Rabu, 5 September 2012

DENDAM YANG TERINDAH (24)




PERJALANAN TERASA BEGITU LAMA, seolah dia menunggu berbelas tahun untuk bertemu dengan papa. Sedangkan masa sebenarnya hanya lebih kurang 45 minit saja. Tetapi dia sudah tidak senang duduk. Tengku Farel Hakimi memerhatinya dari belakang melihat akan keresahan yang bersarang di dalam diri Damia Azra. Tidak sabar dan resah.

Papa mesti terkejut melihat kunjungan yang tidak diduga ini. Bayangkan berbelas tahun aku tidak pernah berhubung dengan papa tertiba saja hari ini aku muncul di hadapan mata papa. Tentu papa terkejut nanti.  Dataran Helang sudah kelihatan, jeti pun sudah nampak semakin dekat. Hmm, perlu cari teksi untuk ke Pantai Tanjung Rhu sekejap nanti. Eh, selok belok di sini masih lagi samar. Tak mungkin dia mengharapkan bantuan dari Tengku Farel Hakimi yang banyak menolongnya sepanjang perjalanan sejak dari semalam sehinggalah hari ini. Jasa mu tetap hamba kenang, tuan!

Kaki mencecah ke Pulau Langkawi, pulau yang penuh dengan lagenda dan mempunyai sejarah sendiri. Seperti terdengar ucapan selamat datang menjengah ke anak telinganya. Dengan lafaz bismillah dia memulakan langkah. Beg kepunyaan sudah pun siap diangkut oleh Tengku Farel Hakimi ke daratan. Dia sedang meninjau deretan kereta sewa di hadapannya. Manakala Tengku Farel Hakimi sudah berjumpa dengan kawannya yang sedang menunggu sejak dari tadi.  Naik kereta mezcedez warna biru gelap. Anak orang kaya ni sudah tunjuk belang. Datang di sambut dengan kereta mewah lagi.
“Mia, mana buah hati Mia? Tak datang lagi ke?” soal Tengku Farel Hakimi dari dalam kereta.
“Tak!” jawabnya sepatah. Pergilah, aku nak sewa kereta ni, nanti kau nampak kau kutuk aku pula.
“Marilah saya hantar sampai ke rumahnya. Boleh?” pelawa Tengku Farel Hakimi.
“Hmm..,” fikir Damia Azra. Hendak tumpang kereta dia atau sewa kereta yer?
“Marilah, saya hantarkan!” kata Tengku Farel Hakimi keluar semula dan membawa masuk beg Damia Azra ke dalam bonet kereta.  Damia Azra ikut saja, dah orang hendak tolong, buat apa lah menolak kan?
“Buah hati rumahnya kat mana?”
“Dekat dengan Pantai Tanjung Rhu,”
“Samalah, kami pun nak ke situ juga!” balas kawan Tengku Farel Hakimi. Siapa yer dia, nampaknya macam anak raja juga. Damia azra duduk di belakang sambil mendengar suara Jamal Abdilah menyanyikan lagu ‘Penghujung Rindu’,  dia turut menyanyi senang. Sedangkan dalam hati ALLAH saja yang tahu. Gementarnya.
“Kau kenapa, balik kali ini naik bas? Boleh pula buang masa berjam-jam atas bas? Selalunya kau tak suka naik bas. Lebih suka naik kapal terbang!” soal Nik Safuan sambil menjeling ke arah teman baiknya. Pertama kali naik bas dari Melaka sehingga ke Kuala Perlis, mengambil masa berjam-jam, sedangkan kalau naik kapal terbang tak lah sampai begitu lama. Apa yang tidak kena? Oo, mamat ni pun kali pertama naik bas macam aku juga lah yer.
“Entahlah tergerak hati nak naik bas malam tadi!” jawabnya perlahan. Nik Safuan mengelengkan kepalanya sambil meninjau Damia Azra yang sedang mengelamun. Siapa dia? Cantiknya. Kalau dipadankan dengan Tengku Farel Hakimi bagaikan pinang di belah dua.
“Aku macam tak percaya bila kau call kau naik bas. Macam mimpi!” usik Nik Safuan.
“hahaha.. biasa lah tu!” balas Tengku Farel Hakimi. Damia Azra ini hendak berjumpa siapa agaknya? Kalau kekasih tentu sudah datang menunggunya, ini dia pula yang perlu pergi mencari. Tak elok lah perempuan pergi cari lelaki. Tak kan frust dengan Fayyad terus cari buah hati sampai ke Pulau Langkawi kut. Nik Safuan memandang ke arah Tengku Farel Hakimi yang asyik benar melihat Damia Azra di belakang. Jatuh cinta ke?
“Cik adik, boleh tahu nama tak?” pancing Nik Safuan menoleh ke arah belakang.  Ingin juga tahu nama, kalau orang cantik tentu nama pun cantik juga.
“Damia Azra!” jawab Tengku Farel Hakimi membuatkan Nik Safuan tersenggih. Eh, terlebih nampak. Orang tanya orang lain, dia pula yang menjawab.

Telefon bimbit Damia Azra berbunyi. Panggilan dari Aisya rupanya, tentu adik itu kerisauan kerana dia sudah berjanji ingin menghubungi Aisya sebaik saja sampai di Jeti Kuala Perlis. Ini sudah sampai di Pulau Langkawi, dia tidak menghubungi Aisya, tentu Aisya kerisauan.
“Sya, sorry akak terlupa tadi!” pintanya.
‘Akak kat mana?”
“Langkawi, sekarang dalam kereta nak pergi Pantai Tanjung Rhu!!”
“Akak dah jumpa dengan ayah akak?”
“Belum lagi, berdebar ni!”
“Tentu ayah akak terkejut nanti tengok akak yang cantik nih!”
“Hehehe.., “
“Okey kak , sya ada kelas, malam nanti kita bual yer!”
“Okey dik!” telefon ditutup, matanya sejak dari tadi meninjau ke arah luar. Mahu melihat pemandangan Pulau Langkawi. Dia sengaja menurunkan cermin kereta yang berwarna gelap itu, kerana menganggu penglihatannya.
“Siapa? Buah hati ke?” soal Tengku Farel Hakimi. Damia Azra mengangguk. Penyibuk saja lah kerja kau!
“Ler, sudah ada buah hati, ingatkan nak mengorat lah tadi,” usik Nik Safuan.
“Wooii, kau tu dah ada isteri lah, buat lah cara ada isteri!” balas Tengku Farel Hakimi.

Damia Azra tidak menghiraukan perbualan antara Tengku Farel Hakimi dengan Nik Safuan kerana dia leka benar melihat pemandangan di luar. Tiba-tiba matanya tertumpu kepada seorang lelaki yang sedang berjalan kaki. Susuk tubuh lelaki itu diamati dan wajahnya masih tidak berubah. Benarkah dia? Betulkah dia yang sedang berjalan itu. Benarlah dia papaku. Wajahnya, perwatakannya, cara jalannya masih lagi sama. Tetapi badan papa sudah kurus, mungkin kerana terlalu lama merengkok di dalam penjara. Aku masih dapat mengecam wajahnya kerana dia adalah papaku walaupun kami sudah terpisah berbelas tahun. “Papa” mahu dia menjerit sekarang. Rindu di hati sudah muncul di wajah, di anak mata dan di dalam dada. Dia sudah tidak dapat menahan air matanya lagi. Sudah lama aku tidak menangis, dulu aku menangis kerana papa, sekarang aku menangis pun kerana dipertemukan dengan papa juga.

Alhamdulillah, ALLAH mempermudahkan pencarian ku.
“Awak, tolong berhenti kereta sekejap!” pinta Damia Azra sudah sebak bila melihat wajah papa, insan yang ingin dia temui berada dekat dengannya. Terlalu dekat.
“Kenapa?” tanya Nik Safuan kehairanan. Tiba-tiba suruh berhenti kereta, hendak muntah lagi ke? soal hati Tengku Farel Hakimi.
“Berhentilah!” ujarnya tegas. Nik Safuan segera memberhentikan kereta di tepi jalan.  Tanpa melengahkan masa Damia Azra segera membuka pintu  kereta. Air mata sudah pun mengalir melihat lelaki itu berjalan ke arahnya.
“Papa!” jerit Damia Azra nyaring. Terkejut Datuk Mohsin mendengar panggilan itu. Siapa yang memanggilnya. Dia melihat gadis yang dirinduinya berada di hadapan mata.  Damia Azra segera berlari mendapatkan ayahnya.
“Emylia!” panggil papa. Betullah, hanya papa seorang saja ada nama itu untukku.  Dipeluknya papa seerat-eratnya. Damia Azra menangis teresak-esak di bahu papa. Ini adalah air mata yang ditahannya selama berbelas tahun. Air mata kerana di caci, dihina dan dihamun oleh masyarakat dan ahli keluarga sendiri mengalir juga hari ini. Ini adalah air mata kerana dibenci oleh ibu kandung sendiri.  Ini adalah air mata kerana di hina oleh Tengku Fayyad. Semua air mata yang ditahan di dalam dadanya tumpah hari ini di atas bahu papa.
“Mia minta maaf papa, Mia minta ampun pada papa!” ucap Damia Azra setulus hati. Ampunkan Mia kerana membenci papa selama ini. Ampunkan Mia, papa!
“Tidak sayang, papa yang salah. Papa yang sepatutnya minta maaf kepada Mia, kerana menyebabkan kehidupan Mia musnah dan hancur!” lafaz papa dipeluknya si anak dengan penuh kasih sayang. Terima kasih ALLAH kerana membuka pintu hati anakku untuk kembali kepangkuanku.  Ini adalah doaku selama ini.
“Tapi Mia tetap salah pada papa!” ucapnya. Papa mengesat air mata Damia Azra yang mengalir. Diciumnya dahi Damia Azra.
“Pakcik!” panggil Tengku Farel Hakimi. Sejak dari tadi dia melihat saat-saat indah pertemuan antara seorang ayah dengan seorang anaknya. Pak cik ini dia kenal tetapi tidak sangka pak cik ini adalah papa Damia Azra.
“Ril, ini anak pak cik, yang pak cik ceritakan kepada kau selama ini!” beritahu papa sambil menyapu air matanya.  Mata Tengku Farel Hakimi memandang wajah papa dan Damia Azra silih berganti. Pak cik ini memang segak, dan patutlah Damia Azra cantik sangat kerana papanya berdarah campuran.
“Kenal atas bas tadi!” jawabnya lemah. Damia Azra anak pak cik? Subha nallah. Aku sudah memusnahkan kebahagiaan Damia Azra. Kalau lah aku tahu anak pak cik yang bercinta dengan Tengku Fayyad tentu aku akan usahakan supaya cinta mereka bersatu kerana pak cik kerap benar bercerita tentang kedukaan anaknya kepadaku.
“Emylia, kenalkan Farel, kenalan papa!” beritahu papa pula. Damia Azra menyapu air matanya. Sedikit malu.
“Dia tolong Mia tadi, papa!” beritahu Damia Azra perlahan.  Tak sangka papa kenal anak raja yang sombong dan berlagak ini.
“Pak cik selalu sebut nama Emylia, tetapi nama sebenar nama apa?” soal Tengku Farel Hakimi. Kalaulah sebut nama Damia Azra dari awal tentu tak jadi begini.  Ini asyik sebut nama Emylia pada semua orang. 
“Damia @ Emylia Azra. Emylia tu nama yang pak cik pilih dan pak cik sorang saja panggil nama tu!” balas papa sambil tersenyum bahagia.
“Oo.. gitu!” singkatnya perkataan yang muncul dari bibir Tengku Farel Hakimi. Rasa menyesal dan bersalah di dalam dirinya.
“Jom lah kita balik dulu, sembang kat tepi jalan ni tak manis!” sampuk Nik Safuan pula. Syukurlah, pak cik sudah bertemu dengan anak gadisnya yang seorang ini.
Sepanjang jalan masing-masing mendiamkan diri. Lidah menjadi kelu. Damia Azra sejak dari tadi berada di sebelah papanya, membiarkan papa membelai rambutnya. Dia meletakkan kepalanya di atas bahu papa. Hanya air mata yang mengalir keluar dari mata papa dan Damia Azra. Rasa menyesal dan bersalah atas segala perbuatannya selama ini. Kerana kemewahan Datuk Mohsin terperangkap dalam lembah yang hina, dan dia menerima hukuman atas perbuatannya sendiri. Terperuk di dalam penjara dan terpaksa mengabaikan tanggungjawabnya terhadap buah hati kesayangannya.
“Anak manja rupanya si garang ini,” keluh Tengku Farel Hakimi di dalam hati. Ingat segala kenangan bersama Damia Azra. Saat dihina oleh Tengku Fayyad, tiada setitis pun air mata yang mengalir. Saat diganggu oleh Muiz pun gadis ini tenang sahaja. Tetapi hari ini dia melihat air jernih yang suci itu mengalir membasahi pipi Damia Azra. Air mata yang penuh dengan kesyahduan.
“Ini datang ke sini mama tahu tak?” soal Datuk Mohsin. Bekas isteriku turut membenci benih cinta kami sendiri akibat perbuatanku. Aku tahu segala akan cerita mengenai kehidupan Damia Azra. Tidak ada satu pun yang tertinggal, semua mengenainya aku tahu.
“Mama tak tahu, mama dah halau, Mia, Papa!”  terus terang Damia Azra. Berdegup jantung Tengku Farel Hakimi menangkapnya.
“Sabarlah, ada hikmah yang tersembunyi sebenarnya!” pujuk papa sambil menepuk bahu Damia Azra dengan lembut. Aku mahu cerita segala-galanya kepada papa hari ini, apa yang aku terpendam selepas berpisah dengannya. Kalau boleh saat ini aku mahu bercerita kepadanya tetapi ada rasa malu terhadap Tengku Farel Hakimi dan Nik Safuan yang berada di hadapan. Dan rasa malu ini menghalangnya untuk mencurahkan isi hatinya terhadap papa. Aku sudah lama kehilangan tempat untuk bergantung, hari ini aku sudah ada papa. Cukuplah, kerana papa yang paling memahami.

Sudah sampai di Pantai Tanjung Rhu, ada resort siapa yang tersengam indah di sini. Ala-ala istana di raja. Siapa lah pemiliknya agaknya?
“Tok, tengok ni siapa yang datang!” panggil Nik Safuan terlebih gembira. Semua orang tahu Datuk Mohsin tetapi di sini orang panggil Pak Omar sudah lama menunggu kehadiran anak tunggalnya. Dan hanya orang terdekat saja yang tahu Pak Omar @ Datuk Mohsin ini adalah bekas pembunuh. Baru setahun keluar dari penjara.
“Siapa?” jerit tok. Seorang perempuan lebih kurang umur nenek wan muncul di hadapan pintu rumah yang bersebelahan dengan Resort Istana Kasih. Amboi, ada nama istana lagi. Sah, milik Tengku Farel Hakimi.
“Marilah tengok!” ajak Nik Safuan. Tengku Farel Hakimi memunggah barang-barang kepunyaan Damia Azra. Tok menempa datang menghampiri Pak Omar dan anak daranya yang cantik itu.
“Siapa, Omar?”
“Anak saya, mak cik. Damia Azra namanya!” perkenalkan Pak Omar. Damia Azra bersalaman dengan tok. Tok memeluk erat cucu barunya ini.
“Amboi, nama orang putih nama anak kamu. Kenapa lah tak letak nama yang mudah. Aisyah ke, Fatimah ke, kan senang mak cik nak sebut!” gurau Tok sambil melepaskan pelukan. Mata tok menjeling tajam ke arah Tengku Farel Hakimi yang sedang berdiri melihat kemesraan antara tok dan Damia Azra.
“Siapa Suri?” soal tok wan pula yang baru datang ke mari. Serta merta tok wan memandang wajah Damia Azra, muka hampir sama dengan muka si bapa. Tak beritahu pun sudah boleh mengagaknya.
“Tengoklah siapa yang datang, orang jauh ni!” jawab tok. Tok wan bersalaman dengan Damia Azra dan menepuk bahu Damia Azra berkali-kali.
“Baguslah, kamu sudah datang ke mari. Nak. Kasihan ayah kamu yang setiap hari hanya tahu menyebut nama kamu. Bila lah Damia Azra hendak datang ke sini. Itu saja yang ada di dalam kepala otaknya!” beritahu Tok wan. Damia Azra memandang wajah papa tidak berkelip. Aku ditimpa berbagai musibah dan kerana musibah-musibah itulah yang akhirnya membawa aku ke mari. Ataupun ini dinamakan suratan takdir kehidupan ku, sebagai manusia aku tidak tahu apa yang ALLAH berikan dan tetapkan untuk aku? Betul tak?
“Inilah satu-satunya harta yang saya miliki, pak cik!”  beritahu papa. Damia Azra mengangguk saja.  Banyak waktu yang telah kami tinggalkan. Aku tidak sempat melihat dia membesar di hadapan mata. Hari-hari menulis surat dan bertanya khabar kepadanya tetapi dia diam seribu bahasa. Sejuta kerinduan aku pendamkan selama ini, dan hari ini aku sudah boleh menatap wajahnya. Sesungguhnya aku bahagia bertemu dengan anak ku ini walaupun setiap kesalan itu tidak bisa aku lunas dengan apa cara sekali pun. Tiada ada harga yang mampu aku tunaikan untuk membayar kepada Damia Azra yang telah aku hancurkan hati dan perasaan. Papa tetap bersalah kepada kamu, Damia Azra.
“Masuk, masuk, bawa anak kamu masuk. Tak baik berbual di luar macam ni. Suri beritahu Lina, kita ada tetamu istimewa hari ini!”  kata tok wan dengan riangnya. Tok wan menyapu air mata kerana sedih dalam bahagia.

Damia Azra menuju ke kereta Tengku Farel Hakimi kerana mahu mengambil beg sandangnya. Terlupa tadi. Papa turut masuk ke dalam rumah bersama tok dan tok wan. Begitu juga dengan Nik Safuan. Tinggal mereka berdua saja di luar.
“Tipu!” tuduh Tengku Farel Hakimi sambil berdiri di belakang Damia Azra.  Aku cakap apa yang kau tuduh aku jadi penipu. Aku beritahu papa aku siaplah kau nanti.
“Tipu siapa pula nih?” soalnya berang. Mata merah, hidung sudah berhingus. Aku tengah bersedih dia boleh cakap aku penipu, tak faham keadaan ke?
“Awak cakap awak nak jumpa buah hati awak di sini, tetapi orang itu adalah papa awak!”
“Buah hati? Siapa lah yang nak kat saya? Saya kan anak pembunuh!” ujarnya sambil cepat-cepat masuk ke dalam rumah. Aku kena jumpa dengan dia setiap hari ke selepas ini? Huhuhu, kalau gitu tak best lah. Aku hendak jumpa orang lain yang boleh mengembirakan dan membahagiakan aku, bukan berjumpa dengan orang seperti mamat ni? Berlagak tak kena tempat!
“Mia?”
“Apa lagi?”
“Tak ada apa-apa!”
“Kenapa terkejut ke saya jumpa dengan papa saya. Yang awak sibuk hal saya ni kenapa?”
“Awak, tak reti ucap terima kasih ke, atas bantuan yang saya hulurkan?”
“Hishh, tolong tadi harap balasan ke? Tak tolong pun tak apa lah kalau harap balasan!”
“Wow, sekurang-kurangnya ucap terima kasih ke, nak belanja saya makan ke, ini tak blah macam tu saja!”
“Saya tak pernah jumpa orang yang perangainya teruk seperti awak lah!” balas Damia Azra. Kaki sudah mahu melangkah ke lantai rumah tok dan tok wan apabila Tengku Farel Hakimi sudah menghampirinya sambil menghulurkan beg plastik berwarna hitam. Dihulurkan beg plastik tersebut kepada Damia Azra. Apa pula ni?
“Nah, basuh baju dan seluar saya yang terkena muntah awak tadi. Itu hukumannya!” suruh Tengku Farel Hakimi. Damia Azra menarik muka masam. Balik lah basuh sendiri.
“Mia!” panggil tok dari arah dapur. Cepat-cepat dia mengambil bungkusan tersebut kerana tidak mahu orang tahu akan pengtengkaran mereka berdua. Tengku Farel Hakimi tersenyum tanda kemenangan dan senang hati.
“Ya tok,”
“Pergi mandi dulu, nanti kita makan sekali. Mia tak mandi lagi kan?”
“Belum tok, Mia tak mandi sejak dari semalam sampai sekarang!” jawab Tengku Farel Hakimi.
“Awak pun sama lah!”
“Saya mandi lah kat jeti tadi!”
“Mia, Ril jangan gaduh lah, dari tadi tok tengok kamu nie macam nak telan orang saja!”
Memang pun, kalau boleh telan mamat ni dah lama aku telan hidup-hidup.
“Ril, mari makan sekali. Mia pergi mandi dulu!” jerit papa pula. Damia Azra terus mengikut tok ke bilik tamu.

Bunga-bunga bahagia sudah datang menjelma. Kuntuman kasih mula bersemi. Semuga kasih sayang ini berkekalan sampai ke akhir hayat. Kalau aku berduka pun, aku sudah ada tempat untuk mengadu. Andainya aku merajuk tentu ada orang yang memujuk. Ketika aku bersedih, pastinya ada orang untuk mengelap air mataku yang mengalir. Terima kasih kepada ALLAH yang telah memberi jalan-jalan indah untuk aku hari ini. Amin.

Selasa, 4 September 2012

DENDAM YANG TERINDAH (23)




BAS BERHENTI DI R & R Jejantas Sungai Buloh untuk memberi ruang kepada penumpang turun makan dan sebagainya lagi. Damia Azra tidak bercadang untuk turun kerana dia mahu berada di atas bas saja.
“Hendak turun tak?” soal Tengku Farel Hakimi yang sudah berdiri. Damia Azra mengelengkan kepala.
“Nak beli apa-apa tak?” soal Tengku Farel Hakimi lagi.
“Tak nak!” jawabnya.
“Nah, pegang handset saya dengan jaket saya, boleh?” pinta Tengku Farel Hakimi sambil meletak kan jaket dan handsetnya atas riba Damia Azra. Hish, melampau lah ni. Pegang lah sendiri.
“Hai, ingat saya ni apa?” jerit Damia Azra geram.
“Manusia lah!” balasnya terus berlalu meninggalkan Damia Azra seorang diri. Ramai yang turun ke bawah, hanya dia seorang saja yang tidak mahu turun.

Dia meninjau ke belakang, ada lagi orang yang tidak turun. Mujurlah. Takut juga berada di atas bas seorang diri. Boleh berlaku macam-macam lah. Dia menghantar sms kepada Aisya yang dia sudah berada di Sungai Buloh. Bas berhenti untuk memberi ruang kepada penumpang melakukan apa yang sepatutnya.
“Saya nampak abang yang hantar KFC tadi. Abang tu naik bas sekali dengan akak!”
“Bukan sekali dah, duduk satu kerusi dah pun!”
“Jodoh akak lah tu!”
“Janganlah. Akak tak rela dapat suami garang macam tu!”
“Hehehe..,”

Lima belas minit berlalu, Tengku Farel Hakimi muncul semula. Di tangan ada air mineral dan roti sandwich perasa tuna dihulurkan kepada Damia Azra. Damia Azra menolaknya.
“Kenapa?” soal Tengku Farel Hakimi sambil mengambil jaket dan handsetnya.
“Takut muntah!” jawabnya. Betul, sejak dari tadi dia tidak menyentuh apa-apa makanan pun. Takut muntah di atas bas.
“Ya ALLAH, awak tak pernah naik bas ke?”
“Ini kali pertama!” Mana pernah naik bas, dan tak pernah ke mana-mana pun . Hendak pergi mana, hidup pun tidak tentu arah.
“Hahaha..,”
“Kenapa ketawa?”
“Miskin sungguh lah, sampaikan tak pernah naik bas!”
“Cis, ada ke kata macam tu kat saya?”
“Dah sungguh. Makan lah, tu saya sediakan plastik untuk awak. Muntah dalam plastik saja. Biar perut kosong tu kenapa, sudah lah jauh lagi nak sampai kat Kedah!” suruh Tengku Farel Hakimi. Damia Azra menhirup air mineral. Memang terasa dahaga pun.  Lalu dia menjamah roti sandwich sampai habis. Perut yang dari tadi masuk angin sudah rasa macam-macam saat ini. Menyesalnya makan. Wajah sudah pun berkerut seribu menahan rasa loya di dalam mulut. Seolah angin luar melonjak keluar. Dia terasa mahu muntah.
“Kenapa?” soal Tengku Farel Hakimi melihat Damia Azra yang gelisah. Damia Azra memekup mulutnya dengan tangan kanan. Melihat keadaan Damia Azra yang begitu tahulah dia keadaan yang sebenar. Mahu dicapainya pelastik di sebelah tetapi Damia Azra terlebih dahulu muntah segala isi perut di atas riba Tengku Farel Hakimi. Habis terkena seluarnya. Tengku Farel Hakimi menghulurkan plastik kepada Damia Azra membiarkan gadis itu muntah di sisinya. Dicarinya tisu di dalam beg Damia Azra, lalu dilap segala kotoran. Bau muntah menusuk ke dalam lubang hidung. Ah, macam mana ni, sedangkan perjalanan masih jauh.
“Awak dah okey?” soal Tengku Farel Hakimi. Hendak tergelak pun ada melihat keadaan Damia Azra. Tengok saja brutal tetapi boleh pula mabuk bas.
“Ha, ah!” jawab Damia Azra lesu. Tisu diambil lalu dilap mulutnya.
“Okeylah sebab dah muntah atas seluar saya. Baju awak okey ke tak?” soal Tengku Farel Hakimi di dalam keadaan marah. Baju Damia Azra mana terkena pun muntah tu, bersih sebersihnya lah. Damia Azra tidak menjawab di biarkan Tengku Farel Hakimi melihat keadaan dirinya. Kali ini Damia Azra pula geli hati memandang Tengku Farel Hakimi yang serba tidak kena saja. Mana tidaknya, seluarnya sudah berbau dan dia tidak selesa dengan keadaan itu.
“Sorry ek!” pintanya sambil tersenyum. Tengku Farel Hakimi menjeling, pura-pura marah kepadanya.

Kini bas sampai di Petronas Rawang. Bas berhenti kerana ada penumpang mahu ke bilik air, dan Tengku Farel Hakimi mengambil keputusan untuk menukar pakaiannya. Biar selesa sedikit.
“Jom turun!” ajak Tengku Farel Hakimi.  Damia Azra mahu turun kali ini kerana dia mahu membersihkan dirinya juga.
“Memang nak turun pun!” balasnya garang. Mereka turut berdua. Dituruti orang lain juga. Damia Azra menuju ke bilik air wanita dan tidak mempedulikan langsung keadaan Tengku Farel Hakimi. Dia membasuh tangan dan mukanya. Bajunya masih bersih. Dibuangnya sisa muntah tadi ke dalam tong sampah. Hehehe, seumur hidup, ini lah kali pertama naik bas. Naik bas sampai termuntah pula. Hmm, dia sendiri tidak menyangka akan muntah tadi. Mungkin perutnya masuk angin bukan kerana mabuk bas pun.

Rasa kembali segar dan perut pun sudah mula lapar. Ada penumpang yang membeli maggi cup menguji seleranya. Hendak beli juga lah. Sudah tidak tahan. Dibeleknya maggi-maggi di atas rak. Mahu perasa apa yer? Asam laksa atau pun tomyam? Kari pun sedap juga ni.
“Tu nak apa pulak?” tegur Tengku Farel Hakimi yang sudah menukar pakaian baru. Minyak wangi sebotol agaknya ni. Wanginya.
“Maggi. Lapar  lah!” ujar Damia Azra sambil mencapai maggi perasa tomyam.  Terus dia menuju ke kaunter bayaran. Tengku Farel Hakimi turut mengambil maggi perasa yang sama. Sengaja dibiarkan Tengku Farel Hakimi membayar untuknya, selesai membayar terus dimasukkan air panas yang memang sudah disediakan di situ.

Kembali naik ke atas bas. Penumpang semua sudah lama menunggu mereka berdua. Mereka saja yang belum naik. Damia Azra kembali duduk di tempatnya. Begitu juga dengan Tengku Farel Hakimi.
“Nanti termuntah pula!” ujar Tengku Farel Hakimi. Habis lah baju aku hendak kena tukar lain.
“Uwekk!” usik Damia Azra, pura-pura mahu termuntah. Tengku Farel Hakimi mengelengkan kepalanya. Masing-masing menikmati enaknya makan maggi tomyam di atas bas. Sampai licin dihirupnya. Selepas meneguk air mineral, dia rasa mahu tidur saja. Tak mahu berfikir apa-apa lagi kerana mata terasa letih tiba-tiba.  Hujan membasahi bumi menyebabkan bas bergerak dengan perlahan. Keselamatan penumpang harus diutamakan.

Dia tertidur, begitu juga dengan Tengku Farel Hakimi.  Sudah tidak sedar apa yang berlaku sehinggakan kepalanya tersandar di atas bahu Tengku Farel Hakimi. Lamanya dia beradu, bila tersedar badannya sudah diselimuti dengan jaket kepunyaan lelaki itu. Patutlah tidak sejuk seperti tadi lagi. Kepalanya segera dialihkan. Mujurlah lelaki itu masih lagi terlena. Kalau tidak habislah aku dikutuknya. Dia ini boleh tahan juga nih.

Damia Azra menarik kain langsir, mahu melihat keadaan di luar. Masih lagi hujan. Jam di tangan sudah menunjukkan ke angka dua pagi. Sudah sampai di mana yer? Ah, tidurlah balik. Mengantuk nih. Dipejamnya matanya dengan rapat lalu dia kembali menyambung lenanya. Sampaikan termimpi-mimpi pula.

Badannya dikejutkan. Terkebil-kebil dia membuka mata. Terpandang wajah Tengku Farel Hakimi sedang tersenyum ke arahnya.
“Kenapa?” soal Damia Azra hairan. Tak pasal-pasal kejut aku nie apa hal?
“Hendak turun kat mana? Ni dah sampai tol utara selatan. Kat Kedah dah ni!” jawab Tengku Farel Hakimi. Mungkin dia sudah mendengar perbualan aku dengan abah tadi. Baru sampai sini, jauh lagi lah hendak sampai Jeti Kuala Perlis kan?
“Pandai-pandai lah saya nak turun kat mana pun, yang awak susah hati kenapa?” balas Damia Azra sambil menarik jaket lelaki itu menutup seluruh badannya.
“Siapa lah hendak susah hati kat awak, saya cuma bagi tau saja lah. Kenapa lah bodoh sangat nih?” balas Tengku Farel Hakimi sambil memandang ke arah lain. Susah betul lah cakap dengan Minah seorang ni. Tak faham bahasa melayu ke?

Matanya kembali segar. Tidak boleh terlena lagi apabila mendengar sudah sampai ke Kedah. Tidak lama lagilah hendak sampai. Dadanya berdebar. Rasa rindu tidak mungkin dapat ditahan lagi. Papa tak tahu lagi dia datang ke sini. Bagaimana keadaan papa sekarang? Sudah berbelas tahun kami tidak bertemu, entah lah sama ada papa kenal aku  atau tidak kerana aku tidak pernah mengirimkan sekeping pun gambar ku untuk tatapan papa.

Papa pula bagaimana? Gemuk atau kurus? Sihat atau kurang sihat? Semuga papa sihat sentiasa, itu doaku. Aku ingin bertemu dengan papa kerana rasa benci ku kepada papa telah pun hilang. Demdam dan amarah ku kepada papa sudah pun terbang di bawa angin. Siapa pun dia, dia tetap papaku. Jahat ke dia? Baik ke dia? Dia tetap papaku. Dan aku sudah menerimanya sepenuh jiwaku dan bukan itu saja aku juga merindui belaian kasih sayangnya selama ini.

Kenapa berubah menerima papa, Mia? Bukankah selama ini kau begitu membenci papa kau? Kau marahkan dia kerana dia lah engkau jadi begini. Kerana dia masyarakat menghina dan mengcaci kau. Kerana dia, kau kehilangan kasih sayang seorang mama. Dan kerana dia juga kau tidak boleh bercinta seperti anak gadis yang lain?

Kenapa hati kau tiba-tiba berubah? Tidak tahu. Tetapi sejak akhir-akhir ini aku sering bermimpikan papa. Tidur ku sering diganggu oleh wajah papa. Papa yang datang dan memanggilku supaya datang kepadanya.   Dan perasaan benci kepada papa telah bertukar menjadi rindu yang paling mendalam. Perasaan demdam pun hilang yang ada hanyalah satu, aku ingin bertemu dengan papa.
“Jauh mengelamun!” tegur Tengku Farel Hakimi setelah melihat Damia Azra melayan fikiran.
“Tak sabar..,”
“Hai, nak jumpa buah hati ke?”
“Yup. Tak sabar nak jumpa buah hati saya!”
“Siapalah yang buta mata memilih awak jadi buah hati agaknya!”
“Cakap elok-elok sikit yer, ingat saya ni tak ada orang berkenan ke?” marah Damia Azra. Kau tak tahu, boleh tak duduk diam.
“ Berkenan apanya kalau perangai huduh macam ni? Ada rupa kalau perangai huduh nak buat apa?”
“Awak jangan hina saya boleh tak?”
“Hahaha..,”

Jaket dilemparkan ke badan Tengku Farel Hakimi tanda terlalu marah.  Tengku Farel Hakimi mengelak.
“Ambil balik jaket buruk awak!”
“Beri elok-elok tak boleh ke?”
“Dah terlebih elok lah tu!”
“Amboi, semalam kalau tak ada jaket ni, awak tu dah sejuk beku jadi ais pun,”  balas Tengku Farel Hakimi. Jaket di tangan Damia Azra tidak diambil. Dibiarkan gadis itu mengunanya kerana perjalanan masih jauh.
“Kita kat mana sekarang?” soal Damia Azra sambil melihat di luar. Ingin tahu benar kerana dia sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan papa.
“Jangan cakap awak terlepas stesen sudah lah,”
“Awak ni nak ke mana?”
“Suka hati saya lah hendak ke mana pun. Tapi untuk pengetahuan awak, kita sudah nak sampai di Jeti Kuala Perlis. Tengok jam pun sudah enam lebih dah. Sebenarnya buah hati awak tunggu awak kat mana ni?”
“Kat Pulau Langkawi!”

Penumpang sudah semakin berkurangan, ada tidak sampai pun sepuluh orang. Masing-masing telah turun diperhentian masing-masing. Ada yang turun di Shahab Perdana selepas yang turun di tol Utara Selatan tadi.  Malah, ada yang turun di Changloon. Tinggal mereka saja.
“Jom, sampai dah!” ajak Tengku Farel Hakimi. Bas sampai di Jeti Kuala Perlis jam 6.45 pagi. Boleh lah solat subuh terlebih dahulu, kerana bot paling awal pun pukul 8.00 pagi. Banyak lagi masa yang ada untuk mereka berdua.  Tengku Farel Hakimi menuju ke tempat letak beg di bawah. Dia hanya membawa beg pakaian yang kecil saja.
“Mana beg awak?” soalnya.
“Tu..,” jawab Damia Azra sambil menunjukkan ke arah beg besar berwarna biru.  Ada lagi dua buah besar yang sederhana besar.
“Nak duduk sini berapa lama nih?” soal Tengku Farel Hakimi kehairanan. Kata nak jumpa buah hati tapi bawa beg banyak, besar-besar pula. Nak kahwin terus kut!
“Tak usah banyak tanya boleh tak? Itu hak saya kan?”
“Hai, tolong pun susah, tak tolong pun susah!”  sudah bebal lelaki ini dengan kata-kata Damya Azra.  Harap-harap kita sudah tidak berjumpa lagi yer.

Masing-masing menuju ke surau. Seorang ke surau lelaki, manakala yang seorang lagi ke surau perempuan. Ingin berehat sebentar kerana masa untuk bertolak ke Kuah lebih kurang sejam.  Jadi boleh lah basuh muka dan menyolek ala kadar kerana dia ingin kelihatan cantik buat pertemuan yang pertama ini. Dia mahu papa melihatnya dengan senang hati. Bukan melihat dengan wajah duka dan sedih. Hmm, tak sabarnya nak jumpa papa.
“Mia!” panggil Tengku Farel Hakimi sambil mengamit ke arahnya. Tampannya dia. Tidak seperti melihat Tengku Fayyad, wajah Tengku Farel Hakimi begitu tenang dan damai. Senyumannya boleh mencairkan perasaan perempuan.
“Apa?”  soal Damia Azra. Orang sudah tak nak berhubung lah.
“Tiket bot saya dah beli!” jawabnya sambil menunjukkan tiket bot. Hmm, kena bergantung harapan lagi lah.
“Buang lah tiket tu, saya nak beli sendiri!” jawab Damia Azra tidak sudi. Nanti lagi panjang cerita.
“Boleh tak jangan berlagak dengan saya? Awak tu dah lah baru pertama kali datang sini, dengan bawa beg banyak lagi, nanti angkut beg tu sendiri, saya nak tengok orang berlagak macam awak ni boleh tak hidup seorang diri?” marah Tengku Farel Hakimi depan orang ramai yang menunggu untuk menaiki bot pergi ke Pulau Langkawi.
“Hendak tolong orang tapi marah orang berjela-jela. Tolong tak ikhlas, sekupang pahala pun tak dapat!” ujar Damia Azra sambil berjalan menghampiri  Tengku Farel Hakimi. Perlukan bantuan seorang lelaki utnuk mengangkut beg-begnya naik dan turun bot sebentar nanti.
“Ikhlas tak ikhlas tu hak saya, pahala dapat atau tidak tu antara saya dengan ALLAH. Awak tak ada hak nak kata kat saya tau tak?” balas Tengku Farel Hakimi. Damia Azra duduk di sebelah Tengku farel kerana semua beg pakaiannya sudah berada di sisi lelaki itu. Bila masa lah dia mengangkutnya bawa ke sini.

Jam baru 7.30 pagi. Suasana pagi yang indah dan mendamaikan. Angin-angin laut perlahan-perlahan membelai perasaan, menyentuh hatinya. Segar! Sudah lama tidak merasa keindahan angin laut seperti ini. Mata melihat suasana bot di hadapan yang sedang menuju ke tengah laut untuk mencari hasil tangkapan barangkali. Damia Azra tersenyum sendiri. Kenapalah papa memilih untuk tinggal di sini sedangkan kami tidak mempunyai saudara mara pun di sini. Saudara mara papa kebanyakan tinggal di Johor Bahru. Di sini tidak ada orang yang kenal papa, mungkin itu penyebabnya.
“Nampak muka awak seperti tidak sabar untuk berjumpa dengan buah hati awak?” tegur Tengku Farel Hakimi sejak dari tadi tidak jemu memandang wajah Damia Azra.
“Mestilah, sudah lama saya tak berjumpa dengannya. Rindu sangat-sangat dah ni!”  ujar Damia Azra sambil tersenyum. Manis dan berseri.
“Patutlah bermake up sakan, dengan bedak muka, putih melepak, bibir merah menyala, sayang tak pakai tudung, kalau pakai lagilah cantik!” perli Tengku Farel Hakimi. Damia Azra menjeling tajam.
“Awak kalau tak kutuk saya tak boleh ke?”
“Tak kutuk lah yang awak terasa nie apa kes?”

Bot pun sampai dan dia membiarkan Tengku Farel Hakimi membawa segala begnya. Hahaha, padan muka, merungut sangat tadi.
“Pegang tiket ni!” suruh Tengku Farel Hakimi sambil menghulurkan tiket bot kepada Damia Azra.
“Baik, bos!”  jawabnya girang.

Saat itu sudah semakin hampir. Aku sudah tidak sabar dibuatnya.