Rabu, 29 Ogos 2012

DENDAM YANG TERINDAH (12)



“ABAH HANTAR KAU BELAJAR sampai ke luar negara, ini yang kau bawa balik, Zana?” marah Dr. Lukman kepada anak kesayangannya. Ini kali pertama dia engkar kepada kemahuan anak emasnya itu. Aku sudah tidak boleh melentur anak sendiri kerana sikap ketidakadilan aku terhadap Damia Azra. Mungkin ini hukuman untuk aku.
“Abah habiskan duit untuk kau supaya kau jadi anak yang berjaya tetapi bukan jadi anak kurang ajar. Kau sepatutnya menghormati perasaan mama kau yang lebih sayangkan kau dari anak kandungnya sendiri, Zana!” sambung abah di hadapan mama dan Damia Azra.  Mama agak terkejut mendengar kata-kata abah, mungkin kerana mama tidak percaya abah akan berkata sebegini di hadapan anak-anaknya.
“Zana boleh ikut segala kemahuan abah, tetapi dengan syarat halau saja Mia dari rumah kita. Zana sudah tak sanggup melihat Mia di sini lagi, abah. Sakit hati Zana nih!” ucap Zana sambil  menangis, memohon simpati barangkali.
“Apa yang Mia lakukan sampai kau benci sangat kepadanya, Zana? Rampas Muiz? Perasaan cinta bukannya boleh dipaksa-paksa. Andainya sudah jodoh Mia dan Muiz, kita tak boleh menghalangnya, Zana!”  kali ini abah mahu bersikap jujur di kepada anak-anaknya. Tidak mahu lagi berat sebelah antara Zana dan Damia Azra kerana dia tahu Damia Azra sudah banyak berubah untuk menjadi baik. Tidak seperti anaknya yang tidak pernah berubah-ubah. Sejak dari kecil sampai sudah hendak menjadi isteri orang masih berperangai buruk.
“Tak, Zana tak akan biarkan semua ini terjadi, sampai mati pun Zana tak mahu Mia berkahwin dengan Muiz!”  tekan Zana. Hish, bila pula aku hendak berkahwin dengan Muiz Afendy? Insan yang aku cintai adalah Tengku Fayyad, bukannya Muiz Afendy pun. Pelik lah Zana nih. Apa aku hendak cakap? Layakkah aku bersuara di sini?
“Mama janjilah dengan Zana, yang Mia tak akan berkahwin dengan Muiz. Selagi mama ada, semua itu tak akan berlaku,” janji mama membuatkan Damia Azra buntu.  Sebuah janji yang tidak sepatutnya diperkatakan. Andainya aku sedang bercinta dengan Muiz itu lain lah, ini aku dengan Tengku Fayyad. Tidak perlu berjanjilah mama, Mia memang tak akan berkahwin dengan Muiz.
“Mama juga sudah berjanji mahu mengusir Mia dari rumah kita? Tetapi mama tak tunai pun!  Mama nak tipu Zana kan?” ungkit Zana menambahkan kemarahan abah terhadapnya. Kurang ajar betul lah budak ini. Siapa yang memberi hak kepadanya untuk mengusir orang sesuka hati?
“Zana, cakap elok sikit boleh tak? Zana kena ingat dengan siapa Zana sedang bercakap?” ingat abah. Aduh semakin kecoh jadinya. Saling menuduh dan prasangka. Malah bercakap seolah aku tiada hati dan perasaan. Aku ini patung ke?
“Abah ni kenapa? Asyik sebelah kan Mia saja. Zana tak suka lah!” ronta Zana sambil berlari masuk ke dalam biliknya. Dr. Luzman hanya memandang perangai anak daranya yang semakin menjadi-jadi sejak pulang dari luar negara. Macam budak kecil saja lagaknya. Itulah bagi muka sangat dulu, sekarang tengok lah apa sudah jadi?

Damia Azra sejak dari tadi tidak bersuara. Diam seribu bahasa hanya menjadi pemerhati saja. Juri keamanan barangkali. Sepatah ayat tidak bergema di bibir Damia Azra sedangkan di dalam hati Damia Azra meratap pilu. Luka lama  berdarah kembali dengan kepulangan Zana. Rupanya apa yang Damia Azra takutkan benar-benar menjadi kenyataan. Sakitnya perasaan kala ini tidak ada sesiapa pun yang tahu termasuk ibu kandung sendiri.
“Mama nak awak keluar dari rumah ini sekarang juga, kerana awak telah membuatkan Zana tidak tenteram tinggal di rumah ini,” tutur mama lancar. Hati Damia Azra remuk mendengarnya. Akhirnya mama mengusir aku kerana arahan Zana iaitu anak tirinya. Benarlah kini mama lebih sayangkan Zana dari aku. Mungkin aku ini tidak ada nilai di hati mama lagi.
“Apa yang awak cakap ni?” tegur abah. Isterinya ini tidak pernah lagi membincangkan tentang kehidupan Damia Azra sejak anak gadis ini ditangkap oleh pihak polis. Dr. Shahrini menutup kemas hatinya dari membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan Damia Azra. Sihat ke? Makan ke? Dia tidak pernah ambil tahu. Tetapi keengganan itu membuatkan Damia Azra pandai berdikari, matang dan ada keyakinan diri sendiri. Malah kemanjaan dan sikap nakal Damia Azra telah tiada lagi. Damia Azra bukan sekecil yang degil dan bantah tetapi Damia Azra adalah anak yang pendiam dan sepi dari kehidupan orang lain. Susah hendak melihat Damia Azra gelak ketawa di dalam rumah ini.  Senyum pun jarang terukir di wajahnya.
“Papanya sudah keluar dari penjara dan anak pembunuh ini wajar tinggal dengan papanya bukan dengan kita lagi,” sambung mama mencincang segenap tubuh Damia Azra. Rupanya aku hanya debu yang ditiup angin saja. Aku bukannya barangan yang berharga di dalam kehidupan mama. Mata Damia Azra berpinar terasa pedih dan sakit.
“Abah benar tak saya tinggal di sini?” suara Damia Azra setelah lama tidak bersuara. Ini kali pertama dia bercakap dengan abah dan mama. Selama ini mereka sudah lama tidak bertegur sapa. Masing-masing membawa haluan masing-masing walaupun ada kala berselisih bahu ketika berada di dalam rumah. Biarlah abah yang membuat keputusan, kalau abah juga menghalau aku, aku akan keluar dari rumah ini dengan senang hati. Ini rumah abah, jadi aku perlu meminta keizinan dari abah bukan dari mama pun kerana mama lebih pentingkan orang lain dari aku anak kandungnya.
“Abah benarkan. Ini pun rumah Mia juga!” jawab abah ikhlas tetapi dalam keadaan serba salah. Benarkan Damia Azra tinggal di sini bagaimana pula dengan Zana? Tetapi kalau menghalau Damia Azra keluar dari rumah ini, ke mana Damia Azra hendak pergi membawa diri? Sedangkan semua orang tahu Damia Azra sudah tidak mempunyai sesiapa lagi selain kami di sini.
“Abang kena fikirkan perasaan Zana...,” kata-kata mama terhenti di situ kerana Damia Azra mencelahnya.
“Berilah masa kepada Mia, abah. Nanti bila Mia kahwin Mia akan keluar dari rumah ini juga. Mia tahu Mia tak diperlukan di rumah ini,” ucap Damia Azra perlahan tetapi tegas.
“Suruh anak raja itu kahwin dengan awak secepat mungkin, kami sudah tidak sanggup mendengar kata-kata orang terhadap awak lagi,” balas mama. Damia Azra memandang wajah mama dengan tidak berkelip. Perkara itu pun mama marah. Selalunya orang gembira dan bahagia bila mendengar anak daranya hendak kahwin tetapi berbeza pula dengan mama.
“Awak nie kenapa? Tak habis-habis marah kan Mia?” kata abah tidak berpuas hati dengan sikap mama. Damia Azra mengatur langkah masuk ke dalam biliknya. Hati yang kecewa dan walang ini sudah tidak sanggup untuk mendengar perbualan mama dan abah lagi. Takut pengsan di ruang tamu pula.

Pintu bilik ditolak. Sedikit terkejut memandang biliknya yang berselerakan hasil buah tangan Zana tadi. Cadar dan batal semua bergelimpangan di dalam bilik. Haruman minyak wangi bersilih ganti memenuhi ruang biliknya. Ada botol minyak wangi yang pecah. Pasu bunga pecah malah cermin muka pun pecah juga. Perangai macam budak-budak!
“Mia, bibik tolong kemaskan yer!” ucap Bibik Indah yang datang dari arah belakang. Damia Azra meletakkan beg pakaiannya. Kain baju yang basah masih tersangkut di atas bahu.
“Mia boleh buat sendiri lah, bik!” ucap Damia Azr sebak. Entah mengapa terasa dadanya bergoncangan. Terharu dan sedih kerana diperlukan sebegitu oleh mama sendiri. Dia tidak ambil hati dengan kata-kata Zana tetapi dia sememangnya tidak boleh menerima kata-kata yang datang dari mamanya sendiri. Sampai hati mama buat aku macam ini?
“Tak mengapa bibik tolongkan!” kata Bibik Indah. Baju yang basah dimasukkan ke dalam bakul, kena basuh sekali lagi lah jawabnya. Baju-baju itu semuanya terkena pasir tadi.
“Terima kasih, bik!” jawab Damia Azra lemah. Dikemasnya cadar di atas katil dan lalu diambilnya batal diletakkan di hujung katil.  Segala baju-baju yang bersepah di atas  katil di lipat satu persatu sambil matanya melihat Bibik Indah mengutip botol kaca yang pecah. Mata melihat Bibik Indah tetapi fikiran melayang entah di mana? Pada mama, pada Tengku Fayyad  dan pada papa yang jauh di mata dan jauh juga di dalam hati. Sehingga ke saat ini dia masih tidak boleh memaafkan perbuatan papa ke atas dirinya. Kerana papa aku menderita dan sengsara. Semua orang membuang dan membenci aku kerana kesalahan papa.
“Mia!”
“Susah hati lah, bik!” terluah juga apa yang tersirat di lubuk hati. Dengan Bibik Indah dia tidak pernah malu untuk bercerita hal dirinya. Bibik Indah saja yang sudi mendengar keluh kesahnya.
“Faham. Kalau saya berada di tempat Mia pun saya akan susah hati juga!” ucap Bibik Indah sambil mengambil penyapu dan bakul sampah. Botol bersama serpihan kaca di masukkan ke dalam beg plastik kecil dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Nanti perlu dibuang ke dalam tong sampah bandaran yang berada di luar rumah.
“Tahu pun!”  jawab Damia Azra sambil cuba tersenyum. Bagaimana lah nasib aku di hari kemudian. Bolehkah Tengku Fayyad menerima siapa yang hidup terumbang ambing begini. Tiada saudara, dan tiada harta. Bolehkah anak raja itu hidup bersama aku yang serba serbi kekurangan ini? Dan bagaimana andainya Tengku Fayyad tidak sanggup untuk menerima aku? Bersediakah aku untuk menerima setiap kemungkinan? Huhuhu.. sedihnya. Ada mama pun mama tidak mahukan aku lagi, ada papa pun? Ada seperti tiada pun. Papa lagilah tak sayangkan aku, sebab kalaulah papa sayangkan aku tentu bukan ini layanan papa ke atas diriku. Sedih sekali kehidupan yang aku miliki, sejak dari kecil sampai lah sekarang tidak habis dengan ujian dan dugaan.  Aduh, boleh pecah kepala hari ini.

Mama dan abah masih bergaduh di ruang tamu. Bergaduh kerana sudah tidak lagi sehaluan dalam mempertahankan aku atau pun Zana. Mama berperang habis-habisan kerana mempertahankan keinginan Zana manakala abah pula mahu aku terus tinggal di sini selagi aku belum berkahwin. Kenapa abah berubah? Apa yang menyebabkan papa berubah? Hairan yer..,

Mama dan abah jarang bergaduh kerana anak-anak, tetapi kali ini kerana aku dan Zana, rumah tangga mereka berentakan. Harap-harap janganlah berterusan dan menjadi semakin parah. Menyesal seumur hidup aku dan tentu aku tidak dapat memaafkan diri sendiri andainya sesuatu yang tidak diingini menimpa rumah tangga mama dan abah.
“Angah, mama menangis!” beritahu Amir yang masuk ke dalam biliknya dengan tergesa-gesa. Damia Azra memandang ke arah Bibik Indah, bergaduh sampai menangis sedangkan mama selama ini susah hendak menangis di hadapan anak-anaknya. Rasanya ini kali pertama mama menangis sampai diketahui oleh anak-anak.
“Kenapa mama menangis?” soal Damia Azra pura-pura tidak tahu. Semua ini berpunca dari aku, kerana aku mama dan papa jadi begini.
“Hmm, marahkan angah dan along ler. Angah ni boleh buat tak tahu pula!” marah Amir sambil keluar dari bilik Damia Azra. Hendak suruh aku pujuk mama ke?  Mama mana mahu kalau aku yang memujuknya lain lah Zana.  Kalau orang sudah tidak suka buat sejuta kebaikan pun orang tetap tidak suka. Kena keluar juga ke aku hari ini? Hendak pergi  ke mana? Tumpang rumah Tengku Fayyad, tidak malukah hendak menumpang di rumah lelaki yang masih belum menjadi suami kepadaku? Ataupun cari rumah sewa untuk sementara waktu.  Suara tengkingan abah dan jeritan mama berselisih ganti. Apa sudah jadi? Bibik Indah segera keluar dari bilik Damia Azra menuju ke ruang tamu kerana mahu melihat keadaan majikannya yang sedang berperang besar.

Macam mana nih? Tidak tahu apa yang harus dia lakukan, dia segera menelefon kekasih hati. Sekali tidak diangkat, telefon kali kedua barulah ada suara di hujung talian.
“Mia, saya ada hal di putrajaya, nanti bila semua dah selesai saya call awak, okey?”  beritahu Tengku Fayyad tergesa-gesa belum sempat Damia Azra mengadu akan keresahan di hatinya.
“Okey lah, nanti bila semua dah okey, call saya yer!” pesan Damia Azra membatalkan niatnya untuk mengajak Tengku Fayyad menjemputnya di rumah. Dia mahu pergi saja dari rumah ini secepat yang mungkin demi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku.
“Baik lah sayang!” ucap Tengku Fayyad mematikan talian telefon.  Damia Azra mengeluh panjang, aku kena buat keputusan sendiri lah jawabnya kerana Tengku Fayyad ada urusan di Putrajaya. Tetapi apa keputusanku? Aku masih belum mengambil kata putus sama ada mahu terus tinggal di sini atau pergi saja dari sini? Ikut hasrat di hati, Damia Azra mahu saja menetap di sini kerana abah membenarkan Damia Azra tinggal di sini tetapi tengoklah apa yang berlaku sekarang?

Letihnya hari ini kerana berbagai kejadian yang berlaku. Gembira sekejap saja, tetapi duka berpanjangan. Sepatutnya aku meraikan hari yang bahagia kerana diberi sebentuk cincin dari Tengku Fayyad sebagai tanda cinta kami berdua dan bukti kesungguhan dari Tengku Fayyad. Rupanya itu hanya sementara waktu saja. Tidak ada apa yang perlu diraikan apabila mama dan Zana menghalau aku dari rumah ini. Masihkah ada bahagia di hati aku?

Damia Azra menarik batal, diletakkan kepalanya di atas batal lalu dia merebahkan diri di atas katil, matanya berpinar memandang kipas angin yang sedang berputar. Akhirnya dia terlena sampai dia termimpi berjumpa dengan papa di sebuah taman yang cukup indah. Papa yang sudah banyak berubah, wajah papa bersinar cerah dan senyuman papa yang membahagiakan. Papa menghulurkan tangan kepada Damia Azra, tetapi Damia Azra menolak, enggan menerima kehadiran papa di sininya.
“Mia, benci papa!”
“Maafkan papa sayang, apa pun terjadi Mia tetap anak papa..,”
“Tetapi Mia tak suka papa sampai ke akhir hayat Mia!”
“Mia, sampai begitu sekali kau membenci papa, nak!”
“Memang pun Mia benci papa!” jeritnya nyaring. Bayangan papa menghilang diganti dengan wajah Tengku Fayyad, wajah Tengku Fayyad yang mendamaikan hati dan jiwanya.  Damia Azra tersenyum di dalam lena.

Lamanya Damia Azra terlelap, hampir dua jam lebih. Dia terjaga apabila ada orang mengerakkan badannya. Dibuka mata terpandang wajah Bibik Indah yang begitu muram. Kenapa? Damia Azra mengosok matanya, alam nyata atau aku masih bermimpi? Bukan mimpi lah Mia, tetapi kebenarannya.
“Kenapa bik?” soal Damia Azra ingin tahu. Wajah Bibik Indah direnungnya lama. Apa sudah berlaku.
“Abah pukul mama Mia!” beritahu Bibik Indah sebak. Air mata Bibik Indah mengalir keluar. Kerana aku kah semua ini berlaku? Tergamaknya abah memukul wanita yang paling abah cintai dan abah sayangi hanya kerana aku? Keresahan makin bercambah di dalam pundak hati Damia Azra. Jiwa Damia Azra penuh dengan kegelisahan dan kebimbangan saja.
“Macam mana ni, bik?”
“Tak tahu, tetapi nenek kamu baru saja sampai, mereka berdua ada di bawah!” beritahu Bibik Indah perlahan. Makin panas membara lah rumah ini nanti. Nenek Milah dan Nenek Wan, tidak sukakan aku sejak dari dulu lagi. Mereka datang nak usir aku juga ke? Mia takut. Mahu saja dia berkata begitu kepada Bibik Indah tetapi Damia Azra tidak mahu Bibik Indah susah hati terhadapnya.
“Tak mengapa, nanti saya pergi jumpa mereka berdua!” kata Damia Azra memujuk hati sendiri.
“Jangan, mereka sedang marahkan Mia sekarang. Nenek Milah dan Nenek Wan kata macam-macam kat Mia, bibik dah tak sanggup mendengar umpat nista dia orang kat Mia lagi,” beritahu Bibik Indah sambil menangis teresak-esak. Bibik Indah pula yang terlebih sedih dari aku. Huhuhu..,
“Bik, sabarlah. Tak akan ada apa-apa yang berlaku kat Mia lah. Mia okey nih!”  pujuk Damia Azra. Siapa pujuk siapa aku pun tidak tahu.  Aku hanya memujuk hati sendiri. Takut paling ketara. Sudah lah Tengku Fayyad tiada di sini. Ini pun satu masalah, kata nak call, sampai sekarang tak call pun. Sudah melupakan aku barangkali.
“Bik tahu, Mia berlagak tenang, wal hal dalam hati Mia tu hanya ALLAH saja yang tahu!” balas Bibik Indah. Damia Azra cuba tersenyum. Betul lah ALLAH saja yang tahu apa yang bersemi di dalam hati aku sekarang.
“Bik, terima kasih Bik, selama ini bik banyak tolong saya!” ucap Damia Azra sambil memeluk erat bahu Bibik Indah. Aku paling sayangkan dia, kerana dia amat menyayangiku setulus hatinya. Dia tidak pernah membenciku, tidak pernah menghina ku ataupun mengkritik ku biarpun sekali. Dia amat baik terhadap ku.

Tangisan Bibik Indah bergema di dada Damia Azra. Jangan menangis kerana tangisan tidak mampu mengubah nasib sesiapa pun. Nasib aku tidak pernah berubah biarpun menangis air mata berdarah, malah sehingga kering air mata pun, aku masih kekal begini tetap dihina dan dicaci orang. Jadi, usah menangis!

Andainya sejak dari kecil lagi aku boleh menghadapi semua ujian seorang diri tentu ujian kali ini aku mampu menghadapinya. Aku kena berani berhadapan dengan keluarga mama dan keluarga abah. Lari sejauh mana pun aku tetap terpaksa berhadapan dengan mereka juga. Lari sampai luar negara pun terpaksa pulang ke Malaysia juga suatu hari nanti. Hmm..,
“Bik, tolong kemaskan barang-barang saya yer. Saya nak pindah!” ucap Damia Azra tegas. Pelukan Bibik Indah dileraikan. Aku kena berani berhadapan dengan takdir kehidupan aku sendiri.
“Hah?? Terkejut Bibik Indah dibuatnya.
“Kan saya dah nak kahwin, elok lah saya berpindah, belajar berdikari dan tinggal di luar,” terang Damia Azra. Ini alasan yang munasabah.

Bibik Indah tidak menjawab apa-apa kerana Bibik Indah tahu Damia Azra terpaksa berkata begitu.  Damia Azra terpaksa pergi dari rumah ini juga akhirnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan