Isnin, 27 Ogos 2012

dendam yang terindah (4)


SEJUK. DINGIN DAN SAYU. Hiba mengigit tangkai hati lalu membawa derita yang akan kekal sepanjang zaman. Satu persatu kata-kata mama datang menyegarkan sinar pagi yang baru memulakan langkah pagi hari. Damia Azra menyandarkan badannya ke dinding Butik Sharifah Rodziah, sambil menarik jaket hitam yang menjadi kain selimutnya semalam. Entah pukul berapa dia terlena semalam dia sendiri tidak pasti kerana memikirkan banyak kejadian yang berlaku dalam kehidupannya sekarang. Sakit di kepala, sakit seluruh badan tetapi yang paling mendalam adalah sakit di dalam hati. Itu penyebabnya yang membuatkan Damia Azra begitu sakit.

Damia Azra membelek jam di tangan, sekarang sudah hampir ke pukul 8.00 pagi, sebelum pukul 9.00 pagi dia perlu beredar dari tempat ini kerana semua kedai-kedai yang di tutup akan mula di buka untuk memulakan perniagaan mereka masing-masing. Mahu pergi ke mana? Pulang ke rumah? Rasanya sudah tidak mahu pulang ke rumah lagi selepas apa yang berlaku semalam. Pentengkaran dengan mama membuatkan Damia Azra tidak mahu lagi pulang ke situ. Tidak suka.

Dia baru saja mahu menyeluk poket seluarnya apabila ada sesuatu jatuh ke atas ribanya. Dia sendiri terkejut dan tergaman. Hanya sempat melihat kelibat seorang remaja lelaki yang memakai warna baju yang sama dengannya berlari laju hilang entah ke mana. Pastinya remaja tadi meragut tas tangan ini lalu membuat onar kepadanya. Muka Damia Azra berubah, hati dan jantung sudah berteraburan di atas lantai. Mati aku! Sahih aku disangkakan yang mencuri beg ini nanti.

Tas tangan berwarna hitam masih berada di atas ribanya ketika dua orang lelaki menghampirinya dan memegang bahu Damia Azra dengan kemas dan kejap. Damia Azra cuba meronta mohon dilepaskan tetapi tidak berjaya.
“Engku, inikah budak yang meragut beg Engku tadi?” soal lelaki berwajah garang.  Damia Azra terpinga-pinga. Beg hitam di atas riba tidak dipegang. Damia Azra memandang wajah Engku yang dimaksudkan oleh lelaki itu. Fikiran menjadi tumpul tiba-tiba. Tidak boleh berfikir.
“Betul lah tu. Budak ni lah Abu yang meragut beg saya tadi!” jawab Engku Zahirah memberi kepastian.  Yakin sekali kerana baju mereka sama. Warna hitam pekat. Sebenarnya dia sendiri tidak mengecam peragut tadi tetapi kerana begnya ada di atas riba Damia Azra, maka Damia Azra lah yang dituduhnya. Bukti sudah ada di depan mata, kalau bukan budak ini siapa lagi. Mana mungkin begnya ini boleh datang dengan sendirinya.
“Bukan saya lah!” balas Damia Azra membela diri.  Engku Zahirah sudah salah orang. Mana mungkin saya. Saya ni hendak berlari pun sudah tidak mampu macam mana lah hendak meragut beg Engku pula. Semalam tidur pun sudah seperti dalam mimpi saja. Alih-alih dituduh pencuri pula. Aduhai, apa lah nasib sudah jatuh ditimpa tangga, sekarang bukan tangga saja ada atas kepala, orang pijak pula kepala.
“Budak ni lah, Abu. Kecil-kecil sudah belajar mencuri, besar nanti jadi penyamun dan perompak. Perempuan pulak tu kalau lelaki lain lah juga!” yakin Engku Zahira membuatkan Damia Azra tidak senang duduk. Panas seluruh badan. Ini benar-benar seperti dalam filem Gerak Khas.
“Sumpah, bukan saya Engku!” yakin Damia Azra. Beg dihulurkan kepada Engku Zahirah. Dengan kasar Engku Zahirah merampas begnya. Mata Engku Zahirah menyilang ke anak mata. Marah sungguh Engku Zahirah pagi ini. Dia baru saja mengeluarkan sejumlah wang dari mesin ATM, belum sempat dia melangkah masuk ke dalam kereta, begnya telah diragut orang. Mujurlah ada Abu, drivernya yang mengejar sehingga dapat dibantu oleh seorang pengawal keselamatan bank yang turut melihat kejadian tersebut. Kalau tidak entah lah apa yang akan berlaku.
“Bawa dia ke balai polis, Abu!”  arah Engku Zahirah. Budak seperti ini harus diberi hukuman. Harus diajar, tidak boleh diberi peluang lagi.
“Tapi Engku, bukan saya yang mencuri. Ada budak lelaki yang melemparkan beg ini kepada saya!” jelas Damia Azra terketar-ketar. Macam mana ni.. Tuhan selamatkan aku. Jerit Damia Azra di dalam hati.
“Jangan banyak beri alasan. Anak siapa agaknya, dah la mencuri, kurang ajar pula. Abu, heret dia ke balai!” jerkah Engku Zahirah membuatkan Damia Azra mahu pengsan saja. Ingin melawan dia sudah tidak berdaya kerana dua orang lelaki ini mencengkam bahunya dengan kuat sekali. Ingin meronta lagilah tidak mungkin akan berjaya. Bagaimana sekarang? Ikut saja ke kerana aku sudah tidak mampu untuk membuat apa-apa.

Dengan tuduhan Engku Zahirah, Damia Azra menjadi mangsa keadaan.  Engku Zahirah menuduh Damia Azra yang meragut dan membawa lari beg tangannya yang mempunyai sejumlah wang yang cukup besar. Damia Azra hilang punca dan kekuatan. Kekalutan ini menjerat Damia Azra ke satu persimpangan yang curam. Sudah lah menjadi anak pembunuh, kini dituduh mencuri pula. Semakin berat dugaan yang Damia Azra rasakan. Damia Azra sudah berpeluh seluruh badan. Mahu pengsan saja. Puas dia merayu kepada Engku Zahirah tetapi Engku Zahirah sudah pulang dengan senang hatinya.
“Boleh beri nombor telefon ibu bapa awak?” soal Inspektor Aziff.  Damia Azra diam tidak menjawab. Andai mama tahu lagi lah kecoh jadinya nanti. Macam mana ni? Hendak minta tolong siapa?
“Damia Azra binti Mohsin,” panggil Inspektor Aziff.  Remaja perempuan di hadapannya terlalu cantik untuk dicop sebagai pencuri. Kalau benar dia mencuri alangkah rugi. Alangkah kasihan kepadanya. Mungkin ada salah faham di sini. Mana tahu kebenaran adalah di sebaliknya.
“Saya tak ada keluarga!” jawab Damia Azra perlahan. Itu kah jawapan yang ada. Inikah pilihan yang tepat.
“Tak kan awak tak ada mak dan ayah kut,” tekan Inspektor Aziff sambil memerli Damia Azra. Ah, takut untuk memberitahu keluarga lah kalau ditangkap begini. Macam lah orang tak tahu. Alasan yang sudah lapuk sebenarnya. Sudah mangli.
“Papa saya ada di penjara, encik!” jawab Damia Azra benar. Tidak menipu. Aku pun kena masuk penjara seperti papa juga ke?
“Siapa papa awak?” soal Inspektor Aziff lagi. Budak ni biar berbetul. Anak siapa agaknya ini? Hati Inspektor Aziff tertanya-tanya.
“Mohsin bin Tan Sri Yaakub!”
“Huh??”
“Itulah papa saya!”
“Kamal, bawa budak ini masuk lokap. Anak pembunuh rupanya!” arah Inspektor Aziff. Tanpa simpati dan kasihan Damia Azra di bawa masuk ke dalam lokap. Terpenjara dan terperangkap di situ. Umpama mimpi dalam mimpi saja hari ini. Damia Azra terduduk. Jaket hitam di tarik memayungi separuh badan. Topi yang di pakai dibuka, lalu terburailah rambut yang panjang mencecah ke bahu itu. Wajahnya putih bersih kemerahan. Damia Azra tidak mengeluh, hanya memandang pagar besi yang memisahkan dia dengan dunia luar. Bagaimana dengan mama? Bimbangkah dia kepada ku kini? Ah, usah peduli mama lagi, Mia. Mama bukannya pentingkan kamu tu.

Ah, dari mengadap muka mama, abah dan Zana lebih baik aku berada di sini. Jauh dari mereka semua. Tidak perlu lagi mendengar leteran mama setiap hari. Tidak perlu sakit hati dengan makian dan hinaan dari Zana saban waktu dan tidak perlu takut kepada jelingan mata abah lagi. Rasanya tidak perlu takut kepada sesiapa pun kini.

Rupanya bila malam menjelma lain pula perasaannya. Keadaaan di dalam lokap ini amat menakutkan. Sunyi dan kelam,seperti berada di dalam gua ataupun kubur saja. Perasaan takut datang menghantui dirinya. Malah seram pun ada. Ingin lena pun tidak boleh kerana terlampau takut. Amat menakutkan. Beginikah rasa tinggal di dalam lokap? Bagaimana dengan papa yang dihukum penjara seumur hidup kerana membunuh? Tidak takutkah papa? Tuhan, aku mahu keluar dari sini. Jeritnya kuat.
Dua hari dua malam Damia Azra di situ kerana dia tidak mahu menghubungi mamanya tetapi mama datang dengan Muiz Afendy se awal pagi. Muka mama masam mencuka. Dari mana mama tahu agaknya? Siapa yang beritahu mama? Mungkinkah Inspektor Aziff yang berjaya mencari mama dan menyuruh mama datang menjaminnya.  Bukan itu saja, mama datang bersama dengan Engku Zahirah. Itu yang membuatkan Damia Azra tidak sangka dan merasa hairan dan terkejut.
“Terima kasih Engku Zahirah kerana menarik kembali tuduhan ke atas anak saya!” ucap Dr. Shahrini sewaktu Damia Azra datang menghampiri mama, Muiz Afendy dan Engku Zahirah yang sedang duduk mengadap Inspektor Aziff.
“Tak perlu ucap terima kasih kepada saya. Saya lepaskan anak awak kerana Datuk Hisham. Lagi satu saya nak ingatkan awak, jaga anak awak, ada rupa tetapi perangai buruk,” tingkah Engku Zahirah sambil bangun dari kerusi.  Mahu saja Damia Azra menjawab, Engku ni sudah lah salah sangka kat saya lepas tu maki saya yang bukan-bukan pula. Saya tak curi lah beg Engku yang mahal itu. Geramnya!
“Apa pun terima kasih Engku Zahirah, saya akan kenang budi dan jasa Engku ini sehingga ke akhir hayat saya!”  ucap mama sekali lagi. Mata Engku Zahirah menatap tepat ke wajah Damia Azra, perasaan marah terhadap Damia Azra masih belum terpadam. Sakit hatinya dengan sikap Damia Azra yang meragut begnya semalam.

Mama membiarkan Engku Zahirah pulang terlebih dahulu. Sebelum itu sempat juga mama berbual dengan Inspektor Aziff meninggalkan Damia Azra bersama dengan Muiz Afendy.
“Kenapa kau tak call aku?” soal Muiz Afendy yang bengang dengan sikap Damia Azra yang tidak menghubunginya. Aku ambil berat tentang diri kau lah, Mia!
“Dari menatap wajah kau lebih baik aku berapa di penjara Muiz Afendy bin Datuk Hisham!” jawab Damia Azra sengaja menyakitkan hati sahabat baiknya itu. Tentu Datuk Hisham, peguam terkenal di Malaysia yang memujuk dan merayu supaya Engku Zahirah menarik balik dakwaan terhadapnya. Terima kasih, Datuk Hisham. Budi baik datuk saya akan kenang sampai bila-bila, lafaz Damia Azra di dalam hati.
“Kau tu tak habis-habis dengan perangai sombong kau. Ingat kan masuk penjara boleh lah kau insaf. Ini tidak, makin menjadi ada lah. Aku tak suka lah dengan perangai kau ni!”
“Aku pun tak suka kat kau jugak lah Muiz!”  balas Damia Azra. Perbualan terhenti apabila mama datang menghampiri mereka berdua. Damia Azra tahu mama semakin marah kepadanya atas penangkapan ini. Mesti mama menuduhnya yang bukan-bukan. Atau paling tepat mama mengaitkan dirinya dengan papa.

Sepanjang perjalanan mereka bertiga berdiamkan diri. Muiz Afendy duduk di depan bersama dengan mama, manakala Damia Azra duduk di kerusi belakang. Damia Azra mencuri pandangan melihat mama yang sedang memandu kereta proton waja dengan cermat sekali. Aku terpaksa tinggal dengan mama kerana papa masuk penjara, kalau tidak kerana itu tentu aku tidak perlu lagi tinggal dengan mama. Sedangkan semua ahli papa sudah tidak mahu mengaku aku sebagai darah daging mereka kerana kemarahan mereka terhadap papa. Semua ahli keluarga papa membuang papa setelah mahkamah menjatuhkan papa bersalah atas pembunuhan tersebut.  Jadi, aku tidak ada sesiapa lagi selain mama, manakala keluarga mama pula lebih menyanjungi abah dan anak-anak mama dan abah yang baru. Termasuk Zana. Nenek dan datuk sayangkan Zana dari aku yang menjadi cucu sendiri. Kerana semua orang marahkan papa yang jahat itu.

Kasih sayang mama terhadap ku?? Entah lah mama sayangkan aku atau tidak kerana perkahwinan mama dengan abah menghadkan kasih sayang antara kami. Antara aku dengan mama, sudah ada Zana, sudah ada si kembar kebanggaan seluruh ahli keluarga. Tetapi yang pasti, mama lebih sayangkan abah dari papa. Abah kan baik, berhati mulia dan bertanggungjawab bukan seperti papa yang merengkok di dalam penjara saat ini. Jadi, tidak boleh salahkan mama dalam hal ini. Aku terpinggir dari semua keluarga, semua orang tidak perlukan aku di dalam kehidupan mereka. Kasih sayang abah tidak setulis kasih sayang papa. Papa sayang ke kat aku ni? Kalau papa sayangkan aku tentu papa tidak menjadi pembunuh? Papa tentu memikirkan aku sebelum membuat apa-apa keputusan. Betul tak?
“Muiz, beritahu kat abah kau, aku ucap terima kasih kat dia yer!” ucap Damia Azra ketika kereta masuk ke perkarangan rumah. Muiz Afendy mengangguk lesu memikirkan tentang Damia Azra yang akan dimarahi oleh mamanya sebentar lagi. Damia Azra sebenarnya baik tetapi tidak ada seorang pun yang dapat memahami hati Damia Azra. Itu masalahnya sekarang!
“Mia kalau tak ada kawan cari aku yer!” pesan Muiz Afendy turut keluar dari kereta mama.
“Apa punya pesanan lah kau ni. Aku okey lah!” jawab Damia Azra tidak mahu Muiz Afendy yang terlebih susah hati  terhadapnya. Dalam hati Damia Azra, hanya tuhan saja yang tahu betapa dia sudah tidak sanggup untuk berhadapan dengan orang di rumahnya. Mama marah, orang lain lagilah marah kepadanya. Andainya dia menerangkan apa yang berlaku, percayakah mama kepadanya? Biarlah Zana dan Abah tidak percaya kepadanya cukuplah mama seorang yang percaya kepadanya. Tetapi mama pun sudah tidak sudi untuk menatap wajah lagi, jadi apa guna untuk menerangkan apa yang berlaku terhadapnya semalam.

Damia Azra melangkah perlahan masuk ke dalam rumah. Terpandang wajah abah dan Zana yang sedang duduk di atas sofa serba mewah itu. Jangan lah sesiapa pun yang memulakan apa-apa bicara kerana aku tidak sanggup untuk mendengarnya.  Janganlah ada sesiapa pun yang menegurku hari ini kerana aku tidak sanggup untuk berdebat hari ini.

Apabila terdengar mama menolak daun pintu untuk masuk ke dalam rumah, Damia Azra semakin mempercepatkan langkah untuk masuk ke dalam bilik kepunyaannya. Mahu mengurungkan diri di dalam bilik saja dan tidak mahu untuk berhadapan dengan sesiapa pun hari ini. Dalam fikiran sudah sarat, sudah tertekan dengan banyak dugaan, cukuplah tu. Kepala pun sudah mahu tercabut sekarang kalau campur dengan penghinaan dari Zana, di kali dengan kemarahan abah dan mama, dia boleh jadi gila hari ini.

Selepas mandi, dia hanya mahu tidur saja. Mahu berehat. Semalam berada di lokap dia tidak boleh tidur lena. Ada saja yang menganggu. Bagaimana lah dengan papa agaknya? Yang akan berada di dalam penjara dalam tempoh masa yang panjang. Bukan sehari, bukan seminggu, bukan juga sebulan tetapi bertahun-tahun papa akan berada di dalam penjara. Sekarang sudah 10 tahun papa merengkok di dalam penjara dan belum pernah sekali dia menjenguk abah. Walaupun Damia Azra tahu papa amat merindui dirinya dan mahu berjumpa dengannya. Setiap tahun papa akan menghantar kad hari raya kepadanya tanda ingatan seorang ayah terhadap anaknya tetapi Damia Azra tidak pernah pun membalasnya.

Petang baru dia bangun. Itu pun kerana perutnya memulas minta di isi. Sudah dua hari dia tidak menjamah apa-apa. Hari ini baru terasa lapar. Semalam tidak kelaparan langsung. Mungkin kerana terkejut di tangkap oleh pihak polis maka perkataan kelaparan tidak wujud di dalam fikirannya. Hari ini dia benar-benar mahu makan. Sudah bebas dari tahanan polis. Apa pun cara kebebasan yang dia miliki, dia tidak mahu ambil tahu. Mungkin mama yang merayu, atau mama yang meminta pertolongan dari Datuk Hisham untuk membebaskannya. Ah, tak kisah lah tu..,
“Bibik, masak apa hari ini?” soal Damia Azra sambil membuka tudung saji di atas meja.
“Mia nak makan? Bibik ambikkan nasi yer!”  jawab pembantu rumahnya yang telah berkhidmat hampir lapan tahun di rumah ini. Bibik Indah sudah tahu perangai Damia Azra yang mahu diberi layanan. Tidak seperti anak-anak majikannya yang lain.
“Boleh juga tu. Nasi dengan ikan campur kicap sudah lah, bik!”
“Ada ayam masak madu dengan sotong tiga rasa, Mia tak nak?”
“Tak mahu. Tak ada seleralah, bik. Rasanya macam nak demam selsema saja. Sakit kerongkong nih!”
“Kalau gitu Mia makan dulu nasi nih, petang nanti bibik masakan bubur nasi yer!”
“Boleh juga tu!”

Baru sempat semulut Damia Azra makan sambil berborak dengan bibik, Zana menghampirinya. Damia Azra berhenti menyuap apabila melihat Zana menarik kerusi lalu duduk di hadapannya. Ingatkan semua orang sudah keluar rupanya ada lagi yang tertinggal di dalam rumah ini. Pengacau ni tak pergi kelas tuisyen ke hari ini? Damia Azra mencapai gelas minuman yang dihulurkan oleh bibik kepadanyanya. Terlekat nasi di kerongkong.
“Kau ni sungguh memalukan keluarga, Damia. Anak tak sedar dek untung. Asyik menyusahkan mama dengan abah saja!” leter Zana membuatkan Damia Azra tidak jadi menyuapkan nasi ke dalam mulutnya.
“Mama dengan abah tak gaduh pun yang kau lebih-lebih nie apa hal?” balas Damia Azra ingin membela diri. Sebenarnya ingin menyedapkan hati sendiri. Aku tahulah semua orang marahkan aku.
“Tak gaduh kau kata? Sebenarnya mama dengan abah meluatkan kau, tak suka kan kau sebab kau tu sudah menconteng arang kat muka mama dan abah. Mama dengan abah ada maruah lah bukan macam kau, anak pembunuh. Kau kena sedar diri kau tu sikit!” sambung Zana menaburkan fitnah. Sengaja mahu menyakitkan hati Damia Azra. Biar Damia Azra tahu mama dan abah tidak sukakan dirinya itu.
“Tak usah nak tipu aku lah. Kau jangan menabur fitnah kat orang tua, nanti fitnah makan diri kau pula!” balas Damia Azra segera bangun untuk membasuh tangannya di singki. Sudah kenyang dengan onar yang diciptakan oleh Zana. Muka Zana merah terbakar. Kata-kata Damia Azra membuatkan dia yang terkena sendiri. Aku tahu lah siapa aku dalam hidup mama, tak usahlah nak pecah belahkan hubungan kami anak beranak pula.
“Orang macam kau memang tak makan saman!” jerit Zana sudah naik hantu. Damia Azra hanya tersenyum mendengar kata-kata Zana yang tidak berjaya menyakiti hati Damia Azra. Kena rasuk lagi lah tu. Kekekeke..,

Mama tidak menegur Damia Azra. Sejak Damia Azra pulang mama tidak lagi bertanya khabar kepadanya, apatah lagi untuk mengetahui cerita yang sebenar. Mama buat tidak peduli saja dengan Damia Azra. Seolah mama sudah putus asa untuk menasihati dan memarahi Damia Azra. Kecil hati Damia Azra dengan sikap mama kali ini, sedangkan Damia Azra inginkan perhatian dari mama. Tetapi mama benar-benar marahkan Damia Azra kali ini sehinggakan mama sudah tidak sanggup untuk berhadapan dengan Damia Azra lagi. Sedihnya hati Damia Azra, hanya Tuhan saja yang tahu.

Damia Azra benar-benar menangis di dalam hati cuma air mata Damia Azra tiada untuk ditunjukkan kepada mama betapa Damia Azra bersedih hati dengan sikap mama sekeluarga. Agaknya betul lah kata Zana petang tadi. Mama sudah bencikan Damia Azra ini...,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan