak diperlukan di rumah ini,” ucap Damia Azra perlahan tetapi tegas.
“Suruh anak raja itu kahwin dengan awak secepat mungkin, kami sudah tidak sanggup mendengar kata-kata orang terhadap awak lagi,” balas mama. Damia Azra memandang wajah mama dengan tidak berkelip. Perkara itu pun mama marah. Selalunya orang gembira dan bahagia bila mendengar anak daranya hendak kahwin tetapi berbeza pula dengan mama.
“Awak nie kenapa? Tak habis-habis marah kan Mia?” kata abah tidak berpuas hati dengan sikap mama. Damia Azra mengatur langkah masuk ke dalam biliknya. Hati yang kecewa dan walang ini sudah tidak sanggup untuk mendengar perbualan mama dan abah lagi. Takut pengsan di ruang tamu pula.

Pintu bilik ditolak. Sedikit terkejut memandang biliknya yang berselerakan hasil buah tangan Zana tadi. Cadar dan batal semua bergelimpangan di dalam bilik. Haruman minyak wangi bersilih ganti memenuhi ruang biliknya. Ada botol minyak wangi yang pecah. Pasu bunga pecah malah cermin muka pun pecah juga. Perangai macam budak-budak!
“Mia, bibik tolong kemaskan yer!” ucap Bibik Indah yang datang dari arah belakang. Damia Azra meletakkan beg pakaiannya. Kain baju yang basah masih tersangkut di atas bahu.
“Mia boleh buat sendiri lah, bik!” ucap Damia Azr sebak. Entah mengapa terasa dadanya bergoncangan. Terharu dan sedih kerana diperlukan sebegitu oleh mama sendiri. Dia tidak ambil hati dengan kata-kata Zana tetapi dia sememangnya tidak boleh menerima kata-kata yang datang dari mamanya sendiri. Sampai hati mama buat aku macam ini?
“Tak mengapa bibik tolongkan!” kata Bibik Indah. Baju yang basah dimasukkan ke dalam bakul, kena basuh sekali lagi lah jawabnya. Baju-baju itu semuanya terkena pasir tadi.
“Terima kasih, bik!” jawab Damia Azra lemah. Dikemasnya cadar di atas katil dan lalu diambilnya batal diletakkan di hujung katil.  Segala baju-baju yang bersepah di atas  katil di lipat satu persatu sambil matanya melihat Bibik Indah mengutip botol kaca yang pecah. Mata melihat Bibik Indah tetapi fikiran melayang entah di mana? Pada mama, pada Tengku Fayyad  dan pada papa yang jauh di mata dan jauh juga di dalam hati. Sehingga ke saat ini dia masih tidak boleh memaafkan perbuatan papa ke atas dirinya. Kerana papa aku menderita dan sengsara. Semua orang membuang dan membenci aku kerana kesalahan papa.
“Mia!”
“Susah hati lah, bik!” terluah juga apa yang tersirat di lubuk hati. Dengan Bibik Indah dia tidak pernah malu untuk bercerita hal dirinya. Bibik Indah saja yang sudi mendengar keluh kesahnya.
“Faham. Kalau saya berada di tempat Mia pun saya akan susah hati juga!” ucap Bibik Indah sambil mengambil penyapu dan bakul sampah. Botol bersama serpihan kaca di masukkan ke dalam beg plastik kecil dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Nanti perlu dibuang ke dalam tong sampah bandaran yang berada di luar rumah.
“Tahu pun!”  jawab Damia Azra sambil cuba tersenyum. Bagaimana lah nasib aku di hari kemudian. Bolehkah Tengku Fayyad menerima siapa yang hidup terumbang ambing begini. Tiada saudara, dan tiada harta. Bolehkah anak raja itu hidup bersama aku yang serba serbi kekurangan ini? Dan bagaimana andainya Tengku Fayyad tidak sanggup untuk menerima aku? Bersediakah aku untuk menerima setiap kemungkinan? Huhuhu.. sedihnya. Ada mama pun mama tidak mahukan aku lagi, ada papa pun? Ada seperti tiada pun. Papa lagilah tak sayangkan aku, sebab kalaulah papa sayangkan aku tentu bukan ini layanan papa ke atas diriku. Sedih sekali kehidupan yang aku miliki, sejak dari kecil sampai lah sekarang tidak habis dengan ujian dan dugaan.  Aduh, boleh pecah kepala hari ini.

Mama dan abah masih bergaduh di ruang tamu. Bergaduh kerana sudah tidak lagi sehaluan dalam mempertahankan aku atau pun Zana. Mama berperang habis-habisan kerana mempertahankan keinginan Zana manakala abah pula mahu aku terus tinggal di sini selagi aku belum berkahwin. Kenapa abah berubah? Apa yang menyebabkan papa berubah? Hairan yer..,

Mama dan abah jarang bergaduh kerana anak-anak, tetapi kali ini kerana aku dan Zana, rumah tangga mereka berentakan. Harap-harap janganlah berterusan dan menjadi semakin parah. Menyesal seumur hidup aku dan tentu aku tidak dapat memaafkan diri sendiri andainya sesuatu yang tidak diingini menimpa rumah tangga mama dan abah.
“Angah, mama menangis!” beritahu Amir yang masuk ke dalam biliknya dengan tergesa-gesa. Damia Azra memandang ke arah Bibik Indah, bergaduh sampai menangis sedangkan mama selama ini susah hendak menangis di hadapan anak-anaknya. Rasanya ini kali pertama mama menangis sampai diketahui oleh anak-anak.
“Kenapa mama menangis?” soal Damia Azra pura-pura tidak tahu. Semua ini berpunca dari aku, kerana aku mama dan papa jadi begini.
“Hmm, marahkan angah dan along ler. Angah ni boleh buat tak tahu pula!” marah Amir sambil keluar dari bilik Damia Azra. Hendak suruh aku pujuk mama ke?  Mama mana mahu kalau aku yang memujuknya lain lah Zana.  Kalau orang sudah tidak suka buat sejuta kebaikan pun orang tetap tidak suka. Kena keluar juga ke aku hari ini? Hendak pergi  ke mana? Tumpang rumah Tengku Fayyad, tidak malukah hendak menumpang di rumah lelaki yang masih belum menjadi suami kepadaku? Ataupun cari rumah sewa untuk sementara waktu.  Suara tengkingan abah dan jeritan mama berselisih ganti. Apa sudah jadi? Bibik Indah segera keluar dari bilik Damia Azra menuju ke ruang tamu kerana mahu melihat keadaan majikannya yang sedang berperang besar.

Macam mana nih? Tidak tahu apa yang harus dia lakukan, dia segera menelefon kekasih hati. Sekali tidak diangkat, telefon kali kedua barulah ada suara di hujung talian.
“Mia, saya ada hal di putrajaya, nanti bila semua dah selesai saya call awak, okey?”  beritahu Tengku Fayyad tergesa-gesa belum sempat Damia Azra mengadu akan keresahan di hatinya.
“Okey lah, nanti bila semua dah okey, call saya yer!” pesan Damia Azra membatalkan niatnya untuk mengajak Tengku Fayyad menjemputnya di rumah. Dia mahu pergi saja dari rumah ini secepat yang mungkin demi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku.
“Baik lah sayang!” ucap Tengku Fayyad mematikan talian telefon.  Damia Azra mengeluh panjang, aku kena buat keputusan sendiri lah jawabnya kerana Tengku Fayyad ada urusan di Putrajaya. Tetapi apa keputusanku? Aku masih belum mengambil kata putus sama ada mahu terus tinggal di sini atau pergi saja dari sini? Ikut hasrat di hati, Damia Azra mahu saja menetap di sini kerana abah membenarkan Damia Azra tinggal di sini tetapi tengoklah apa yang berlaku sekarang?

Letihnya hari ini kerana berbagai kejadian yang berlaku. Gembira sekejap saja, tetapi duka berpanjangan. Sepatutnya aku meraikan hari yang bahagia kerana diberi sebentuk cincin dari Tengku Fayyad sebagai tanda cinta kami berdua dan bukti kesungguhan dari Tengku Fayyad. Rupanya itu hanya sementara waktu saja. Tidak ada apa yang perlu diraikan apabila mama dan Zana menghalau aku dari rumah ini. Masihkah ada bahagia di hati aku?

Damia Azra menarik batal, diletakkan kepalanya di atas batal lalu dia merebahkan diri di atas katil, matanya berpinar memandang kipas angin yang sedang berputar. Akhirnya dia terlena sampai dia termimpi berjumpa dengan papa di sebuah taman yang cukup indah. Papa yang sudah banyak berubah, wajah papa bersinar cerah dan senyuman papa yang membahagiakan. Papa menghulurkan tangan kepada Damia Azra, tetapi Damia Azra menolak, enggan menerima kehadiran papa di sininya.
“Mia, benci papa!”
“Maafkan papa sayang, apa pun terjadi Mia tetap anak papa..,”
“Tetapi Mia tak suka papa sampai ke akhir hayat Mia!”
“Mia, sampai begitu sekali kau membenci papa, nak!”
“Memang pun Mia benci papa!” jeritnya nyaring. Bayangan papa menghilang diganti dengan wajah Tengku Fayyad, wajah Tengku Fayyad yang mendamaikan hati dan jiwanya.  Damia Azra tersenyum di dalam lena.

Lamanya Damia Azra terlelap, hampir dua jam lebih. Dia terjaga apabila ada orang mengerakkan badannya. Dibuka mata terpandang wajah Bibik Indah yang begitu muram. Kenapa? Damia Azra mengosok matanya, alam nyata atau aku masih bermimpi? Bukan mimpi lah Mia, tetapi kebenarannya.
“Kenapa bik?” soal Damia Azra ingin tahu. Wajah Bibik Indah direnungnya lama. Apa sudah berlaku.
“Abah pukul mama Mia!” beritahu Bibik Indah sebak. Air mata Bibik Indah mengalir keluar. Kerana aku kah semua ini berlaku? Tergamaknya abah memukul wanita yang paling abah cintai dan abah sayangi hanya kerana aku? Keresahan makin bercambah di dalam pundak hati Damia Azra. Jiwa Damia Azra penuh dengan kegelisahan dan kebimbangan saja.
“Macam mana ni, bik?”
“Tak tahu, tetapi nenek kamu baru saja sampai, mereka berdua ada di bawah!” beritahu Bibik Indah perlahan. Makin panas membara lah rumah ini nanti. Nenek Milah dan Nenek Wan, tidak sukakan aku sejak dari dulu lagi. Mereka datang nak usir aku juga ke? Mia takut. Mahu saja dia berkata begitu kepada Bibik Indah tetapi Damia Azra tidak mahu Bibik Indah susah hati terhadapnya.
“Tak mengapa, nanti saya pergi jumpa mereka berdua!” kata Damia Azra memujuk hati sendiri.
“Jangan, mereka sedang marahkan Mia sekarang. Nenek Milah dan Nenek Wan kata macam-macam kat Mia, bibik dah tak sanggup mendengar umpat nista dia orang kat Mia lagi,” beritahu Bibik Indah sambil menangis teresak-esak. Bibik Indah pula yang terlebih sedih dari aku. Huhuhu..,
“Bik, sabarlah. Tak akan ada apa-apa yang berlaku kat Mia lah. Mia okey nih!”  pujuk Damia Azra. Siapa pujuk siapa aku pun tidak tahu.  Aku hanya memujuk hati sendiri. Takut paling ketara. Sudah lah Tengku Fayyad tiada di sini. Ini pun satu masalah, kata nak call, sampai sekarang tak call pun. Sudah melupakan aku barangkali.
“Bik tahu, Mia berlagak tenang, wal hal dalam hati Mia tu hanya ALLAH saja yang tahu!” balas Bibik Indah. Damia Azra cuba tersenyum. Betul lah ALLAH saja yang tahu apa yang bersemi di dalam hati aku sekarang.
“Bik, terima kasih Bik, selama ini bik banyak tolong saya!” ucap Damia Azra sambil memeluk erat bahu Bibik Indah. Aku paling sayangkan dia, kerana dia amat menyayangiku setulus hatinya. Dia tidak pernah membenciku, tidak pernah menghina ku ataupun mengkritik ku biarpun sekali. Dia amat baik terhadap ku.

Tangisan Bibik Indah bergema di dada Damia Azra. Jangan menangis kerana tangisan tidak mampu mengubah nasib sesiapa pun. Nasib aku tidak pernah berubah biarpun menangis air mata berdarah, malah sehingga kering air mata pun, aku masih kekal begini tetap dihina dan dicaci orang. Jadi, usah menangis!

Andainya sejak dari kecil lagi aku boleh menghadapi semua ujian seorang diri tentu ujian kali ini aku mampu menghadapinya. Aku kena berani berhadapan dengan keluarga mama dan keluarga abah. Lari sejauh mana pun aku tetap terpaksa berhadapan dengan mereka juga. Lari sampai luar negara pun terpaksa pulang ke Malaysia juga suatu hari nanti. Hmm..,
“Bik, tolong kemaskan barang-barang saya yer. Saya nak pindah!” ucap Damia Azra tegas. Pelukan Bibik Indah dileraikan. Aku kena berani berhadapan dengan takdir kehidupan aku sendiri.
“Hah?? Terkejut Bibik Indah dibuatnya.
“Kan saya dah nak kahwin, elok lah saya berpindah, belajar berdikari dan tinggal di luar,” terang Damia Azra. Ini alasan yang munasabah.

Bibik Indah tidak menjawab apa-apa kerana Bibik Indah tahu Damia Azra terpaksa berkata begitu.  Damia Azra terpaksa pergi dari rumah ini juga akhirnya.

DENDAM YANG TERINDAH (11)



“SIAPA LELAKI ITU, MIA?” soal Muiz Afendy tidak puas hati. Dia memang tidak sukakan lelaki itu yang telah berjaya menambat hati Damia Azra. Segak bergaya. Anak orang kaya lagi. Aduhh, tidak setanding dengan aku yang hanya akan menjadi bakal peguam saja. Di mana lah Damia Azra berjumpa dengan mamat segak ini?
“Kenapa ni?” soal Damia Azra kembali. Sudahlah marah orang di depan rumah orang. Awak tu peguam, Encik Muiz Afendy ooi. Tak malu ke marah orang seperti aku ini?
“Cakap siapa lelaki itu, Mia?” tekan Muiz Afendy ingin tahu. Kekaasih? Buah hati atau hanya kawan biasa? Tetapi jiran-jiran sudah bercakap Damia Azra bakal berkahwin dengan lelaki itu.
“Bakal tunang saya!” jawab Damia Azra kuat kerana waktu itu dia melihat Zana sedang memandang ke arah mereka berdua. Terhempas hati Muiz Afendy di atas tanah di hadapan rumah Damia Azra. Hancur berkecai dan bersepai.
“Tunang?” tekan Muiz Afendy separuh marah. Tidak adakah aku di hati kau, Mia? Selama kita berkawan tidak pernah kah kau memandang aku sebagai seorang kekasih mu? Aku yang selama ini paling mengerti hati dan perasaan kau? Tidak memahami kah kau semua itu?
“Yup. Bakal tunang saya. Dua minggu dari sekarang saya akan bertunang dan mungkin selepas sebulan kami akan berkahwin. Kenapa? Tak boleh?” jawab Damia Azra kuat kerana Zana sudah berada dekat dengan mereka berdua.  Janganlah Zana salah sangka dan cemburu buta pula. Aku tidak mahu peristiwa lama berulang lagi. Aku tidak mahu dihina dan dicaci lagi.
“Jadi betul lah awak akan berkahwin dengan Tengku Fayyad? Ingatkan gosip panas saja!” ucap Muiz Afendy. Rasa sayu di dalam hati tiba-tiba. Entah mengapa Muiz Afendy rasa tidak seronok dan tidak gembira menyambut berita pertunangan itu.  Hampa, kecewa dan rasa tidak bersemangat saja mendengar berita gembira bagi Damia Azra tetapi sedih dan pilu untuk dirinya.
“Kenyataan lah, Muiz!”  yakin Damia. Aku tidak tahu apa perasaan Muiz terhadapku, tetapi aku hanya menganggap Muiz sebagai seorang sahabat saja tidak lebih dari itu.  Muiz hanya untuk Zana sahaja. Bukan untuk ku.
“You nie kenapa, papa dan mama you dah berbincang lah dengan abah dan mama I, kita akan bertunang tak lama lagi. You tahukan I cintakan you!”  balas Zana, ditujukan khas kepada Damia. Dia ingat dia sahaja yang boleh bertunang, aku pun hendak bertunang juga lah.  Hehehe.. aku dah agak pun, mesti cemburu kat aku, bisik hati Damia Azra. Zana mesti tidak mengaku kalah dalam setiap perkara.
“Tapi Zana, I hanya anggap you sebagai teman biasa saja lah!” beritahu Muiz Afendy. Aku tak nak dengar dan tak mahu masuk campur, nanti babitkan aku pula. Nak masuk dalam rumah lah. Tak mahu jadi orang tengah atau pun orang ketiga. Itu antara Zana dan Muiz Afendy, janganlah mengolahkan aku di dalam kehidupan kau orang pula. Aku sudah memilih Tengku Fayyad sebagai teman hidupku, yang lain bukan lah menjadi persoalan kepadaku lagi.
“Kenapa Mia?” soal mama kerisauan kerana di depan pintu pagar kelihatan Zana dan Muiz Afendy seperti sedang bertengkar.  Mama risaukan Zana lebih dari aku, anak kandungnya.
“Tak tahu lah, mama!” jawab Damia tidak ikhlas. Pergilah tanya sendiri. Itu kan anak kesayangan mama. Dengan aku mama tak pernah bertanya apa-apa? Cerita aku dengan Tengku Fayyad pun mama boleh buat tidak tahu, sedangkan sudah heboh satu taman aku bercinta dengan Tengku Fayyad. Kasihannya untuk diri sendiri kerana diberi layanan yang tidak adil seperti ini. Sampainya hati mama melayan aku yang tidak ubah seperti anak angkat atau pun anak tiri saja. Aku hendak kahwin dengan Tengku Fayyad pun mama tidak ambil tahu. Bagaimana nih? Sedihnya hari ini hanya hati aku saja yang tahu. Sepatutnya mama gembira dengan perkhabaran aku yang sedang hangat diperkatakan orang. Ini, mama buat tidak mendengar saja.
“Kenapa Zana dan Muiz bertengkar, Mia?” tanya abah pula. Abah sedang berdiri di muka pintu. Risau benar yer melihat pasangan kekasih itu bergaduh. Abah, pergilah tanya anak abah sendiri, boleh tak? Mia nie tak tahu menahu pun.
“Entah!” jawab Damia segan. Abah mengelengkan kepalanya. Dari luar negara sehingga lah pulang ke Malaysia, asyik bergaduh saja Zana dengan Muiz Afendy. Ada saja yang tidak kena. Agaknya kenapa yer? Itu yang merungsingkan. Dia dan Datuk Hisham memang ada rancangan untuk satukan Zana dan Muiz, tetapi tengok gaya seperti Zana bertepuk sebelah tangan saja. Sebelah lagi tidak berbunyi. Muiz seperti sukakan Damia sejak dari alam remaja lagi. Ah, gawat, andainya benar tekaanku ini, keluh hati Dr. Luzman.

Pentengkaran itu di bawa ke dalam rumah. Tetapi bukan antara Zana dan Muiz,  Muiz sudah pulang ke rumahnya. Kali ini Zana yang mengamuk dan melenting. Bakal doktor ini terlalu ikutkan hati dan perasaan, macam mana lah nak menguruskan kes nanti.
“Cinta ini tidak boleh di paksa, Zana!”
“Zana tak kira, Zana tetap nak kahwin dengan Muiz juga. Apa pun cara Abah kena paksa papa Muiz untuk satukan kami!”
“Kau ni dah gila ke apa, Zana?”
“Saya sayangkan Muiz, dan saya tak boleh hidup tanpa Muiz lah abah!” kata Zana sambil berlari masuk ke dalam bilik. 
“Tak matang langsung anak awak tu!” ucap abah.  Damia memasang telinga mahu tahu perbualan antara mama dan abah.
“Siapa? Zana atau Mia!” soal mama ingin tahu. 
“Zana satu hal, Mia pun satu hal!” jawab abah. Aku pula yang dikaitkan? Susahnya apabila orang tidak sukakan kita, silap sikit orang tuduh kita. Tak silap pun orang tuduh kita juga.
“Kenapa dengan Mia?” tanya mama mahukan kepastian.
“Kalau nak kahwin sangat dengan anak raja tu, kahwin saja lah. Ini berkepit siang malam. Awak tak malu ke satu taman dah bercakap tentang ini!”  terang abah. Ooo, sudah tahulah tentang hubungan aku dengan Tengku Fayyad. Andainya berkaitan dengan aku, malu, tetapi yang ada kaitan dengan Zana tak malu lah pula. Hish, tak puas hati lah macam ini.
“Nantilah saya cakap dengan Mia!” balas mama. Tengku Fayyad sudah tahu siapa Damia? Ataupun Tengku Fayyad sebenarnya jatuh cinta kerana kerupawanan Damia Azra. Damia Azra yang banyak mewarisi wajah kacukan papanya. Janganlah Damia Azra ikut sikap papanya  yang buruk itu. Suka berpoya-poya dan kaki perempuan. Tetapi darah yang mengalir di dalam badan Damia adalah darah Datuk Mohsin. Itu yang tidak boleh dinafikan dan aku telah gagal mendidik, membimbing Damia Azra menjadi insan yang berguna, ada ilmu agama dan cemerlang di dalam ilmu pengetahuan. Damia Azra tidak berpengetahuan di dalam setiap bidang. Mahukah Tengku Fayyad perempuan seperti itu untuk dijadikan sebegai isteri. Andainya mahu bagaimana pula dengan ahli keluarga Tengku Fayyad? Sudikah mereka bermenantukan Damia Azra yang tidak memiliki apa-apa itu? Ah, sebagai ibu aku tidak sanggup melihat Damia Azra merana lagi. Kasihannya dia.

Hah.. aku pun sudah lama menantikan saat-saat ini. Saat seorang ibu bertanya akan khabar anaknya. Saat-saat untuk kami saling bercerita akan perihal diri antara aku dan mama.  Rindukan? Sememang aku rindukan saat-saat itu. Aku rindukan bicara dan nasihat dari mama ku sendiri. Aku perlukan belaian kasih sayang dari mama ku. Sudahlah tiada kasih sayang dari seorang papa, mama yang berada dekat denganku pun tidak mengambil berat akan diriku.

Dia menunggu di dalam biliknya. Lama menunggu sehingga terlena tetapi mama tidak berjenggah juga ke dalam bilik. Tidak sudikah mama untuk berbincang dengan aku? Untuk bertanyakan tentang hubungan aku dengan Tengku Fayyad? Sedihnya. Damia Azra menangis di dalam hati sepanjang malam itu. Rasa tersisih yang amat sangat.

Dia dikejutkan dengan suara jeritan seorang perempuan memanggil nama Muiz Afendy berkali-kali. Suara Zana yang berada di bilik bawah berhampiran dengan bilik mama dan abah. Bilik Damia Azra dan si kembar di tingkat atas. Amir dan Amirul mengongsi bilik. Dia sendirian di hujung berhampiran dengan jendela rumah.  Kenapa? Mengigau ke? Atau bermimpi?
“Zana, Zana, kenapa sayang?” terdengar suara mama sedang mengetuk pintu kamar kepunyaan Zana. Risau yang amat sangat.
“Zana nak Muiz juga, Zana takut Mia rampas Muiz!” jerit Zana dari dalam bilik. Hahahaha.. apa lah si Zana ini, ada ke tuduh aku nak rampas Muiz? Tengku Fayyad nak letak dekat mana? Abah kau yang merampas mamaku, dan keturunan aku bukan keturunan perampas lah.
“Mama janji, Muiz akan kahwin dengan Zana dan tak akan pilih Mia!” janji mama membuatkan Damia mahu tergelak besar.  Mama layan Zana seperti budak kecil saja. Hishh, biarlah anak kesayangan mama dan abah berdikari. Pergi belajar sampai luar negara tetapi perangai masih macam budak-budak kecil, rungut Damia.
“Bagaimana dengan Mia?” tanya Zana masih tidak berpuas hati dengan kenyataan mama.
“Mia bukan cintakan Muiz pun!”  jawab abah pula yang sudah lama mendiamkan diri.
“Halau Mia dari sini, Zana tak sanggup melihat Mia di rumah kita lagi,” arah Zana. Selagi Damia ada di sini selagi itulah Muiz Afendy akan mengharapkan kasih sayang dari Damia. Hubungan Damia dan Muiz Afendy harus dipisahkan. Takut kasih Damia berpaling kepada Muiz Afendy pula.
“Nanti mama cakap dengan Mia suruh dia pindah dari rumah kita yer sayang!” ucap mama mengegarkan jantung Damia yang mendengar. Zana anak mama atau aku anak mama? Mama lebihkan Zana dari aku, segala kata Zana, mama patuhi sehingga sanggup halau aku dari rumah ini? Mungkinkah sejak dari dulu lagi mama memang berhasrat untuk menghalau aku dari hidupnya.

Perbualan itu membuatkan Damia malas untuk ke tempat kerja. Hilang kegembiraan di dalam hati. Kurang bersemangat Damia pagi ini, tidak seperti semalam yang penuh dengan bunga-bunga cinta. Pagi ini hendak ke dapur pun amat malas, apa tah lagi untuk mengadap muka mama, abah dan Zana. Tidak sanggup bertentang anak mata dengan ibu kandung sendiri. Dia tidak kisah tentang kata-kata Zana, dia tidak peduli kata-kata abah tetapi dia sengsara dengan janji ibu kandungnya sendiri.
“Akak bergaduh dengan kekasih yer!” usik Amir melihat wajah Damia yang tidak ceria, tidak ada lagu-lagu cinta dari bibir Damia seperti selalu.
“Kenapa Amir cakap begitu?” soal Damia ingin kepastian. Teruk sangat ke muka aku ini? Aku tidak boleh menunjukkan wajah yang masam ini kepada Tengku Fayyad? Nanti apa pula kata Tengku Fayyad bila memandang wajahku yang masam mencuka.
“Muka akak tak berseri lah hari ini? Tentu bergaduh semalam!” jawab Amir  sambil memegang tangan Damia.
“Hehehe.. tak ada lah!” ucap Damia melarikan diri dari pandangan mamanya yang asyik menatap wajahnya

Kereta Tengku Fayyad sedang memasang lagu “Cinta” nyanyian panduan suara Misha Omar dan Jaqceline Victor. Lagu yang membangkitkan rasa cinta yang sedang membara. Tengku Fayyad turut berduet mendendangkan lagu tersebut membuatkan Damia geli hati mendengarnya. Sedap tak mengapa lah juga, ini buat sakit telinga orang saja lah, Tengku Fayyad ooi.
“Kenapa, ada masalah di rumah ke?” tanya Tengku Fayyad. Tidak senyum, tidak berkata-kata seperti selalu. Murung dan sepi. Mesti ada masalah dengan mama dan abah.
“Betulkah Fayyad cintakan saya?”
“Betul, sayang. Setulus hati saya menyintai dirimu, sayang!”
“Betul ni? Bukan main-main!”
“Mia tak percaya dengan saya?”
“Saya perlukan kepastian. Saya takut Fayyad hanya cakap omong kosong dengan saya!”
“Hahahaha..,”
“Serius lah!”
“Kalau begitu Mia ambil cuti hari ini, saya akan buktikan cinta saya kepada Mia hari ini juga!”
“Okey, saya ambil cuti hari ini!” balas Damia. Aku memang malas hendak ke tempat kerja pun. Ke mana lah Tengku Fayyad hendak membawa aku hari ini? Ke rumahnya? Berjumpa dengan abangnya ke? Agak-agaknya ke mana yer?

Kedai Emas Habib’s Jewel.  Itu destinasi Tengku Fayyad dengan Damia Azra.  Muka Damia Azra merona merah apabila Tengku Fayyad menyarungkan sebentuk cincin platinum bertahkta sebutir belian ke jari manisnya. Cincin yang ditempah seawal Damia Azra mula berbicara dengannya. Ini adalah cincin tanda cinta pertama yang berputik antara dia dan Damia Azra. Indahnya cinta dan bahagianya hati kerana dapat memiliki gadis seperti Damia Azra. Damia Azra terlalu cantik.
“Ini buktinya. Tanda ikatan antara kita berdua sudah terikat. Saya tak mainkan awaklah, Damia Azra!”  yakin Tengku Fayyad, dikucupnya tangan kanan Damia Azra dengan ikhlas. Berkaca anak mata Damia Azra. Aku yang beria-ia mendesak Tengku Fayyad tadi, tidak sabar dan tergesa-gesa dalam hubungan. Andainya sudah ada jodoh tak ke mana lah, Mia!
“Terima kasih, Fayyad!” ucap Damia Azra. Terharu.  Semuga mimpi indah ini menjadi kenyataan, doa Damia Azra di dalam hati. Senang rasa di dalam hati. Tiada lagi bintang-bintang kerisauan, tiada lagi daun-daun kebimbangan, yang ada hanya lah bunga-bunga cinta sahaja. Tersenyum bahagia melihat cincin permata berlian di jari manisnya.

Damia Azra mengambil cuti hari ini. Lewat tengah hari dia pulang ke rumah dihantar oleh Tengku Fayyad. Itu pun kerana Tengku Fayyad ada urusan syarikat yang perlu diselesaikan. Tidak jadi ke Pulau Langkawi berjumpa dengan abang Tengku Fayyad kerana rancangan asal Tengku Fayyad mahu membawa Damia Azra berjumpa dengan abangnya. Hendak menunggu abang pulang, asyik menangguhkan rancangan saja. Bila hendak berjumpa, aku sudah lah nak kena halau nih? Risaunya.
“Bik!” panggilnya terkejut apabila melihat barangnya dilempar ke luar rumah.  Baju-baju, kain tuala, dan segala barang hiasan tercampak di luar rumah.  Siapa buat semua ni? Damia mengutip barang-barangnya satu persatu.
“Zana mengamuk, Mia. Habis barang-barang Mia dibuangnya,” beritahu Bibik Indah jujur. Hendak halau aku pun tak sempat-sempat. Berilah aku masa.  Aku perlukan masa untuk berkahwin dengan Tengku Fayyad. Mungkin sebulan dua lagi.
“Mengamuk?? Kenapa?” pura-pura Damia bertanya. Apa yang tidak kena.
“Entahlah. Bibik dah telefon tuan dan puan, nanti dia orang pulang!” jelas Bibik Indah. Diambilnya pakaian Damia di dalam tangan Damia. Damia terbongkok-bongkok mengutip segala pakaiannya Ada yang masih basah kerana baru dicucinya pagi tadi. Habis kotor terkena pasir dan tanah.
“Itu semua kerana kau, perempuan jahanam. Muiz tak mahu kahwin dengan aku kerana kau. Kau tu perampas, perampas kekasih orang. Perempuan tak sedar diri. Sudah lah menumpang di rumah aku. Ini rumah abah aku lah, perempuan!” tengking Zana di muka pintu sambil melemparkan beg pakaian kepunyaan Damia. Terkena badan Damia sehingga Damia mengaduh kesakitan. Sakit lah! Mahu menjawabkah aku sedangkan apa yang diperkatakan oleh Zana adalah benar sekali. Aku hanya menumpang di rumah abahnya. Orang yang berkuasa di dalam rumah ini adalah abah, bukan mama. Lagipun aku sudah matang, sudah dewasa tidak mahu lagi bergaduh seperti zaman kami masih belum dewasa. Aku tidak mahu bergaduh kerana hal peribadi seperti ini.

Pakaian dimasukkan ke dalam beg pakaian. Dibuka zip beg lalu dimasukkan pakaian ke dalam begnya. Hendak ke mana yer? Andainya Tengku Fayyad tahu aku dihalau, tentu perkara ini memalukan. Aduhai, kena berbincang dengan mama malam ini rasanya, kerana aku masih mahu menetap di sini sehingga hari perkahwinanku. Sekurang-kurangnya hal seperti ini tidak perlu diberitahu oleh Tengku Fayyad. Aku tidak mahu Tengku Fayyad tahu hal keluargaku yang sedang bergelora sekarang. Aku tidak mahu Tengku Fayyad tahu bakal isterinya ini dibenci oleh ahli keluarganya sendiri.  Sungguh memalukan.

Damia Azra tidak tahu sama ada mahu melangkah masuk ke dalam rumah atau pergi saja dari sini? Hendak ke mana? Apa pula kata Tengku Fayyad dan ahli keluarganya andainya mereka tahu aku diusir dari rumah sendiri oleh kakak tiriku? Fikirannya terhenti apabila kereta abah masuk ke perkarangan rumah. Abah dan mama keluar dengan muka yang masam mencuka. Gerun Damia Azra melihatnya. Tentu mereka salahkan aku kerana membangkitkan kemarahan puteri kesayangan mereka.
“Kau boleh keluar dari rumah aku sekarang juga, Damia Azra!” pekik Zana semakin menjadi-jadi apabila melihat wajah abah dan mama. Zana tahu apa saja yang dia lakukan semua orang akan menyebelahinya.  Damia Azra memandang ke arah anak mata mama, memohon perbelaan ke atas dirinya.  Tetapi mama tidak berdaya.
“Kenapa ni?” soal abah bengang. Dia dikejutkan dengan panggilan dari Bibik Indah sebentar tadi. Mujurlah Bibik Indah yang menelefonnya kalau tidak entah apa yang bakal berlaku. Sudah dewasa pun masih tidak boleh berfikir yang mana satu baik dan yang mana satu buruknya. Silap aku juga kerana terlampau memanjakan Zana sehinggakan Zana jadi begini. Degil dan besar kepala.
“Zana tak suka Mia tinggal di sini lagi. Abah kena pilih Zana atau Mia yang perlu keluar dari rumah kita,” jawab Zana bangga. Aku sudah tidak sanggup Damia Azra bermesra dengan Muiz Afendy di depan mata ku setiap hari. Apa tah lagi Muiz Afendy telah menolak rancangan abah dan papanya untuk menyatukan kami berdua. Berbagai alasan yang Muiz Afendy berikan tetapi hakikatnya yang sebenar tentulah kerana Damia Azra.
“Masuk Mia, kita berbincang di dalam rumah. Bibik, angkat barang-barang Damia masuk ke dalam biliknya!” arah Dr. Lukman. Andainya salah perlu diperbetulkan, tidak perlu lagi mengikut telunjuk Zana yang sudah melampaui batas sekarang. Tidak tahukah Zana dengan melukai hati Damia, dia telah melukai hati isteriku, mamanya yang meyayanginya melebihi anak kandung sendiri.
“Abah, anak pembunuh ini tak layak tinggal dengan kita. Dia hanya layak tinggal dengan ayahnya yang sudah keluar dari penjara tu,” teriak Zana sambil berlari masuk ke dalam rumah.

Damia mengekori langkah Bibik Indah masuk ke dalam rumah. Abah dan mama menyusul dari belakang.  Alhamdulillah, mujurlah abah menyebelahinya, biar pun Damia Azra rasa pelik dengan tindakan abah hari ini. Tidak pernah abah menyebelahinya tetapi tiba-tiba hari ini abah membuatkan tindakan yang boleh menyebabkan api kemarahan Zana semakin meluak  naik ke udara. Biar betul abah ini?

Melihat wajah Zana yang sedang mengamuk membuatkan Damia Azra kecut hati saja tetapi dia tidak boleh pergi selagi dia tidak berkahwin dengan Tengku Fayyad. Maka, Damia Azra akan ikut kemahuan abah dari keinginan Zana kala ini. Biarlah apa yang hendak berlaku ke atas dirinya tetapi dia masih mahu menetap di sini.