Ahad, 26 Ogos 2012

DENDAM YANG TERINDAH (2)



PAGI INI DAMIA AZRA PERLU KE sekolah bersama mama dan abah. Mama yang beria benar mahu membuat rayuan bagi pihak Damia Azra belajar di sekolah semula. Tinggal empat bulan saja lagi peperiksaan SPM, mama mahu Damia Azra menduduki peperiksaan tersebut dan beroleh kejayaan seperti Zana dan Muiz Afendy juga. Kalau lah nama Muiz Afendy menjadi sebutan di sekolah, Damia Azra  pun turut menjadi sebutan atas kenakalannya.
“Dah solat?” soal mama apabila melihat Damia Azra masih berpakaian semalam.
“Tak!’ jawab Damia Azra jujur.  Solat ikut suka hati saja. Kalau rajin dia solat, kalau malas, dia tidak solat.
“Solatlah minta dibukakan pintu hati kau tu berubah menjadi baik,” celah Zana, saudara tirinya. Umur mereka yang dibezakan dengan jarak bulan saja. Zana dilahirkan pada bulan April, manakala Damia Azra pula pada bulan Julai.  Hanya berselang bulan saja, sebab itu mereka tidak membahasakan panggilan kakak atau pun adik. Hanya sikembar Amir dan Amirul saja memanggil Zana dengan pangkat kak long, manakala kepada Damia Azra dipanggilnya Kak Ngah.
“Kau diam, kau dan abah kau tak berhak menegur aku, melainkan mama saja!” tengking Damia Azra di hadapan abah.
“Zana pergi sekolah, Pak Mail dah lama tunggu tu!” suruh abah. Nanti perang teluk pula.  Sudah banyak kali Zana dipukul oleh Damia Azra kerana tidak puas hati dengan sikap Zana yang suka benar mencari pasal dengan Damia Azra. Damia Azra pantang dicabar. Bukan itu saja Damia Azra juga jenis yang tidak sabar.
“Baik abah!” ucap Zana sambil menyalami tangan abah dan seterusnya tangan mama.  Jelingan mata Zana membuatkan hati Damia Azra bengkak. Mentang-mentang dia menjadi kebanggaan keluarga, nak tunjuk berlagak lah pulak.
“Kau nak makan penumbuk agaknya!” pintas Damia Azra sambil menunjukkan sebiji penumbuk tangan kanan ke arah Zana.  Zana cepat-cepat berlari keluar menuju ke kereta. Takut! Damia Azra tu dengan sesiapa saja pun dia berani, bukannya dia kira lelaki ataupun perempuan semuanya dibelasahnya. Tak pasal nanti pergi ke sekolah dengan mata bengkak pula.
“Mia, sudahlah tu!” tegur mama. Abah hanya mengelengkan kepalanya saja.Bilalah Damia Azra nak berubah, bukan dia tidak sayangkan Damia Azra tetapi perangai Damia Azra yang suka melawan sejak dari kecil lagi membuatkan hatinya penasaran, geram dan marah. Ditegur, Damia Azra melawan, diberi nasihat lagilah menjadi-jadi. Itu yang membuatkan dia benci sangat dengan Damia Azra.
“Awak pergilah ke sekolah, selesaikan masalah anak awak tu. Saya ada hal pagi ni!” ujar abah. Sudah naik malas untuk masuk campur hal Damia Azra. Buat malu saja. Masuk kali ini sudah kali ke tiga mereka suami isteri membuat rayuan di sekolah.
“Abang janji nak temankan saya kan pagi ni?”
“Anak tiri saya ni bukannya nak dengar cakap pun, saya malu lah. Kalau berubah boleh juga saya pergi merayu. Ini merayu pun buat sakit hati saja!”
“Tak usah pergilah abah, biar saya dengan mama saja pergi. Abah pergilah buat kerja abah tu!” celah Damia Azra. Bihun goreng bersama teh panas di angkat lalu di bawa masuk ke dalam bilik. Damia Azra suka makan di dalam bilik tidurnya dari makan bersama-sama dengan ahli keluarganya yang lain. Memang Damia Azra pun tidak suka dengan abah tirinya itu termasuk dengan anak kandung abah si Zana. Bagi Damia Azra, abahlah yang menyebabkan hubungan Damia Azra dengan mama, renggang lalu menjadi rentak seperti sekarang.
“Tengok, Damia Azra pun tak suka saya ikut awak!” balas Abah dengan nyaring sekali. Sengaja mahu Damia Azra mendengar kata-katanya.  Sedar pun diri tu, balas Damia Azra di dalam hati.

Bihun dijamahnya sedikit saja. Begitu juga dengan air teh. Bekas makanan dan minuman dibiarkan begitu saja. Nanti kalau bukan mama yang mengutipnya, ada Bibik Indah yang akan tolong mengemas untuknya.  Bilik dibiarkan terbungkam begitu saja, segala pakaian berlonggok di atas katil.
“Bik, nanti basuh baju-baju saya yer!” jeritnya ketika mahu masuk ke bilik air.
“Baik, Cik Mia!” sahut Bibik Indah. Kalau tidak disahut lagi kuatlah jeritan Damia Azra akan kedengaran di rumah ini sampai terdengar di rumah Muiz Affendy di sebelah.
“Kemas katil sama, jangan jadi penyegan, pemalas..,” sambung Damia Azra lagi. Suka sangat mengarahkan pembantu rumahnya itu.
“Baik, bos!” jerit Bibik Indah dari ruang dapur. Mama mengelengkan kepala. Ini betul-betul sikap Datuk Mohsin. Datuk Mohsin anak jutawan, harta Datuk Mohsin melimpah ruah, kalau lah tidak kerana kes itu, Damia Azra tentu sudah jadi tuan puteri sekarang. Datuk Mohsin dulu hendak mengangkat sebuah pinggan ke singki pun tidak mahu kerana dia memang dibesarkan dengan dikelilingi kemewahan. Anak orang kaya mana buat kerja rumah. Kini, sikap itulah diwarisi oleh Damia Azra. Payahnya hendak mengajar Damia Azra berdikari seperti anak-anaknya yang lain, keluh Dr. Shahrini sambil masuk ke dalam biliknya untuk mengambil pakaian sekolah yang sudah siap diseterika olehnya. Hendak suruh Damia Azra seterika baju sendiri, alamatnya pergi ke sekolah dengan baju yang berkedutlah jawabnya.

Pintu bilik Damia Azra ditolak perlahan. Anak itu sedang mandi sambil rancak menyanyi bersama desiran air yang mencurah kuat. Dr. Shahrini menyakut pakaian sekolah Damia Azra berhampiran dengan almari pakaian. Baju-baju yang bersepah dikutipnya lalu dimasukkan ke dalam bakul. Malah dia turut mengemas katil Damia Azra yang tidak terurus itu. Pinggan bihun dan cawan turut diambil, lalu dia berlalu keluar. Macam mana lah hendak mendidik Damia Azra supaya menjadi insan yang berguna. Salahkah aku selama ini dengan segala asuhan? Damia Azra tidak mahu belajar, tidak mahu solat, tidak pandai mengambil hati orang tua apatah lagi untuk menghormati orang, contohnya Dr. Shahrini tahu Damia Azra tidak pernah menghormati suaminya seperti seorang ayah. Damia Azra pendemdam? Mungkin lah, kerana dia bersuami lain meninggalkan ayah kandungnya ketika lelaki itu masih merengkok di dalam penjara. Tidak sanggup bersuamikan Datuk Mohsin yang kaki perempuan itu lalu dia menukar cinta kepada lelaki lain. Dengan Lukman, dia bahagia ditambahi dengan kehadiran si kembar zuriat antara dia dan Lukman membuatkan hidupnya sudah lengkap. Ada suami yang penyayang dan ada anak-anak sebagai penyeri rumah tangga tetapi Damia Azra?? Anak ini yang mencemaskan hatinya.

Dr. Shahrini mendengar anak itu berjalan di belakangnya. Segera dia menoleh melihat ke arah Damia Azra yang siap berpakaian t-shirt dan seluar jeans berwarna biru. Rambut yang mencecah bahu sudah diikat kemas. Cantik. Ketampanan wajah Datuk Mohsin diwarisi oleh Damia Azra. Hidung mancung, kulit putih, matanya yang begitu menawan. Semuanya milik Datk Mohsin. Sayangnya, Datuk Mohsin tidak dapat melihat Damia Azra membesar di hadapan mata.
“Kenapa tak pakai baju sekolah?”
“Pakai macam ni tak boleh ke mama?”
“Kita nak pergi sekolah sayang, bukan nak pergi shoping!”
“Mama, Mia tak mahu sekolah. Mia dah tak minat belajar!” jawab Damia Azra membuatkan Dr. Shahrini termangu. Tidak terkejut dengan jawapan itu tetapi dia sedikit tergaman. Anak itu memang tidak minat belajar pun. Sudah ketara benar tentang itu.
“Belajar lah, dah tak lama nak SPM. Sayang kalau tak ambil SPM!” pujuk Dr. Shahrini. Damia Azra mempunyai otak yang bijak, Cuma malas dan penyegan.  Degil dan suka membantah itu satu hal. Di sekolah, orang suka hina dan cakap yang bukan-bukan tentang Damia Azra. Damia Azra anak pembunuh, Damia Azra jahat seperti papa dan bermacam lagi. Malah ada orang cakap Damia Azra bukan anak mama tetapi anak perempuan jahat seperti papa juga. Damia Azra sudah tidak sanggup mama untuk mendengar umpatan dan kejian orang.
“Mia tak nak ke sekolah...” renggek Damia Azra seperti anak kecil, meminta supaya mama memahami hati dan perasaannya ketika ini.
“Mia nak jadi apa kalau tak ke sekolah? Nak jadi penjahat? Mia kena buktikan cakap abah tu tak benar. Cakap orang-orang tu salah. Mama tahu Mia bijak dalam pelajaran, betul tak?” cabar Dr. Shahrini. Pelajaran itu lah bekalan hidup, Mia. Harta kita boleh cari tetapi kalau tidak berilmu macam mana lah kita mahu meneruskan kehidupan. Ilmu itu cahaya kehidupan, Mia.
“Okey lah, tunggu Mia tukar pakaian!”  ujar Damia Azra mengalah. Dr. Shahrini tersenyum, Damia Azra sebenarnya mempunyai sekeping hati yang lembut. Kalau kena pada cara termakan juga pujuk rayu orang. Andainya Damia Azra sanggup berubah, dia rela menggunakan segala kuasa demi kepentingan Damia Azra. Dia tidak mahu Damia Azra tercicir di dalam pelajaran. Kalau boleh dia hendak melihat Damia Azra masuk universiti seperti anak-anak orang lain juga. Itu hasrat dan impiannya. Andainya Datuk Mohsin berada di sini, tentu itu juga harapan Datuk Mohsin, mahu melihat puteri ini berjaya. Semua ibu bapa mahu melihat anak-anak mencapai kejayaan di dalam pelajaran dan mendapat kerja yang menjamin masa hadapan.

Itu hasrat Dr. Shahrini tetapi bukan harapan pihak sekolah. Pihak sekolah sudah tidak sanggup menerima pelajar seperti Damia Azra lagi. Peluang untuk Damia Azra sudah tertutup rapat. Puas Dr. Shahrini merayu tetapi pendirian Cikgu Hamidon, pengetua sekolah itu tetap juga tidak berganjak.
“Pihak kami sudah tidak sanggup, doktor. Damia Azra kaki pukul di sekolah, disiplin Damia Azra amat teruk. Suka melawan cikgu-cikgu di sini, buat kacau di dalam kelas dan banyak lagi. Damia Azra memberi kesan yang cukup besar di sekolah ini. Ibu bapa pelajar di sekolah ini memandang berat kes Damia Azra, malah melarang kami untuk mengambil Damia Azra belajar semula di sini,” panjang lebar penerangan Cikgu Hamidon. Cikgu disiplin yang garang pun tewas dengan telatah Damia Azra, apatah lagi dengan cikgu-cikgu yang lain. Tidak sanggup untuk mendengar komen-komen daripada pelajar-pelajar sekolah tentang keburukan Damia Azra. Semua orang bencikan Damia Azra dan tidak mahu menerima Damia Azra belajar di sini lagi.
“Tetapi cikgu..,” perlahan suara Dr. Shahrini. Apa lagi harapan yang tinggal kini? Damia Azra, bagaimana dengan nasib mu, sayang. Dr. Shahrini sudah seperti mahu menangis. Sudah hilang segala kekuatan.
“Yuran peperiksaan sudah pun doktor jelaskan awal tahun kan, nanti bawalah Damia Azra datang ambil exam. Pihak kami tidak menghalang Damia Azra untuk mengambil exam SPM hujung tahun ini,” ujar Cikgu Hamidon sebagai penutup bicara.
“Kasihan anak saya cikgu, berilah dia peluang, sekali lagi..,” rayu Dr. Shahrini yang terakhir kali. Jelas mukanya sedih tetapi Damia Azra tersenyum bahagia. Senangnya hati kerana tidak perlu ke sekolah lagi.
“Maaf doktor, saya terpaksa menolak rayuan doktor kali ini!” pintas Cikgu Hamidon, tidak mahu lagi mendengar rayuan dan pujukan dari Dr. Shahrini.

Hampanya hati Dr. Shahrini atas penolakan Cikgu Hamidon tidak sedikitpun membuat Damia Azra rasa bersalah. Sepanjang perjalanan pulang Damia Azra menyanyi riang. Tidak sedikit pun peduli hati dan perasaan mamanya. Di dalam fikiran Dr. Shahrini sudah ada berbagai rancangan. Tidak mengapa lah kalau tidak boleh belajar di sekolah kerajaan, sekolah swasta kan banyak. Hantar saja ke sekolah swasta. Duit bukannya menjadi persoalan untuk Dr. Shahrini menghantar Damia Azra belajar ke sekolah swasta.
“Mama hantar Mia belajar di sekolah swasta nak?” pujuknya perlahan. Dengan Damia Azra jangan dimarah-marah nanti Damia Azra semakin mengamuk.
“Tak mahu!” jawab Damia Azra berhenti menyanyi.
“Mia, pelajaran tu penting. Mia tak mahu ke jadi insan yang berjaya seperti Zana, seperti Muiz?”
“Jangan habiskan duit mama untuk Mia yang malas ni, mama. Mia sudah tak minat belajar. Di mana pun Mia sekolah, orang tetap tidak akan menerima Mia!” tutur Damia Azra. Anak ini suka berterus terang dari menyimpannya di dalam hati. Sebenarnya Damia Azra bersikap jujur kepada diri sendiri. Apa saja yang Damia Azra lakukan dia tidak pernah membohongi dirinya. Damia Azra akan bercakap benar, biar pahit dan perit.
“Mia, belajar lah. Mama carikan guru mengajar di rumah kita. Belajar rumah tidak ada sesiapa pun yang berani kacau Mia lagi. Boleh kan?”  sungguh juga kata Damia Azra. Ke mana Damia Azra pergi memang Damia Azra tidak dapat lari dari kenyataan itu. Kenapa lah masyarakat tidak boleh membuka minda tidak semestinya ayah jahat anaknya pun jahat juga.
“Mama..,”
“Mia, boleh tak dengar cakap mama kali ini. Mama tidak mahu masa depan Mia musnah, hancur macam ni saja.  Mama tak sanggup melihat Mia menyesal di kemudian nanti, faham?” keras suara Dr. Shahrini. Aku sanggup keluarkan duit sendiri untuk sambung belajar dulu kenapa lah Damia Azra tidak mahu mengikut jejak langkah aku? Kalau aku boleh tentu anak kandung aku juga boleh melakukannya.
“Ikut suka hati mama lah!” ujar Damia Azra mengalah.
“Esok, mama jemput cikgu datang mengajar ke rumah kita. Mia belajar kat rumah, jangan ke mana-mana!” pesan Dr. Shahrini ketika sampai ke rumah. Anak itu tidak bersuara. Mahu atau tidak mahu, hanya mendiamkan diri saja. Dr. Shahrini melihat Damia Azra berjalan masuk ke rumah. Harap anak itu akan berada di rumah sehingga dia pulang petang nanti. Sekarang dia perlu bergegas ke hospital.

Kereta mama sudah hilang, Damia Azra yang curi melihat mama dari dalam rumah segera keluar semula. Tinggal di rumah bersama Bibik Indah dan Pak Mail saja membuatkan dia tidak tentu arah. Bibik Indah sibuk dengan kerja-kerjanya, Pak Mail pula sejak tadi sedang membaca utusan malaysia.
“Nak ke mana tu?” tegur Bibik Indah membuatkan Pak Mail turut terkejut.  Segera dipandang Damia Azra yang sudah berdiri di pintu pagar.
“Nak keluar!” jerit Damia Azra.
“Jom, pak cik temankan. Mia nak ke mana?” soal Pak Mail. Dia sudah diberi tugas baru sekarang, selain menjemput Zana dan si kembar di sekolah, dia juga harus mengikuti ke mana saja Damia Azra pergi. Itu arahan Dr. Lukman kepadanya. Anak ini perlu diawasi kerana sudah banyak cakap-cakap orang yang tidak elok disampaikan kepadanya.
“Tak usahlah pak cik. Mia naik teksi atau bas saja!” jawab Damia Azra. Buat apalah nak ikut aku, buat menyusahkan aku saja.
“Tak mengapa, biar pak cik temankan Mia. Naik kereta baru ada kelas. Jom lah!” pujuk Pak Mail membuatkan hati Damia Azra tergoda. Naik teksi entah pukul berapa mahu sampai ke pusat bandar.  Hendak kena tunggu lagi. Bukankah semua itu membuang masa saja. Baik pergi dengan Pak Mail  saja walaupun dia tahu Pak Mail mungkin disuruh oleh mama untuk mengekorinya. Lantak lah, asal hari ini ada orang yang sudi menemaninya.
“Abah tak marah ke pakcik ikut Mia?” soal Damia Azra. Mana tahu Abah mengamuk bila tahu Pak Mail membawa Damia Azra makan angin di pusat bandar hari ini dengan kereta yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan Zana dan si kembar kesayangan abah itu.
“Tak. Jom lah.  Mia nak ke mana?”
“Kita pergi KLCC nak?”
“Boleh, tak ada masalah!” jawab Pak Mail membuatkan Damia Azra kehairanan. KL dengan Melaka ni makan masa lah, untuk pergi dan balik. Siapa hendak mengambil Zana dan adik-adik balik sekolah tengah hari nanti. Jangan lah kerana Mia, pak cik kena marah pula.
“Kita pergi ronda-ronda kat sini sudah lah, pak cik. Yang tadi tu Mia bergurau saja!”
“Kenapa pula? Lagi pun pak cik nak kena beli barang lah kat KL tu, mama yang suruh!” 
“Patutlah pun pak cik nak ikut Mia. Ada sebab rupanya!”

Damia Azra ini sebenarnya anak yang baik tetapi keadaan yang menyebab Damia Azra jadi nakal. Kalau ingat apa yang berlaku ke atas Damia Azra tentu kita sendiri tidak sanggup menghadapinya. Bayangkan si kecil ini sudah terpaksa berhadapan dengan masalah yang cukup hebat sewaktu papanya ditangkap polis waktu itu. Di soal oleh pihak polis. Ditemu bual oleh segala macam wartawan yang mahu mendapat berita waktu itu. Siapa tidak mahu tahu tentang Datuk Mohsin, yang kaya, yang kacak itu tiba-tiba ditangkap polis kerana membunuh. Sedangkan selama ini Datuk Mohsin menjadi rebutan setiap perempuan walaupun mereka sudah tahu Datuk Mohsin itu suami orang.

Andainya kita berada di tempat Damia Azra, entah-entah sudah pun merengkok di dalam penjara kerana tidak sabar menghadapi dugaan kehidupan. Ataupun menjadi manusia yang kurang siuman kerana di beri tekanan yang cukup berat. Jadi, jangan salahkan Damia Azra atas apa yang berlaku tetapi orang di sekeliling yang bersalah kerana tidak mahu memberi peluang kepada Damia Azra.

Seharian bersama Pak cik Mail membuatkan dia terhibur. Hilang segala duka di dalam hati. Sudah hilang muka Cikgu Hamidon yang bengis tadi. Sudah kabur wajah mama yang sedang kesedihan. Damia Azra tahu mama sedih mengenangkan masa depan Damia Azra, Damia Azra juga tahu akan itu tetapi apa yang boleh Damia Azra lakukan?

Berat hati yang sengsara, berat lagi hati, Mia ini mama. Cuma Mia tidak tahu kepada siapa Mia harus adukan duka di dalam hati ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan