Rabu, 29 Ogos 2012

DENDAM YANG TERINDAH (10)



INILAH KALI PERTAMA dia bertemu dengan Zana yang tidak banyak berubah. Masih seperti dulu juga. Zana tidak senyum dan bercakap dengannya. Mesti demdam lama masih ada di dalam hati. Kemesraan Zana hanya ditunjukkan kepada mama dan abah, juga si kembar itu. Hmm, masih seperti dulu, jawabnya aku kena cepat-cepat beredar dari rumah ini sebelum perang besar berlaku.

Ah, kena ajak Tengku Fayyad berkahwin kalau hendak bahagia. Bukan Tengku Fayyad yang akan mengajak aku berkahwin tetapi aku yang perlu mengajaknya terlebih dahulu.
“Mia, cuci baju sendiri?” soal Bibik Indah kepada Damia yang sedang menyediakan nasi goreng untuk dirinya sendiri. Pagi tadi dia solat subuh. Sudah solat dia cuci semua baju-baju kotor dan menjemurnya diampaian. Tidak lagi menjerit memanggil nama Bibik Indah seperti setiap pagi. Semua orang terkejut dengan perubahan Damia Azra yang mendadak ini.
“Yup. Bibik tak usah masak untuk Mia, Mia masak sendiri!” pesannya. Nasi goreng di masukkan ke dalam tuppaware. Bekal untuk pagi ini ke tempat kerja.
“Pelik nih!” balas Bibik Indah. Hairan. Baju pun diseterika sendiri. Kerana Zana kah Damia berubah atau ada sebab lain.
“Akak dah nak kahwin lah, bibik.” Balas Amirul. Semua orang sudah tahu tentang itu, mama dan abah saja pura-pura buat tidak tahu saja kerana mahu mendengar dari mulut Damia sendiri. Kawan-kawan seteman sudah heboh tentang BMW milik Tengku Fayyad yang sering berkepit dengan Damia Azra setiap hari.
“ooo, jadi betul lah khabar angin tu!”   soal Bibik Indah. Teman-teman Bibik yang bekerja di rumah-rumah jiran asyik membincangkan hal sama. Cerita paling top saat ini. Paling panas! Damia Azra tersenyum saja membiarkan Bibik Indah berada di dalam keadaan teka teki.  Betul atau cakap-cakap orang saja tetapi ramai yang melihat anak raja itu menghantar Damia Azra setiap hari.

Hon kereta berbunyi di luar. Tentu Tengku Fayyad sudah sampai di hadapan rumah. Damia Azra mengambil segala barang-barang lalu menapak keluar. Tidak hiraukan Zana dan si kembar yang sedang makan. Abah dan mama masih tidak kelihatan.
“Assalamualaikum!” sapa Damia Azra terlebih dahulu. Mukanya ceria sambil menguntumkan senyuman yang paling manis. Tergoda Tengku Fayyad memandangnya.
“Waalaikummussalam, sayang!” jawab Tengku Fayyad bahagia. Akhirnya Damia Azra menyambut cintanya dengan hati yang terbuka. Tidak seperti awal perkenalan, Damia Azra dingin melayannya.
“Cepatlah, kenapa asyik renung muka Mia saja ni?” kejut Damia Azra apabila melihat Tengku Fayyad kaku memandang wajahnya. Wajah Damia terlalu cantik, anugerah ALLAH yang paling berharga untuk Damia Azra. Wajahnya seperti anak kacukan melayu serani dan inggeris.  Tetapi Dr Luzman anak melayu jati, begitu juga dengan Dr. Shahrini, melayu sepenuhnya. Damia ini ikut siapa? Mungkin keturunan Damia kut.
“Kita pergi makan dulu nak? Laparlah!”
“Mia, bawa bekal hari ini?” beritahu Damia, sedikit cuak. Okey ke aku masak ni? Sudah lah baru kali pertama memasak. Hish, gatalnya mulut, pergi cakap hal ini kepada Tengku Fayyad. Kalau dia teringin dan hendak merasainya bagaimana? Itu satu hal, kalau tak sedap bagaimana pula? Aduhai..,
“Masak apa?” soal Tengku Fayyad. Damia Azra ini boleh ke memasak? Tengok gaya seperti tidak pandai memasak pun.
“Nasi goreng?” jawab Damia Azra perlahan seolah mengerti kesilapan diri sendiri.
“Aduh.. tak tahan dah ni. Kita singgah makan kat restoran depan tu dulu yer!”  aju Tengku Fayyad, mahu merasai nasi goreng air tangan bakal isterinya. Dia sudah memaklumkan kepada Tengku Farel Hakimi tentang Damia Azra, cuma dengan mama dan papa belum lagi. Tidak berani kerana dia tahu pilihan hati mamanya sendiri. Andainya mama menghalang, bagaimana? Sedangkan aku sudah tidak sanggup untuk berpisah dengan Damia Azra.
“Tapi sekejap sudah lah yer, Mia kena masuk awal hari ini!”
“Jom lah, nanti saya cakap dengan Mr. Chong, bos awak tu!”
‘Okey, tak ada masalah asalkan Fayyad sanggup menanggungnya!”
“Kerja cukup bulan ni saja tau, habis bulan nie Mia berhenti. Minggu depan saya bawa Mia jumpa dengan abang saya, lepas tu saya akan datang merisik Mia!” beritahu Tengku Fayyad akan rancangnya. Sebelum mama dan abah pulang dari Eropah, aku akan kahwin dengan Damia Azra terlebih dahulu. Andainya mama tak suka pun, mama sudah tidak boleh buat apa-apa lagi.
“Tak terlalu cepat ke?” soal Damia. Elok juga tu, andainya Tengku Fayyad ajak aku kahwin esok pun aku sanggup dari melihat muka Zana setiap hari.
“Lagi cepat lagi bagus lah, sayang. Saya ini bukan apa, saya takut saya buat benda tak senonoh dengan Mia saja. Saya ni bukannya kuat iman pun!”
“hahaha..,”

Tengku Fayyad memegang tangan Damia Azra untuk menyeberangi jalan. Si gadis ingin dilindunginya. Restoran Selayang Pandang menjadi pilihan Tengku Fayyad. Ah, anak raja ini mana mahu makan di warung tepi jalan. Kotor katanya.  Mereka memilih meja di hadapan sekali.
“Nak minum apa cik?” soal anak gadis yang berusia belasan tahun saja.
“Milo ais dua!” jawab Tengku Fayyad.
“Makan?” soal pelayan itu lagi sambil mencatat sesuatu di atas sekeping kertas.
“Tak, tunang saya dah bawa bekal!” jawab Tengku Fayyad sambil mengambil beg kertas di atas meja. Di ambilnya nasi goreng di dalam tuppaware lalu dibukanya tuppaware tersebut. Baunya enak sekali tetapi rasa tak tahu lah macam mana. Damia Azra keresahan. Takut apabila melihat Tengku Fayyad mengambil sudu lalu menyuapnya ke dalam mulut.  Dikunyahnya perlahan-lahan.
“Mia, rasa pula!” ajunya sambil menyuapkan nasi goreng ke dalam mulut Damia Azra. Gluppp. Terlalu masin  dan pedas.  Patut lah muka Tengku Fayyad berubah tadi. Tidak mampu Damia menelannya kerana rasa terbakar di dalam mulut.
“Uwekkk!” spontan Damia Azra mahu termuntah. Tengku Fayyad mengambil tisu lalu dihulurkan kepada Damia Azra. Diurutnya belakang Damia Azra.
“Kenapa cik?” soal pelayan tadi yang datang membawa minuman untuk mereka berdua.
“Tak ada apa-apa. Terima kasih yer!” balas Tengku Fayyad.  Milo ais dihulurkan kepada Damia Azra. Melihat wajah Damia Azra merah kepedasan membuatkan Tengku Fayyad ketawa geli hati.
“Mia ni boleh masak atau tak?”
“Tak!” jawab Damia jujur. Pecah berderai ketawa Tengku Fayyad. Dah agak pun!
“Kat rumah siapa yang masak?” Mama?”
“Bibik Indah!”
“Ooo, ada pembantu rumah rupanya!”
“Yup, dari saya kecil lagi, Bibik Indah yang uruskan!”
“Hmm, kena ambil pembantu rumah lah jawabnya. Tak apa lah, nanti tak payah masak untuk saya, Jadi suri hati saya, layan saya, lahirkan anak-anak yang comel seperti awak untuk saya cukuplah!”  balas Tengku Fayyad membuatkan Damia Azra naik malu saja.

Sekadar minum saja kerana sudah lewat tetapi Tengku Fayyad membeli nasi lemak sambal kerang untuk Damia Azra makan di pantry nanti sebagai pengalas perut. Begitu juga dengan Tengku Fayyad yang turut membeli untuknya makan di ofis sebentar nanti.
“Mia, buat surat berhenti yer!” cadang Tengku Fayyad kepada Damia Azra.
“Kalau Mia berhenti sekarang, Mia nak makan apa?” soal Damia kembali. Belum apa-apa sudah suruh berhenti. Jumpa keluarga aku pun tak lagi.
“Ah, saya beri lah duit setiap bulan selagi kita tak kahwin,” janji Tengku Fayyad.
“kita nak kahwin lambat lagikan, berilah Mia kerja dulu. Lagipun boring lah tinggal kat rumah!”
“Okeylah, tetapi sebulan sebelum kita kahwin Mia tetap kena berhenti juga!’ putus Tengku Fayyad. Macam mana ni? Kenal belum pun sebulan dah nak ajak kahwin. Aku nak minta pendapat dari siapa pun tak ada orang yang sudi memberi pendapat kepada ku? Hendak tanya mama? Sudah lama tidak berbual dengan mama? Hendak tanya papa? Ah, lagilah tak boleh!
Betulkah tindakan aku ini? Bolehkah dia terima aku? Tetapi keadaan sudah terdesak sekarang. Aku tidak ada pilihan lain selain menerima cinta Tengku Fayyad.  Aku tidak boleh tinggal di rumah itu lagi kerana semua orang sudah tidak sukakan aku. Mama sudah didesak oleh nenek agar menghalau aku kerana tidak mahu merosakkan maruah mereka sekeluarga. Mereka itu siapa dan aku pula siapa?  Kalau lah perbezaan di dalam keluarga aku pun sudah cukup ketara bagaimana pula dengan keluarga Tengku Fayyad? Mereka lagi lah bertaraf tinggi, golongan bangsawan lagi. Tak mahulah kahwin dengan Tengku Fayyad. Takut lagi bencana nanti.
“Mia, Mr Chong hendak jumpa awak sekarang juga!” kejut Darren Lee. Terkejut Damia dari lamunnya.
“Kenapa?”
“Tak tahu lah saya, cepat sikit, Mr Chong tunggu di ofisnya!” gesa Darren Lee. Kaunter bayaran di letakkan tanda ‘CLOSE’  lalu dia beredar menuju ke bilik majikannya. Tentu ada yang tidak kena.

Pintu bilik diketuk.
“Masuk Mia!” ucap Mr. Chong dari dalam bilik. Damia menolak perlahan.
“Duduk, Mia!” pelawa Mr. Chong. Direnungnya wajah Damia begitu lama. Wajah ini persis wajah sahabat lamanya. Datuk Mohsin, jutawan muda yang mendapat gelaran datuk di usia masih muda kerana kehandalannya di dalam bidang perniagaan. Siapa yang boleh melawan kepintaran idea Datuk Mohsin di dalam bidang perniagaan? Semua orang mengamumi Datuk Mohsin, Cuma satu saja kelemahan Datuk Mohsin, suka berpoya-poya dan kaki perempuan sehingga menyebabkan Datuk Mohsin terperangkap di dalam perbuatan sendiri. Ini anak Datuk Mohsin, yang dihina, dicaci oleh semua orang sejak dari kecil lagi. Kerana orang takut dengan identiti anak pembunuh. Kata orang kalau bapa jahat tentu anak pun jahat juga.  Bapa pembunuh, anak pun mesti jadi pembunuh juga, dan tuduhan ini dilemparkan kepada Damia Azra.
“Terima kasih!” jawab Damia Azra yang sampai sekarang tidak tahu Mr. Chong adalah kenalan rapat kepada papanya.
“Sejak akhir-akhir ini Mia banyak melakukan kesilapan. Akaun tak sama dengan jualan. Silap membuat pengiraan, wal hal dulu Mia bukanlah seorang pekerja yang cuai dan tidak bertanggungjawab. Saya rasa Mia tentu ada masalah? Kenapa Mia?” soal Mr. Chong yang fasih berbahasa Melayu. Asyik dengan cintakah aku? Ataupun terlalu rungsing dengan masalah keluarga? Apa alasan aku?
“Maafkan saya Mr. Chong, saya akui itu adalah kesilapan dan kecuaian saya di dalam menjalankan tugas!” jawab Damia perlahan. Masalah yang aku hadapi tidak ada jalan penyelesaiannya. Masalah peribadi yang terlalu merumitkan.
“Saya anggap awak seperti anak sendiri, Damia. Saya sayangkan awak seperti seorang bapa kepada anaknya. Andainya awak ada masalah, awak beritahu saya, saya akan cuba membantu awak sedaya upaya saya, faham?” ucap Mr.  Chong. Keihklasan itu tidak perlu dipertikaikan lagi. Semua orang tahu Mr. Chong sayangkan Damia Azra. Terharu rasa hati. Abah tidak pernah pun berkata seperti itu. Alangkah bahagia andainya kata-kata seperti itu datangnya dari mulut abah?
“Percaya lah saya akan memperbaiki kesilapan saya!”
“Bagus lah kalau begitu!”

Asyik main sms kut sampai terleka di dalam pekerjaan. Kena beritahu Tengku Fayyad supaya jangan asyik mengirimkan sms di waktu aku sedang melakukan pekerjaan. Tak pasal kena marah dengan Mr. Chong hari ini. Malunya. Kata-kata Mr. Chong dijadikan pengajaran, dia tidak mahu orang bercakap mengenai prestasi buruknya di tempat kerja. Dia harus pandai mengawal akal fikirannya dari melayan tidak tentu arah.
“Bercinta bercinta lah juga kawan tetapi jangan sampai makan diri,” ucap Nani kerani akaun yang melihatnya menuju ke kaunter.
“Tahu. Bulan ni kena potong empat ratus ringgit kan, sebab aku tersilap kira kat kaunter dua hari lepas!” balas Damia. Dia juga sedar akan hal itu.
“Yup. Main lagi di tempat kerja. Itu lah padahnya Cik Damia ooi!” sindir Nani tidak puas hati. Aku pun ada hati juga lah dekat Tengku Fayyad. Tetapi malangnya nasib aku kerana Tengku Fayyad memilih kau, bukannya memilih aku.  Harap-harap kau tak jadi kahwin, Mia!
“Aku suruh Fayyad gantilah duit tu, habis cerita!” balas Damia kepada Nani. Kau tu berkenan dekat Tengku Fayyad macam lah aku tidak tahu. Damia berjalan pantas tidak mempedulikan jelingan tajam dari Nani. Hai, Tengku Fayyad kan ramai peminat, ramai gadis yang tergila-gilakannya. Bukan itu saja ramai mak ayah yang hendak bermenantukan Tengku Fayyad. Siapa tidak mahu ada menantu kaya, segak dan berdarah bangsawan. Semua orang nak lah.

Apa yang berlaku diceritakan kepada Tengku Fayyad ketika lelaki itu datang menjemputnya untuk makan tengah hari.  Lelaki itu hanya ketawa besar saja mendengar setiap rungutan dari Damia Azra.
“Berhenti saja, saya boleh tanggung perbelanjaan awak tu. Gaji tak sampai dua ribu tu sikit sangat lah, Mia!” balas Tengku Fayyad dengan angkuh sekali. Sebagai penolong pengarah urusan syarikat, wang sebanyak itu bukan lah menjadi persoalan kepadanya. Papa menyerahkan urusan syarikat kepadanya, manakala Tengku Farel Hakimi dilantik sebagai penasihat saja. Sebulan sekali Tengku Farel Hakimi pulang dari Pulau Lagenda untuk melihat urusan syarikat.  Tetapi syer Tengku Farel Hakimi lebih banyak dari Tengku Fayyad. Lima peratus saham syarikat diserahkan kepadanya, manakala saham Tengku Farel Hakimi adalah sebanyak lima belas peratus.
“Awak cakap senang lah sebab awak tu kaya raya, tak seperti saya!” balas Damia Azra, geram. Kita cakap elok-elok bukannya dia hendak faham tetapi disindirnya kita kembali. Lelaki seperti inikah yang bakal menjadi suami aku? Hish, aku ini silap memilih kut.
“Mia, awak kena hidup cara isteri orang kaya, ikut cara kehidupan saya. Tak usah lah buat pening kepala berfikir tentang tempat kerja awak tu. Ini ambil duit ini dan bayar kepada bos awak!” sambung Tengku Fayyad, tidak mempedulikan masalah yang melanda Damia Azra.  Aku hendak bergaduh atau bersabar? Geram tahap melampau dah ni. Kalau aku melawan perang besar pula.

Diam diri saja lah kerana aku perlukan dia dalam hidup aku sekarang. Aku mahu bergantung harapan kepadanya kerana keadaan aku yang terdesak. Aku tidak sanggup kehilangannya saat-saat sekarang.
“Mia!” panggil Tengku Fayyad apabila Damia Azra mendiamkan diri. Diam itu tandanya marah. Tengok muka yang merah menyala pun sudah tahu.
“Saya ikut cakap awak, tetapi kalau awak persiakan hidup saya, awak siap lah nanti!” ugut Damia Azra semakin geram.
“Hahaha, “
“Tak payah gelakkan saya, ingat saya tak berani ke?”
“Awak nak buat apa, Mia?”
“Tengoklah nanti!” aku hendak buat apa, paling hebat pun aku menangis saja lah. Itu pun kalau boleh menangis.

Bergaduh di alam percintaan, itu kan perkara biasa. Kadang-kadang bergaduh untuk dipujuk dan dirayu. Bestnya pura-pura merajuk kerana boleh hadiah hari ini. Seutas rantai emas bersama sejambak bunga yang segar. Perempuan mana yang tidak sukakan barang hiasan, dan bunga. Semua nama perempuan sukakan hadiah seperti itu.
“Nah kad kredit untuk awak,” kata Tengku Fayyad sambil menghulurkan kad kredit berwarna emas kepada Damia Azra. Terkejut Damia Azra dengan tindakan Tengku Fayyad. Benarlah lelaki ini menyintai ku kalau tidak masakan memberi kad kreditnya kepada aku. Terbuktilah cintanya terhadap diriku.
“Saya ada duit lah,” tolak Damia lemah. Belum apa-apa aku sudah ditaburkan dengan kemewahan.
“Ambillah. Awak tu bukannya ada duit sangat pun!” tegas Tengku Fayyad. Ooo, hina aku yer?
“Kalau saya salah guna macam mana? “
“Gunalah, itu hak awak, Mia!”
“Nampak seperti saya nak duit awak bukan awak pun. Tak nak lah. Simpanlah kad awak ni!”
“Mia, saya tak suka orang lawan cakap saya!” balas Tengku Fayyad sambil memasukkan kad kredit ke dalam dompet Damia Azra. Damia Azra memandang wajah Tengku Fayyad, dia tahu lelaki itu marah kepadanya di atas keengganan dia menerima kad kredit tersebut.
“Okeylah, Mia ambik ni!”  jawabnya cuba memujuk Tengku Fayyad.
“Itulah jangan degil, saya tak suka!” balas Tengku Fayyad merenung Damia Azra. Tidak jemu mata memandang wajah Damia Azra yang putih bersih ini.

Seperti biasa Tengku Fayyad menghantarnya pulang ke rumah tetapi luar biasanya kerana ada orang sedang menunggunya di depan pintu pagar. Sedang menunggu seperti seorang suami menunggu kepulangan seorang isteri.

Damia Azra memandang wajah lelaki itu yang masam mencuka melihat ke arahnya. Ini apa hal pulak nih?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan