Isnin, 27 Ogos 2012

DENDAM YANG TERINDAH (3)


SEBELUM MAHGRIB BARU MEREKA berdua sampai ke rumah. Ah, kena balik awal hari ini kerana terpaksa mengikut kemahuan Pak cik Mail.  Apa pun Damia Azra tidak kisah, lagi pun dia sendiri sudah letih berhibur di luar tadi.

Pak mail sudah beredar meninggalkan Damia Azra yang masih berada di luar kawasan rumah. Dia tidak terus masuk ke dalam rumah tetapi sengaja makan angin sebentar sebelum melangkah masuk. Pintu ditolak sedikit, terdengar suara Zana yang sedang bersuara. Apa hal pulak ni?
“Mama tak adil.  Mama lebihkan Mia dari saya dan adik-adik yang lain. Saya pun nak exam juga lah tetapi mama tak cari pun cikgu untuk saya. Tetapi untuk Mia mama sanggup pula perhabis duit untuk cari cikgu mengajar Mia di rumah,” dengus Zana kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mama mengajikan seorang cikgu untuk mengajar Damia Azra di rumah. Hebat lah Damia Azra, dibuang sekolah pun mama masih sanggup berkorban.  Mentang-mentang lah Damia Azra itu anak kandung mama, jadi mama sanggup buat apa saja untuk Damia Azra.
“Mia ada masalah di sekolah, jadi mama kenalah cari cikgu untuk mengajar Mia. Lain lah Zana yang bijak ni. Zana kan anak papa!” pujuk Dr. Lukman. Isteri ku ada hak untuk anak kandungnya, dan aku tidak mahu menjadi penghalang untuk menyekat kehendak isteriku. Andainya aku berada di tempat Shahrini tentu aku juga melakukan perkara yang sama untuk masa depan anak masing-masing.
“Abah sokong mama?  Abah, Mia tu anak tiri abah lah bukan anak kandung abah pun!” ungkit Zana membuat Damia Azra sakit hati.  Zana selalu membezakan antara mereka berdua. Dia sedar dia anak mama, bukan anak papa.
“Zana, mama tak pernah bezakan Zana dan Mia cuma Mama nak beri peluang kepada Mia saja. Mama nak lihat Mia berjaya seperti Zana dan anak-anak orang lain juga!” terang Dr. Shahrini. Hai, susahnya. Damia Azra anak kandung aku. Tentu aku hendak yang terbaik untuk Damia Azra.
“Orang seperti Mia tak akan berjaya lah, Mama!” balas Zana masih tidak berpuas hati. Berdesing telinga dibuatnya. Dr. Shahrini memandang ke arah wajah suaminya yang sudah bermasam muka. Kerana Damia Azra kami bertengkar hari ini. Semalam sudah berbincang apakah yang sepatutnya dilakukan sekiranya pihak sekolah menolak rayuan mereka. Dan Dr. Lukman yang mencadangkan idea ini kepada isterinya apabila melihat isterinya begitu susah hati memikirkan tentang masa depan Damia Azra.
“Zana, tak baik lah cakap macam tu!” marah Dr. Lukman. Zana dan Damia Azra saling cemburu. Tidak boleh siapa yang terlebih sedikit, mula lah merungut dan mengungkit. Siapa anak tiri, siapa anak kandung tidak penting kerana kami menyayangi mereka berdua. Aku sayangkan Zana kerana Zana anak aku dan apakah menjadi satu kesalahan andainya Shahrini menunjukkan kasih sayangnya kepada Damia Azra kerana Damia Azra adalah puteri kesayangan kepunyaan Shahrini. Damia Azra tentu mempunyai keistimewaan tersendiri di sudut hati Shahrini kerana Damia Azra adalah zuriat antara Shahrini dengan Datuk Mohsin. Itu aku hormati, desis hati Dr. Lukman.
“Zana tak mahu abah lebih sayangkan Mia dari Zana. Zana tak sukaaa..,” jerit Zana. Damia Azra yang mendengar sejak dari tadi menolak daun pintu dengan perlahan. Bengangnya dengan sikap Zana. Mengada-ngada.
“Bising apa ni? Awak tu memang dah jadi kesayangan abah dan mama. Tak puas hati lagi ke?” marah Damia Azra sambil menjeling tajam ke arah Zana. Mahu saja dia menerkam Zana kala ini. Hilang sudah mood gembirannya sebentar tadi.
“Kau tu tak reti belajar buat lah cara tak reti belajar. Bodoh buat cara bodoh. Ini tidak nak perhabiskan duit mama dan abah pula!”
“Aih, cakap elok sikit. Tu duit mama aku. Tak usik pun duit abah kau!” bela Damia Azra. Geramnya. Api kemarahan sudah meletup dalam dada. Sudah pecah mengalir keluar.
“Mana kau tahu itu duit mama?” dalih Zana. Entah-entah duit abah, kau tu yang tidak tahu.
“Zana, pergi masuk bilik!” celah Dr. Lukman tegas. Pergaduhan ini perlu dileraikan nanti semakin melarat pula. Dr. Lukman tahu Zana akan mendengar kata-katanya, sebab itu dia mengeluarkan arahan sebegitu. Dari arah Damia Azra elok arah Zana. Damia Azra tidak akan berganjak kalau dia jerit keluar anak kerengkong sekali pun. Zana patuh tetapi di dalam keadaan marah dan tidak berpuas hati. Penuh dengan perasaan demdam kepada Damia Azra.

Zana menghempas daun pintu dengan kuat. Bergegar rumah. Malah dapat terdengar juga suara amukan Zana di dalam bilik. Aduh, anak itu tidak pandai untuk menjaga hati dan perasaan orang lain. Sekurang-kurangnya hormatilah perasaan mamanya kalau tidak kerana aku pun. Dr. Lukman meninggalkan Damia Azra bersama isterinya. Damia Azra ni hanya makan pujuk rayu mamanya saja bukan orang lain. Jangan masuk campur hati Damia Azra yang sedang marah kala ini.
“Mia!”
“Mia ada hal nak keluar sekejap!” ucap Damia Azra. Tentu Damia Azra sudah terdengar perbualan kami tadi. Tengok riak di wajah pun sudah tahu, hati Damia Azra terluka dengan kata-kata Zana sebentar tadi.
“Dah mahgrib ni...,”
“Tahu.. tapi Mia benar-benar ada hal!” balas Damia Azra. Aku perlu mencari ketenangan diri saat ini. Aku mahu berjauhan dengan seisi rumah ini di waktu sekarang.
“Solat dulu!”
“Tak mahu!” ujar Damia Azra mula mengatur langkah untuk pergi.  Dr. Shahrini mengelengkan kepalanya. Bingung. Damia Azra dengan Zana tidak pernah sebulu sejak dari dulu lagi. Sejak dari seawal perkahwinannya dengan Lukman. Waktu itu usia Damia Azra baru 7 tahun. Begitu juga dengan Zana. Tidak pernah kena angin!
“Kenapa bantah sangat ni? Masuk Mia!” jerit Dr. Shahrini. Terpaksa berkeras kerana Damia Azra sudah berada di depan mata. Terkejut Damia Azra mendengar suara pekikan mama yang nyaring di kala senja begini. Langkahnya terhenti di muka pintu. Segera Damia Azra melihat wajah mama yang sudah bertukar menjadi garang tiba-tiba. Mama sudah naik marah, takut Damia Azra memandangnya. 
“Orang mengata awak, awak marah, awak melenting. Tapi sungguh kan semua tu?” makin melenting Dr. Shahrini. Sudah lupa hari sedang senja dan waktu mahgrib sekarang. Tiba-tiba dia naik hantu memandang wajah Damia Azra. Kenapa? Terusik dengan kata-kata Zana sebentar tadi ke?
“Rinie, solat dulu. Tak baik marah anak waktu-waktu macam nie!” tegur Dr. Lukman dari dalam biliknya. Terdengar suara isterinya yang masih kecoh di luar. Apa lagi yang tak kena agaknya? Ini yang kerap berlaku pada perkahwinan kali kedua. Tambahan lagi masing-masing ada anak yang sama umur dan meningkat dewasa. Amirul dengan Amir tak ada masalah pun, boleh pula berbaik dengan kedua-dua orang kakaknya, tetapi berbeza dengan Zana dan Damia Azra. Sentiasa bertelagah. Sampai bila begini? Sampai ke akhir hayat ke? Sedangkan usia perkahwinan kami sudah pun masuk sepuluh tahun tetapi tidak nampak nampak pun mereka berdua akan berbaik.

Damia Azra dan mamanya berpisah. Seorang naik ke tingkat atas, seorang lagi menuju ke biliknya yang tidak jauh dari situ. Masing-masing membawa hati yang sakit. Terlalu sakit.Tentu mama serba salah sekarang dengan kata-kata Zana sebentar tadi. Zana pun satu macam tu pun nak mengungkit. Salahkah mama kalau mama lakukan semua itu untuk aku. Aku kan anak mama dia itu hanya anak tiri saja. Tentu lah ada perbezaannya. Itu pun tak kena? Salah ke?

Selesai solat mahgrib Damia Azra keluar melalui pintu belakang tanpa disedari oleh sesiapa pun kerana waktu itu masing-masing berada di dalam bilik masing-masing. Dia sudah tidak bentah berada di dalam rumah ini malam ini. Terasa sesak. Terasa lemas. Semuanya rasa seperti dia tenggelam di dalam lautan yang luas. Sudah tidak boleh bernyawa lagi. Damia Azra perlu keluar dari kelemasan ni. Itu yang pasti.

Damia Azra membawa hati yang lara. Tidak tahu inikah benar-benar jalan yang menjadi pilihannya ataupun sebenarnya dia sudah tidak jalan lain selain jalan ini. Berada di rumah dia sengsara, berada di sini dia sebenarnya kehilangan pedoman. Hilang arah dan tujuan. Betulkah ini jalan yang dia pilih ataupun sebenarnya ini jalan yang salah?

Lama dia berada di perhentian bas. Tidak tahu hendak ke mana. Rancangan awal  hanya mahu pulang ke rumah untuk menghilangkan lelah selepas penat makan angin bersama Pak Mail. Tetapi lain pula yang menjadi. Masih jelas dalam cuping telinganya butir bicara Zana, mama dan abah di rumah tadi. Damia Azra mengeluh perlahan. Apa nak jadi dengan aku agaknya.
“Mia, buat apa kat situ?” Jerit suara Muiz Afendy di seberang jalan. Tentu baru balik dari masjid solat mahgrib.
“Tengok kau lah!” balas Damia Azra sambil tersenyum. Ada lagi pengikut aku malam ini. Ingatkan bolehlah bersendirian.
“Kau nie bergaduh dengan Zana pun melarikan diri. Cuba kuatkan hati tu!”
“Kau dengar ke kami bergaduh tadi?”
“Dengar lah. Bising yang amat!” kebisingan ini yang membuatkan dia melihat dari sebalik daun tingkap rumahnya. Rumah mereka berkembar. Jadi, apa-apa berlaku di rumah sebelah, dia memang tahu pun.
“Susah jadi anak tiri, tambahan lagi orang tak suka pula tu!” luah hati hati Damia Azra kepada Muiz Afendy. Muiz Afendy saja yang mengerti perasaannya. Sewaktu kecil tiap kali dia menangis selepas bergaduh dengan Zana, Muiz Afendy lah yang akan datang memujuknya.
“Jom, kita pergi makan kat warung sebelah tu. Aku belanja kau makan, nak?” ajak Muiz Afendy mengalihkan topik perbualan. Muiz Afendy tahu hati Damia Azra terhiris lagi petang ini.
“Boleh juga, lapar ni!” balas Damia Azra sambil bangun dari kerusi yang didudukinya. Mereka menyeberangi jalan bersama-sama.Kebetulan tidak jauh dari situ ada warung menjual char kaw tiaw kerang yang sedap sekali. Tetapi makan lain juga turut dijual di situ. Ada mee rebung kerang dan nasi lemak sambal kerang. Semuanya berasaskan kerang.
“Mia, Muiz nak makan apa?” tanya Abang Haikal, mahasiswa UPM yang menolong ibunya meniaga di waktu malam. Mak Cik Hajar memang tidak menang tangan waktu-waktu begini, kerana orang yang datang terlalu ramai. Tempat duduk tinggal dua saja yang kosong.
“Mia nak makan char kaw tiaw kerang,”
“Muiz?”
“Nasi lemak lah!”
“Minum?”
“teh tarik lah!” jawab Damia Azra dan Muiz Afendy serentak. Abang Haikal hanya tersenyum melihat gelagat mereka berdua.
“Orang tak suka kau kena buat bagi orang suka kan kau. Ini tidak, orang tak suka kau, kau makin melawan. Abah kau tu baik orangnya!” tegur Muiz Afendy. Kau tidak pandai mengambil hati orang Mia, terlalu ikut hati dan perasaan kau.  Mata Muiz Afendy merenung wajah Damia Azra yang putih dan bersih. Mia cantik, memang itu tidak dapat dinafikan. Hendak bandingkan Zana dengan Mia, memang menang kat Mia tentang ini.  Salah satu punca yang menyebabkan Zana cemburukan Mia.
“Abah tu sama saja dengan Zana. Tak baik pun!” balas Damia Azra. Aku tahu lah sebab aku tinggal sekali, kau tu hanya anak jiran sebelah rumah saja. Muiz Afendy mengelengkan kepalanya.
“Kau tu  yang degil, tak mau mengaku kalah, tak nak mengaku salah. Asyik salahkan orang saja!”
“Cukup Muiz. Aku dah tak nak dengar semua ini lagi. Sudah lah di rumah kena marah, sekarang kau pula marah aku!” keras sedikit suara Damia Azra. Aku ni sudah berserabut akar dalam kepala. Kau pula datang menambah. Bukan nak kurangkan sakit kepala aku ni, nak kasi lagi sakit ada lah.
“Mia..,”
“Abang Haikal, bungkus yer char kaw tiaw dengan teh tarik saya. Cepat sikit!” arah Damia Azra. Tak Jadi makan di sini.  Muiz Afendy sedikit kesal dan serba salah. Tak sayang mulut. Untuk apa lah cari gaduh lagi sedangkan sudah tahu hati Mia gelisah dan resah malam ini. Sepatutnya aku mendengar masalah Mia bukannya cari pasal dengan Mia.
“Saya pun bungkus juga,” suara Muiz Afendy. Dia mahu ikut jejak langkah Damia Azra malam ini. Tidak mahu membiarkan Damia Azra membawa hati yang rawan.
“Kenapa ikut aku?” marah Damia Azra. Ketika itu Abang Haikal sudah pun datang membawa pesanan mereka berdua.
“Siapa ikut siapa?” marah Muiz Afendy sambil membayarnya kepada Abang Haikal. Damia Azra bangun, Muiz pun turut bangun dari situ.  Damia Azra berjalan pulang semula ke rumah. Terasa malas mahu keluar ke pekan. Lepas makan mahu tidur saja di dalam  bilik. Itu niat Damia Azra.
“Tak payah ikut aku ler!”
“Woi Mia, rumah aku sebelah rumah kau saja. Kau lupa ke?”
“Aku kata tak payah ikut aku, bukan aku tanya rumah kau di mana?”
“Ikut suka hati aku lah nak jawab macam mana pun. Kau apa peduli!”
“Benci lah macam ni!”
“Benci tetapi rindu ke, Mia?”  perlahan suara Muiz Afendy membuatkan Damia Azra tersenyum tiba-tiba.  Aku anggap kau macam seorang abang saja, tak ada perasaan lain. Tak main lah nak bercinta monyet dengan kau.
“Jom Mia, kita makan bawah pokok mempelam depan rumah aku. Nak?”  ajak Muiz Afendy apabila sampai di rumahnya terlebih dahulu.
“Jom!”

Enak menjamu selera sambil bergurau senda sehingga terlupa ada sepasang mata sedang melihat kemesraan mereka berdua. Pergaduhan antara Damia Azra dan Muiz Afendy mudah terlerai kerana Muiz Afendy pandai mengambil hati Damia Azra.  Baru makan separuh tetapi mereka berdua dikejutkan dengan kehadiran Zana yang memandang mereka berdua bagaikan singa lapar saja. Zana yang datang secara tiba-tiba dan mahu menyerang Damia Azra, bukan menyerang Muiz Afendy.
“Hey Damia Azra, kau jangan nak rampas Muiz dari aku lah. Sedar diri kau tu sedikit,” tengking Zana membuatkan mata Damia Azra terbeliak. Muiz Afendy terkedu. Apa kena aku dengan Zana pula ni?
“Rampas apa?” soal Damia Azra. Tidak tahu maksud Zana. Siapa rampas siapa? Aku dengan Muiz Afendy tidak ada kena mengena lah.
“Apa yang bising-bising ni?” celah Datin Rose di muka pintu rumahnya. Dia juga turut terkejut mendengar suara jeritan di luar rumah.  Suara yang menganggunya yang sedang asyik menonton slot berita di tv3.
“Mak cik tengok lah Mia nie. Dah lah anak pembunuh, bodoh pula tu ada hati nak mengurat Muiz. Lagi pun Muiz tu hak saya lah!” adu Zana. Sekali lagi Damia Azra terkejut. Bila masa pula mereka berdua ni bercinta? Tak tahu pun!
“Zana, mereka berdua tak ada apa-apa lah. Berkawan saja tu!” balas Datin Rose. Belajar pun belum habis sudah ada hati hendak bercinta. Hey, budak-budak zaman sekarang apa lah hendak jadi yer. Pergaduhan ini menarik perhatian Dr. Shahrini dan Dr Lukman di rumah. Mereka berdua turut datang ke rumah Datin Rose.
“Kenapa Rose?” soal Dr. Shahrini ingin tahu. Damia Azra buat hal lagi ke?
“Entah lah Rini, aku pun tak tahu puncanya..,” jawab Datin Rose. Jangan lah suaminya pulang ketika ini, nanti lagi kecoh. Hal kecil boleh jadi besar nanti.
“Anak mama yang tak sedar diri ni lah, ada hati nak mengurat Muiz. Hendak rampas Muiz dari tangan saya. Cermin diri tu sikit. Muiz dengan kau tak sepadan lah. Lain lah aku!” beritahu Zana kepada mama dan abahnya.  Puas hati kerana dapat malukan Damia Azra depan semua orang. Menyampah aku tengok tadi,  bergurau senda dengan Muiz seperti pasangan kekasih pula.
“Kami tak ada apa-apa lah, mak cik, pak cik. Kami tak salah ibu!” ucap Muiz yang hairan dengan sikap Zana. Rasanya dia lebih rapat dengan Damia Azra dari Zana. Zana sudah salah sangka agaknya.
“Kau ni kata saja belajar pandai, ada ilmu tetapi perangai buruk, huduh,” balas Damia Azra sambil melangkah pulang. Geramnya dengan sikap Zana yang tidak habis-habis mahu menyusahkan dirinya. Aku tak suka lah orang macam Zana ini, bentak Damia Azra di dalam hati.

Belum pun sempat menukarkan baju, pintu biliknya ditolak dengan kasar. Terpandang wajah mama yang masam, kelat dan payau. Hati Damia Azra ketakutan memandang wajah mama sebegitu. Mama marah lagi? Damia Azra meneka dalam hati sendiri.
“Kau suka malukan mama di depan orang, Mia!” getus mama yang semakin naik marah. Kemarahan di kala senja tadi belum pun terpadam sekarang api kemarahannya mula menyala.
“Kami tak buat apa-apa lah, mama. Hanya kawan biasa saja!” jelas Damia Azra perlahan. Muiz dan aku sudah bersahabat sejak dari kecil lagi. Kenapa dulu tak ada masalah pun tetapi sekarang sudah menjadi satu isu yang cukup besar.  Semua orang tidak suka aku berkawan dengan Muiz termasuk mama. Kalau Zana marah aku tidak kisah tetapi kalau mama yang marah, hatiku benar-benar terasa.
“Kata-kata Zana adalah benar Mia. Mia tidak layak berkawan dengan Muiz. Muiz itu orangnya terpelajar. Ada ilmu agama. Mak ayah Muiz peguam. Awak ada apa? Suruh belajar malas. Awak hanya tahu menyakitkan hati orang saja!” sambung mama lagi yang sudah hilang akal. Kesabaran dirinya punah dan musnah malam ini melihat anak dara suntinya sedang bergurau senda dengan anak jiran sendiri. Tidak sedarkah dia itu anak siapa? Anak pembunuh mana setaraf dengan anak peguam.
“Mama pun sama dengan Zana juga, memandang hina kepada anak..,” belum pun sempat habis, sebuah penampar hinggap di pipi kanan Damia Azra. Selama ini mama tidak pernah pun memukul Damia Azra tetapi malam ini telah berubah segalanya. Bibir Damia Azra berdarah, mengalir perlahan. Hati Damia Azra menangis pilu tetapi tiada air mata yang mengalir keluar dari anak matanya. Sampai hati mama tampar anak mama yang tidak bersalah ini hanya kerana kata-kata Zana yang tidak benar itu.
“Rupanya mama juga membenci anak pembunuh ini..,” sambung Damia Azra. Dia menarik dompet duit di atas meja sudut lalu berlari keluar dari biliknya.  Mama bungkam. Menyesal dengan  tindakannya sebentar tadi. Apa yang telah aku lakukan sebentar tadi? Kenapa aku menampar Damia Azra yang tidak bersalah itu? Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosaku.., ucap mama sambil menangis.

Papa, tengoklah apa yang telah papa lakukan terhadap anak papa ini. Kerana papa semua orang menghina dan menghukum Mia, papa. Wal hal papa yang bersalah, papa yang menjadi pembunuh, bukan Mia tetapi Mia yang terseksa sekarang. Damia Azra menarik pintu pagar dengan kasar dan tidak menutupnya. Biarkan!
Buat apa pun orang marah. Buat jahat lagilah orang benci. Aku buat apa pun tiada ada gunanya lagi. Sama saja di mata kasar orang.  Semuanya salah. Andainya Zana dan abah tidak suka kepadaku, aku tidak kisah. Kawan-kawan sekolah dan guru-guru benci kepadaku, aku tidak ambil peduli pun tetapi kalau mama yang membenci aku, itu yang membuatkan hati aku terluka. Bukan sekadar luka tetapi teramat luka. Luka sampai parah.

Damia Azra meraba pipinya yang ditampar oleh mama tadi. Sakit dan pedih.  Patutlah selama ini mama lebih sayangkan anak mama yang lain mengatasi rasa sayang mama kepadaku, zuriat papa ini.  Mama membenci ku seperti orang lain juga. Mungkinkah aku ini hanya membebankan mama saja? Soal Damia Azra di dalam hati kecilnya.

Damia Azra menahan sebuah teksi, dia cepat-cepat masuk kerana mahu segera pergi dari situ. Tidak mampu menatap banglo dua tingkat kepunyaan mama di hadapan mata lagi. Damia Azra sudah tidak sanggup. Makin lama di sini, hatinya semakin berdarah.  Hati saja menangis tetapi air mata tidak mengalir keluar kerana air matanya sudah kering beberapa tahun yang lalu sewaktu papa ditangkap pihak polis, dia kuat menangis sehingga hilang air mata.  Air matanya sudah kering dan kontang. Kerana itulah dia sudah kehilangan air mata. Damia Azra sudah tidak mempunyai air mata lagi.

Teksi membelah kepekatan malam. Mahu ke mana malam ini, biarlah aku membawa luka hatiku yang patah dan derita malam ini.

Malam, sudi lah menemaniku yang sedang berdukalara kala ini...,
Angin, mengertilah bahawa sesunggunya aku kesepian..,

Damia Azra memeluk tubuhnya yang kedinginan diulit bayu malam. Malam ini tidur di kaki lima lah jawabnya. Matanya sudah melihat pusat snoker yang bersebelahan dengan Butik Sharifah Roziah. Di situ ada sebuah bangku panjang tempat untuk berehat kala siang hari. Hendak tidur di situlah. Tidak tahu hendak ke mana-mana kerana aku sudah tidak mempunyai sesiapa pun di dunia ini. Papa ada di penjara dan mama pula sudah membuangku. Jadi di situ lah aku.
“Pak cik berhenti di situ yer!” arah Damia Azra apabila sampai di hadapan butik tersebut. Teksi segera berhenti.  Segera dia menjelaskan bayaran lalu menglangkah perlahan.  Damia Azra melangkah longlai menuju ke bangku panjang tersebut tanpa mempedulikan orang yang sedang berjalan mundar-mandir di situ. Masih awal lagi, nanti semua kedai akan ditutup, boleh lah dia berehat. Waktu sekarang dia ingin melihat saja apa yang lalu di hadapan mata, kerana hati dan fikirannya sudah tidak seia dan sekata lagi. Damia Azra memejam matanya dengan rapat. Kelam dan hitam! Itu saja yang ada di dalam kotak fikirannya.

Papa, jangan salahkan Mia, andainya Mia tidak bahagia kerana semua ini berpunca dari Papa. Titik.

2 ulasan: