Rabu, 29 Ogos 2012

DENDAM YANG TERINDAH (9)



DIA PERGI BEKERJA SEPERTI BIASA WALAUPUN ada kenduri di rumahnya hari ini. Mama dan abah serta ahli keluarga lain semua ke Lapangan Terbang untuk menyambut kepulangan anak tercinta. Datuk Hisham dan Datin Rose turut serta untuk menyambut kepulangan Muiz Afendy. Damia Azra pula sengaja buat kerja lebih masa hari ini, alang-alang pulang ke rumah semuanya sudah selesai, walaupun Damia Azra tahu, majlis bacaan yassin selepas selesai solat isyak.

Damia Azra tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun hari ini termasuk Zana dan Muiz Afendy. Semalam sudah teruk dia dimalukan oleh keluarga abah di depan semua orang. Siapa lagi kalau bukan mak long yang cukup anti dengan Damia Azra. Damia Azra lihat muka mama berubah. Pucat tidak berdarah kerana darah dagingnya dicerca orang.
“Anak kau ni harap saja muka cantik tetapi siapalah yang hendak kahwin dengan dia agaknya. Anak pembunuh tetap anak pembunuh. Sampai ke tua pun tak kahwin lah tu!” ucap mak long, waktu itu Damia Azra turun mengambil air minuman dan tak sangka ahli keluarga abah dan mama sedang berkumpul di dapur. Sedang sibuk memasak pencuci mulut dan berbagai jenis kek.
“Sampai bila kau nak tanggung Damia Azra? Kerja pun sebagai jurujual saja? Kalau aku, aku halau suruh tinggal dengan ayahnya. Ayahnya tu kan dah bebas dari penjara?” sampuk Nenek Milah pula. Berdesing telinga Damia Azra dihina sebegitu. Mama tidak bersuara, jauh sekali mahu membela Damia Azra.
“Hmm, betul tu mak cik. Buat menyemak rumah saja. Makan minum pun harap orang. Gaji sebagai juruwang tu apa lah sangat. Hai, tak setaraf lah dengan kita. Otak tidak cerdik, harap muka saja elok. Esok-esok kahwin dengan pencuri, penyangak lah jawab. Kau tak malu Rinie? Kau tu doktor, suami kau doktor, tetapi ada anak pembunuh di rumah kau!” sambung mak long. Hati Damia Azra dicarik-carik sehingga menjadi kepingan yang halus. Kenapa hukum aku atas kesalahan orang lain? Yang salah papa aku bukan aku pun!

Pagi ini dia keluar awal bersama-sama dengan BMW kepunyaan Tengku Fayyad. Malah sengaja dia suruh drebar Tengku Fayyad menjemputnya depan rumah. Biar semua orang tengok. Sakit hati ini membuatkan dia tidak mahu berfikir panjang lagi untuk menerima Tengku Fayyad. Dia mahu buktikan cakap mak long, cakap nenek tidak benar sekali. Biarpun dia anak pembunuh tetapi dia boleh berkahwin dengan anak orang kaya.
“Bila nak balik ni, Mia rindu lah!” ucap Damia Azra di talian. Hari ini dia mengalah kepada Tengku Fayyad. Kalau Tengku Fayyad ajak kahwin sekarang pun dia setuju. Dia mahu menongkah arus kuat bersama Tengku Fayyad.
“Saya pun rindu awak juga lah. Awak tak apa-apa ke ni?”
“Kenapa?”
“Dengar suara awak lain benarlah!” hati terasa amat lega kerana ada juga orang yang sudi memahami. Inikah jodoh ku? Aku mahu menerimanya kerana hati sudah banyak  kali terluka. Biarlah dia pula yang menjaga hati ku ini. Bolehkah? Arg.. tak mahu berfikir tentang apa-apa lagi. Saat ini aku mahu bersamanya saja, yang lain aku sudah tidak kisah.
“Tak adalah. Mia biasa saja lah!” tolaknya mengawal perasaan.
“Lepas saya balik, saya bawa awak berjumpa dengan abang saya, dia nak berjumpa dengan awak!”
“Boleh, tak ada masalah!”
“Okey, saya ada kerja ni, nanti saya call awak yer. Assalamualaikum sayang!”
“Waalaikummussalam!” jawab Damia Azra, bahagia. Semuga semuanya berjalan lancar. Kalau tidak lancar macam mana yer? Apa pun terjadi aku nak kahwin juga dengan Tengku Fayyad. Aku nak buktikan kemampuan aku yang sebenar. Mak long dan Nenek Milah ingat aku ni apa hah? Ingat aku tak laku ke? Aku pun orang nak lah!

Geram sungguh Damia Azra bila memikirkan akan perihal semalam. Dia tidak kisah andai yang menghina dirinya adalah saudara mara sebelah abah tetapi yang menjadi kemarahannya apabila nenek kandungnya sendiri mempersoalkan tentang dirinya. Andainya tidak sayang pun jangan lah ditunjukkan sangat semua itu di depan semua orang. Buruk benar ke aku ini?
“Tak jadi cuti ke?” soal Kelly apabila duduk bersarapan pagi bersama dengan Damia Azra.
“Cancel lah, boring duduk kat rumah!” balas Damia Azra. Milo panas dihirup perlahan-perlahan. Aku tidak diperlukan di banglo indah itu. Dari mendengar cemuhan orang lebih baik aku datang kerja, ada juga faedah.
“Ah, dia nak kerja pun tak lama dah, nanti kahwin dah tak boleh kerja. Betul tak?” mencelah Munishwary. Kali ini Damia Azra tersenyum bahagia diusik begitu. Harap-harap itulah yang bakal berlaku.
“Alhamdulillah masin mulut kau orang berdua aku kahwin dengan anak raja!” balas Damia Azra, lupa apa yang berlaku di rumah hari ini. Aku hendak fikir tentang hal aku saja lepas ini, tak mahu fikir tentang mama dan abah lagi.  Jauh lagi kalau hendik berfikir tengan Zana.
 Cukup, cukuplah aku hidup dalam penderitaan selama ini, sekarang aku mahu membina hidup baru bersama insan yang menyayangi aku. Betul. Tuah hanya datang sekali. Bukan berkali-kali. Kali ini aku tidak mahu menolak tuah yang datang bergolek dalam kehidupanku. Rugi! Rugi besar! Bukan sedikit kerugian yang bakal aku tanggung. Tengok lah nanti mak long dan Nenek Milah, tentu terbeliak biji mata bila melihat bakal suami ku itu. Itu lah kutuk orang sangat!
“Lemah juga akhirnya. Dulu tolak. Tak mahu. Sekarang tengok, siapa yang tewas!” gurau Kelly Tan. Damia Azra tersenyum,tidak menafikan kata-kata Kelly Tan. Andainya ikut akal fikiran sememangnya dia tidak akan menerima Tengku Fayyad sampai bila-bila pun tetapi dia memilih Tengku Fayyad kerana kesakitan di hati yang ditanggung kala ini. Terlampau sakit.
“Itu tak penting, Mia. Yang penting Tengku Fayyad boleh membahagiakan kau. Itu saja. Yang lain usah dipersoalkan. Hak untuk bahagia ni adalah hak untuk semua. Aku tumpang bahagia dengan perubahan ini,” bantu Munishwary memberi semangat kepada Damia Azra. Kelly juga tersenyum senang.

Mulai hari ini aku kena berubah lah. Kena belajar memasak dan membasuh kain baju. Kena belajar jadi surirumah tangga. Lagipun Fayyad hendak aku berhenti kerja bila aku berkahwin dengannya nanti. Elok lah aku berhenti, kerja sebagai juruwang ini apa lah sangat. Damia Azra asyik berangan saja hari ini. Sekejap tersenyum sorang-sorang, sekejap tersenggih. Kebahagiaan semakin terasa apabila Tengku Fayyad kerap menghubungi Damia Azra. Selang sepuluh minit ada saja sms yang masuk. Panggilan pun tidak putus diterima. Dulu dia tidak membalasnya kerana hati masih tidak menentu, hari ini semua mesej yang diterima di balas oleh Damia Azra. Tidak mahu membiarkan Tengku Fayyad ternanti-nanti. Hati Tengku Fayyad mahu dijaga, mahu dibelai sepenuh kasih dan sayang.
“Jom makan, sudah-sudah lah main mesej tu!” ajak Muniswary. Kelly di sebelah angkat kening. Indah masa bercinta. Bahagia apabila diri disayangi dan dimanja sepenuh kasih dan sayang.
“Aku tak lapar lah!” balas Damia Azra.
“Makan lah dulu. Jom lah!” ajak Kelly Tan pula.
“Okey lah. Kacau lah kau orang ni!” ucap Damia Azra sambil bangun dari kerusinya. Telefon kesayangan di masukkan ke dalam tas tangan. Mereka bertiga berjalan beriringan tangan.
“Adik kau balik hari ni kan?” tanya Munishwary. Langkah mereka diatur kemas berjalan ke arah KFC yang berhampiran Jusco.
“Yup. Mungkin dah sampai kat rumah kut!” jawab Damia Azra jujur. Bagaimana lah rupa Zana sekarang?  Semakin segak barangkali.
“Kenapa tak ambil cuti sambut adik kau hari ni?” soal Kelly pula. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Damia Azra sejak dua hari ini. Walaupun tersenyum tetapi masih kelihatan jalur-jalur keresahan di hati. Benarkah apa yang aku dengar selama ini? Damia Azra anak pembunuh? Anak kepada jutawan terkenal yang membunuh kekasihnya sendiri? Benarkah semua ini Damia Azra?
“Malam ini boleh jumpa, “ jawab Damia Azra perlahan. Sudi ke Zana hendak berjumpa dengan aku ini?
“Orderlah aku dah lapar ni!” gesa Munishwary membuatkan Kelly Tan tidak berani menyoal Damia Azra Azra. Munishwary belum tahu akan hal ini. Jadi usahlah mengecohkan keadaan. Hati Damia Azra harus di jaga.

Damia Azra hanya memesan milo ais saja, dia tidak berselera untuk makan kerana banyak perkara yang berlaku di dalam dirinya sejak akhir-akhir ini. Dari sikap mama dan abah yang tidak mempedulikan akan dirinya sehinggalah kata-kata kesat yang datang dari Nenek Milah dan mak long membuatkan dia benar-benar hilang selera makan. Andainya aku bisa menangis seperti insan lain tentu aku menangis juga hari ini.
‘Mia tak makan?” soal Munishwary yang memesan dua ketul ayam bersama-sama dengan nugget dan kentang goreng. Makan atau melantak ni?
“Kenyang lagi lah!”  jawab Damia Azra. Aku hanya boleh minum saja, makanan tidak lagi boleh masuk ke kerengkong. Susah hati kerana Zana hendak pulang hari ini. Tuhan, kenapa hati aku kembali resah. Tadi sewaktu bermain sms dengan Tengku Fayyad, aku sudah melupakan Zana dan ahli keluarga ku tetapi pertanyaan dari Kelly membuatkan hati ku kembali keresahan.
“Tengok Mia seperti ada masalah. Kenapa?” bangkit Munishwary, teman rapat Damia Azra.  Tamat SPM mereka bertiga bekerja di sini. Sekarang sudah hampir tujuh tahun berkawan, sudah kenal hati dan budi antara satu sama lain.
“Ha, ah. Saya syak macam tu juga. Mia ada masalah ke?” sampuk Kelly pula. Kalau lah benar Damia Azra anak Datuk Mohsin, jawabnya Zana adalah kakak tiri kepada Zana. Zana anak Dr. Luzman. Selalunya kalau keluarga tiri tentu ada banyak masalah.
“Tak lah nak period kut. Jadi mood tak berapa okey!” dalih Damia Azra. Aku pura-pura pun kau orang boleh tahu. Cekapnya kau orang ini.
“Kalau ada masalah cakap saja dengan kami, kami akan menolong kau, Mia!”  ucap Munishwary. Persahabatan tidak kenal bangsa dan agama.  Keakraban tidak pernah menjadi penghalang biar pun kita ini berlainan agama. Hindu, Buddha, Islam itu hanya pegangan kehidupan masing-masing tetapi tidak menyekat untuk kita saling membantu dan tolong menolong. Jangan letakkan garisan penamat kepada hubungan persahabatan atas kerana kita ini berbilang bangsa dan budaya. Harmonikan kehidupan dengan sifat-sifat yang makmur dan mesra kepada semua orang.
“Terima kasih, nanti apa bila aku perlukan bantuan, aku cakap dengan kau orang yer!” ucap Damia Azra.
Muniswary dan Kelly Tan sama-sama mengangguk. Hendak minta tolong yang bagaimana? Aku pun tidak tahu hendak minta tolong apa dari kalian berdua. Kalau boleh diminta pertolongan memang aku sudah pun memohonnya dari kalian berdua.

Jam terasa cepat berjalan. Sekarang sudah pukul 10.00 malam. Drebar Tengku Fayyad sudah lama menunggunya. Cara kehidupan aku memang  berbeza. Aku memang suka diberi layanan begini. Mungkin kerana papa ku orang berada jadi aku terbawa-bawa cara kehidupan papa di dalam kehidupan ku. Ada orang gaji, ada drebar sendiri. Itu memang cara kehidupanku sejak dari kecil lagi. Hendak dibezakan dengan kehidupan mama dan abah memang jauh benar. Abah dan mama hidup biasa-biasa saja tetapi kehidupan dengan papa terlalu mewah. Malangnya, papa membunuh orang, andainya tidak tentu tarafku sama dengan taraf Tengku Fayyad.

Apa khabar papa di Tanah Mahsuri sekarang? Sihat atau tidak? Kasihannya papa kerana tidak ada orang ambil kisah kepada papa sejak papa membunuh orang. Semua ahli keluarga sebelah papa membuang papa sampai sekarang. Bukan saja membuang papa malah turut membuang aku yang tidak bersalah ini. Apa dosa aku?
“Pak cik, Mia balik sendiri malam ini. Pak cik balik lah dulu yer!”
“Jangan lah Mia, nanti Tengku Fayyad mengamuk dekat pak cik pula kalau Mia balik sendiri!”
“Fayyad tak akan tahu lah kalau kita berdua tidak bercakap. Ini rahsia kita berdua!”
“Okeylah kalau begitu!”  

Jam masih terlalu awal, andainya pulang waktu ini, majlis sedang berlangsung. Aku tidak mahu merosakkan majlis abah dan papa. Majlis orang-orang ternama. Abah menjemput semua kenalannya yang terdiri dari doktor-doktor belaka. Mama pun begitu. Dan dengar kata Datuk Hisham dan Datin Rose menjemput semua saudara mara dan kenalan-kenalan mereka.  Tentu mama malu dengan kehadiranku nanti. Jadi, biarlah aku mengalah dan berkorban untuk kebahagiaan semua orang.

Damia Azra pulang menaiki teksi pada pukul 1.00 pagi. Waktu itu semua orang sudah pulang ke rumah masing-masing. Hanya tinggal khemah kosong saja. Harap-harap semua orang sudah tidur waktu-waktu begini. Damia Azra berjalan perlahan mahu terus masuk ke dalam rumah. Cahaya lampu yang samar-samar membuatkan Damia Azra berjalan penuh berhati-hati.
“Assalamualaikum!” beri salam seorang pemuda di celah pokok bunga rumah Datuk Hisham. Salam dijawab di dalam hati. Siapa agaknya? Hati Damia Azra berdebar.
“Damia Azra!” panggil pemuda itu lagi. Damia Azra terus memandang wajah lelaki yang sedang berjalan ke arahnya.
“Muiz  Afendy?” soal Damia Azra.
“Ooo, ingatkan dah lupa kat kita,” balas Muiz Afendy masih seperti dahulu.  Damia Azra tersenyum manis. Apalah mamat ini buat tengah-tengah malam buta begini?
“Tak lupa tetapi sengaja dilupakan. Hehehe..,”  balas Damia Azra. Segaknya bakal peguam ini. Sudah banyak berubah. Aduh, boleh buat aku terlupa dengan Tengku Fayyad nih...,
“Awak masih dulu, Mia!”
“Saya tetap Damia Azra yang awak kenal. Awak tu yang banyak berubah!”
“Mana ada, saya masih tak berubah lah!”  yakin Muiz Afendy. Aku tidak mahu berbual panjang di sini, mana tahu ada mata memandang, dan nanti tidak pasal-pasal bergaduh panjang pula seperti dulu. Hati Zana harus dijaga. Aku sedar siapa diri aku ini.
“Lewat dah ni, esok kita berbual lagi,” alasan Damia Azra mula mengorak langkah.
“Awak suka mengelak dari saya, Mia. Saya hantar emel awak tak balas. Saya hantar surat pun awak tak balas. Minta nombor telefon sampai sekarang awak tak beri? Kenapa Mia? Awak tak sudi berkawan dengan saya lagi ke?”  tanya Muiz Afendy. Sejak dia ke Australia dia tidak pernah melupakan Damia Azra biar pun dia sibuk dengan pelajarannya. Tetapi Damia Azra yang tidak pernah membalas segala surat-suratnya. Tidak tahu kenapa Damia Azra membisu sejuta kata. Mendiamkan diri dari mengirimkan khabar berita kepadanya.
“Saya tak nak ganggu awak belajar lah, sebab itu saya tak balas emel dan surat awak!” jawab Damia Azra berterus terang.  Aku ini siapa Muiz? Aku tidak layak berkawan dengan kau. Kau itu hanya layak untuk orang seperti Zana saja.
“Tipu!”
“Tak percaya sudah!”
“Cakaplah Mia, kenapa awak layan saya macam tu?”
“Hishh, susahlah cakap dengan orang bijak pandai nih,”
“Saya nak tahu alasan awak, kenapa awak layan saya seperti itu!”
“Pergilah balik anak Datuk Hisham, anak pembunuh ini sudah mahu pulang beradu!”
“Mia, jangan jadikan alasan itu sebagai penghalang kepada persahabatan kita. Saya tahu siapa awak lah!” ucap Muiz Afendy.

Ah, malaslah hendak layan.  Semakin dilayan semakin menjadi-jadi pula. Kalau Zana tahu nanti, mesti perang besar.  Tak mahu lah aku dijadikan mangsa pengaduhan orang lain. Serik!

Semua orang sudah nyenyak tidur kerana keadaan di dalam rumah sudah senyap dan sunyi. Leganya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan