Isnin, 3 September 2012

DENDAM YANG TERINDAH (18)






SEJARAH LAMA BERULANG LAGI. Ingatkan sudah tutup buku dan boleh membuka buku baru tetapi perkahwinan Tengku Fayyad dan Tengku Nadia membuat kehidupan Damia Azra kucar dan kacir. Bukan kerana diganggu oleh Tengku Fayyad dan Tengku Nadia tetapi semua orang mengenalinya dan mengingati cerita lama tentang dirinya. Semua orang sudah tahu siapa Damia Azra yang sudah mahu melupakan tentang status dirinya.

Di tempat kerja sudah kecoh tentang hal itu. Tengku Fayyad tidak jadi berkahwin dengan Damia Azra kerana Damia Azra anak pembunuh, Damia Azra bukannya anak Dr. Luzman tetapi anak lelaki lain. Damia Azra tidak sedar diri kerana mahu berkahwin dengan Tengku Fayyad, mujurlah abang Tengku Fayyad dapat menyiasat hal yang sebenarnya. Padan muka Damia Azra yang terlalu jauh bermimpi. Mimpi mahu menjadi tuan puteri di istana besar. Siapa yang hendak berkahwin dengan anak pembunuh? Entah-entah si anak pun sama dengan si bapa, sama-sama jahat. Ah, bermacam-macam lagilah kata nista yang dilemparkan kepadanya.

Dalam masa yang sama dia kehilangan kawan. Ramai yang sudah tidak sudi berkawan dengannya termasuk dengan kawan rapatnya iaitu Munishwary tetapi berbeza dengan Kelly yang masih mahu berkawan dengannya. Kelly saja yang tidak mengikut sikap kawan-kawan yang lain, kalau tidak entah lah, tidak tahu apa yang dia bakal hadapi lagi.

Ramai orang yang datang mencaci dan memakinya di kaunter sekarang. Kata-kata sindiran dan kata-kata pedih sudah bertalu-talu masuk ke dalam halwa telinga Damia Azra tetapi dia hanya bersabar saja. Mendiamkan diri dari membalas tuduhan orang kepadanya. Kalau dulu, sahih lah dia sudah menampar dan melawan untuk mempertahankan diri tetapi waktu sudah mengubah kehidupan dia yang sebenarnya.

Untuk menjaga nama baik pasaraya, dia mohon ditukarkan ke bahagian stor saja. Dari dia memberi imej yang buruk kepada pasaraya lebih baik dia melakukan kerja-kerja yang tidak melibatkan orang ramai. Bersembunyi sebenarnya kerana sudah tidak mampu menanggung kesakitan dihina orang. Siapa aku, aku juga punya hati dan perasaan.
“Jom, pergi makan!” ajak kelly bersama tunangnya.
“Aku bawa bekal lah!’ beritahunya. Tak mahu ke restoran selayang pandang itu lagi kerana tuan punya restoran asyik menjelingnya saja semenjak mengetahui hal dirinya.
“Okey, nak pesan apa-apa tak?” soal Darren pula. Mujurlah Darren dengan Mr. Chong sudi menerimanya bekerja di sini.
“Tak payah lah!” balasnya sambil tersenyum. Dia membawa nasi goreng yang dimasak seawal pagi bersama Aisya pagi tadi. Aisya masih berkawan dengannya, biarpun Aisya tahu tentang hal yang sedang panas diperkatakan orang. Mimi pula sudah tarik diri dari terus berkawan dengannya. Hak untuk berkawan adalah hak semua orang. Dia tidak boleh memaksa sesiapa pun dalam hal ini. Kalau ada orang yang sudi berkawan dengannya, dia akan menerimanya tetapi kalau tiada, dia redha saja.

Setiap hari dia pulang lewat kerana tidak mahu orang melihatnya. Keluar pun ikut pintu belakang, masuk kerja pun melalui pintu belakang juga.  Kebetulan bahagian stor memang berada di belakang sekali. Jadi, memudahkan Damia Azra.
“Mia!” panggil Dr Luzman sambil membuka pintu kereta. Abah setiap malam akan menelefonnya bertanya khabar. Malam ini memang abah sudah berjanji untuk datang menemuinya selepas menutup kliniknya. Sudah beberapa kali Abah hendak jumpa Damia Azra tetapi Damia Azra yang mengelak.
‘Abah!” balas Damia Azra. Dia berjalan ke arah abah yang baru keluar dari keretanya. Kalaulah isteriku boleh memberi seluruh kasih sayang seorang ibu kepada anak ku Zana kenapa lah aku tidak boleh memberi kasih sayang seorang ayah kepada anak isteriku? Apa salah dia? Maka aku bertindak tidak adil dan melayannya dengan teruk sekali? Akhirnya aku diberi balasan setimpal dengan perbuatanku. Kerana hukuman ini aku diberi balasan, anak ku tidak sebaik Damia Azra tetapi menjadi semakin melampau dan kurang ajar.
“Mia dah makan atau belum?” soal Abah.
“Dah!”
“Jom temankan abah makan. Abah belum makan apa-apa lagi sejak dari tadi!” ajak abah bersungguh. Damia Azra jadi tidak sampai hati untuk menolak pelawaan abah malam ini. Ah, rasanya ini kali pertama naik  kereta sekali dengan abah. Tidak pernah bermimpi pun hendak naik kereta abah tetapi hari ini sudah terjadi sebaliknya.

Dr. Luzman memilih untuk makan berdekatan dengan Kota A Farmosa,  ada sebuah hotel terkenal berada berdekatan dengan tempat bersejarah itu. Di sini lebih sesuai untuk makan dan berbual panjang. Dia perlukan tempat yang selesa, tidak mahu diganggu oleh sesiapa pun. Hati Damia Azra rasa tidak enak, apabila masuk ke ruang legar hotel. Matanya sempat memandang ke arah bunting besar  di penjuru hotel. Alamak! Jumpa kat sini pula? Aduhai, kecil sangatkah bandar Melaka nih?
“Kenapa Mia?”
“Tu..,” ucapnya sambil menunjukkan ke arah bunting tersebut. Dr. Luzman membacanya. “SELAMAT PENGANTIN BARU ISTIMEWA UNTUK TENGKU FAYYAD DAN TENGKU NADIA, SEMUGA BAHAGIA SAMPAI KE ANAK CUCU, DARI ENGKU ZAHIRAH SEKELUARGA,” Di situ tertera gambar pasangan pengantin yang sama padan dan secocok itu. Aku sudah tidak mahu berjumpa keturunan Engku Zahirah lagi. Cukuplah sekali. Bukan dua kali atau pun tiga kali. Sudah serik!
“Jom kita balik!” ajak Dr. Luzman, tidak sesuai rasanya berada di sini.  Hotel lain ada lagi kan? Bukan hotel satu saja, banyak lagi. Yang penting, hati Damia perlu dijaga supaya tidak terluka.  Mereka melangkah keluar tetapi terserempak dengan Tengku Fayyad dan Tengku Nadia. Turut berada di situ adalah keluarga mereka sendiri. Engku Zahirah bersama suami, ibu bapa Tengku Nadia dan turut berada di situ adalah Tengku Farel Hakimi.  Tak sempat hendak mengelak rupanya. Mata Tengku Farel Hakimi memandang tepat ke wajah Damia Azra manakala Tengku Fayyad mengalih memandang ke arah tempat lain. Benci menatap wajah Damia Azra yang menipu dirinya.
“Dr. Luzman!” panggil ayah kepada Tengku Fayyad iaitu Tengku Ayoib. Kenal rupanya.  Abah memandang ke arah wajah Damia Azra. Mereka tahu atau tidak hubungan Damia Azra dan Tengku Fayyad, dari cara memandang rasanya mereka tidak tahu. Kalau tahu mesti Tengku Ayoib tidak menegur dengan mesra kepadaku tadi, teka hati Dr. Luzman.
“Oo, Tengku Ayoib. Apa khabar?” soal Dr. Luzman sambil berjabat tangan dengan Tengku Ayoib. Seterusnya dengan anak-anak lelaki Tengku Ayoib dan besan Tengku Ayoib. Damia Azra memandang ke arah pasangan bahagia di hadapannya. Kelihatan wajah Tengku Nadia berubah. Tetapi Damia Azra tidak membenarkan Engku Zahirah menatap wajahnya. Takut ingatan Engku Zahirah kepadanya datang semula. Tuhan, selamatkan lah aku.
“Kenapa tak datang kenduri rumah saya dua hari lepas?” soal Tengku Ayoib.
“Tak dapat undangan pun macam mana nak datang?” balas abah sambil memegang bahu Damia Azra. Anak kau sudahlah melukakan hati anak tiri aku, kalau kau jemput dengan karpet merah pun, aku tak nak datanglah.
“Saya hantar kad ke klinik dan emel kat doktor lah. Tak dapat ke?” balas Tengku Ayoib.
“Ooo, maaflah, saya tak sempat tengok emel!” jawab Dr. Luzman. Memang tak tengok pun emel kau.
“Kalau gitu jomlah ke majlis kita orang, malam ini untuk keluarga terdekat saja!” ajak Tengku Ayoib. Dr. Luzman mengelengkan kepalanya. Aku datang ke sini nak makan dengan Damia Azra lah bukan nak datang raikan anak kau yang kurang ajar tu, marah Dr. Luzman di dalam hati.
“Tak mengapalah, saya ada hal nih!” tolak Dr. Luzman. Mahu melangkah keluar dari hotel tersebut.
“Sekejap saja pun jadi lah. Tak kan doktor tak sudi kut!” ajak Tengku Ayoib bersungguh-sungguh. Macam mana nih, nak jaga hati Damia Azra atau jaga hati Tengku Ayoib? Aduhai, kenapalah jadi macam begini? Lain yang aku mahukan, lain pula yang datang menjelma.
“Abah pergilah, Mia tunggu kat kereta!” suruh Damia Azra perlahan yang berdiri di sebelah Dr. Luzman.  Tahu akan kesusahan hati abah ketika ini. Abah tentu serba salah dibuatnya.
“Ajak lah anak tu sekali!” pinta Tengku Ayoib. Hmm, tak mahulah aku.
“Mia tunggu kat kereta, abah pergi sekejap saja yer!” suruh Dr. Luzman. Tidak mahu Damia Azra menyaksikan majlis indah ini. Kalau aku memang aku tidak sanggup untuk melihat kekasih hati bersanding dengan orang lain. Sudahlah menghina dan mencaci dengan kata-kata yang menikam ke sukma.
“Kenapa tak ajak anak tu sekali?” ucap Tengku Ayoib hairan dengan arahan Dr. Luzman yang menyuruh anaknya menunggu di kereta. Dr. Luzman memandang ke arah Damia Azra sekali lagi. Bersediakan Damia Azra berhadapan dengan Tengku Fayyad, lelaki yang memberi seribu harapan kepadanya.
“Tak mengapa Tengku, saya nak jumpa kawan kat luar!” jawab Damia Azra membantu keresahan dan kegelisahan yang datang di hati abah.
“Okeylah, jom doktor!” balas Tengku Ayoib sambil menarik tangan Dr. Luzman berjalan bersamanya. Damia Azra berjalan perlahan. Hendak ke mana? Tidak tahu arah dan tujuan. Hendak tunggu abah ke? Lama atau sekejap nih? Jam sudah menunjukkan ke angka 11. 00 malam, pukul berapa hendak balik?

Damia Azra memilih untuk berehat di dalam KFC saja. Hanya memesan kentang goreng, nugget dan Oren Jus. Teringat Aisya di sebelah rumah. Kerap sangat makan bersama Aisya membuatkan dia terkenangkan anak gadis yang layak menjadi adiknya. Nanti balik, nak bungkus kat Aisya dan Mimi lah.
“Awak suka makan KFC ke? Suka sangat melepak kat sini?” tegur suatu suara membuatkan Damia Azra tersentak. Segera dipandangnya wajah itu.
“Yang awak ke sini buat apa?” soal Damia Azra marah.
“Kenapa? Tak boleh? KFC ni bukan yang awak lah!”  balas Tengku Farel Hakimi sambil duduk di sebelah Damia Azra.
“Kalau KFC ni kepunyaan saya, dah lama saya halau awak lah!” jawab Damia Azra tidak mahu mengalah. Engkau tak ada tempat lain ke nak pergi? Nanti tahu dek keluarga engkau, satu isu pula yang timbul.
“Hahaha.. ingat senang ke nak halau saya?”
“Hmm, nak balik lah. Tepi sikit saya nak keluar nih!” ucap Damia Azra meminta laluan kerana Tengku Farel Hakimi menganggu laluannya. Hendak keluar pun susah sebab kau menghalang jalan keluar.
“Duduk lah dulu, ayah awak tu tengah rancak berbual dengan papa saya, lambat lagilah nak balik,”
“Saya nak balik  juga,” bantah Damia Azra. Aku tidak mahu orang melihat kita berdua. Nanti timbul fitnah. Tengku Farel Hakimi buat-buat tidak dengar, malah dia sengaja menghalang jalan keluar dengan kakinya.
“Ada ke anak keturunan baik-baik buat perangai buruk macam ni? Tak malu ke?” tegur Damia Azra. Awak tu dah lah keturunan bangsawan, lain lah dengan aku. Aku bebas lakukan apa saja kerana aku rakyat jelata. Awak?? Hai, masuk paper nanti siapa yang hendak menjawab? Boleh diadakan sidang akhbar kerana nak bersihkan nama.
“Duduklah dulu, sebelum saya buat perangai yang lagi buruk, waktu tu lagi malu!”
“Buat lah kalau berani!”
“Jangan cabar saya boleh tak?”
“Kenapa? Ingat awak boleh lakukan apa saja kerana awak orang kaya? Begitu?” kata Damia Azra sambil memijak kaki Tengku Farel Hakimi. Tengku Farel Hakimi mengaduh kesakitan. Segera diangkat kakinya itu memberi laluan kepada Damia Azra untuk keluar. Kau tu tak kenal lah aku ni siapa? Kaki gaduh tahu tak?
“Aduh, sakit lah!”
“Memang nak bagi sakit pun!” ucap Damia Azra sambil tersenyum tanda kemenangan. Tengku Farel Hakimi memegang kakinya yang dipijak oleh Damia Azra. Garangnya? Macam mana lah Tengku Fayyad boleh tertarik dengan anak singa nih?

Sayangnya makanan aku. Tak sempat nak makan tadi. Hendak beli untuk Aisya pun tak boleh. Nantilah ajak abah singgah beli apa-apa makanan untuk Aisya yang baik hati  terhadapnya. Damia Azra menarik pintu KFC lalu berlalu keluar. Terpandang wajah abah yang tercari-cari akan dirinya. Damia Azra mempercepatkan langkah menuju ke tempat letak kereta.
“Abah!”
“Mia pergi mana?”
“KFC!”
“Tu bukan abang Tengku Fayyad ke?” soal Abah sambil menarik pintu kereta. Kelihatan Tengku Farel Hakimi sedang berjalan keluar dari KFC. Damia Azra mengangguk.
“Cepatnya abah makan?” soal Damia Azra sambil menarik pintu kereta. Wajah Tengku Farel yang sudah berlalu dekat dengan abah tidak dihiraukan. Takut juga kau dengan abah aku yer.
“Makan sikit saja lepas tu terus minta izin untuk balik!” jawab abah. Damia Azra tersenyum saja.
“Kita balik lah abah. Mia mengantuk lah!”
“Okey lah. Abah pun dah lewat ni, nanti mama kamu bising pula!”
“Mama tahu abah datang jumpa Mia?”
“Tak tahu!”  jawab abah. Kalau mama tahu tentu mama marah.
“Kenapa abah nak jumpa Mia?” soal Damia Azra. Abah sebenarnya ada hajat. Bukan sengaja-sengaja datang jumpa Mia pun. Kereta berjalan perlahan. Abah menarik nafas panjang dan ada keluhan yang muncul dari bibir abah.
“Abah nak minta maaf dengan Mia. Selama ini abah pilih kasih dalam hal memberi kasih sayang kepada anak-anak. Abah tak sayangkan Mia seperti mana mama sayangkan Zara..,” ucap Dr. Luzman memberanikan diri. Damia Azra anak yang jujur, sejak dari dulu dia tidak pandai menipu. Dia lebih suka berterus terang. Andainya tak suka, jawapannya tak suka lah, bukannya boleh berpura-pura pun.
“Mia..,” Damia Azra tidak tahu untuk berkata-kata kepada abah apabila mendengar perkataan maaf dari mulut abah. Terharu dan sedih. Inikah hadiahnya kerana dia kerap berdoa dan meminta kepada ALLAH supaya diberi keberkatan dan keredhaan untuk perjalanan kehidupannya ini. Allah, makbulkan doa Mia hari ini. Amin.
“Abah bersalah kepada Mia. Abah tak pernah melayan kamu sebagai anak abah. Abah minta maaf, Mia!”  ucap Dr. Luzman. Hati sedikit lapang kerana boleh melafazkan perkataan maaf kepada Damia Azra. Lama sudah dia menunggu saat ini, untuk memohon segala kemaafan dari Damia Azra yang tabah dan sabar menempuh ujian kehidupan.
“Abah, jangan lah salahkan diri abah pula. Kalau Mia di tempat abah pun mesti Mia macam tu. Mia redha abah dan Mia puas hati sebab abah boleh terima Mia sebagai seorang anak!” balas Damia Azra. Kita tidak berada di tempat abah kan, jadi kita tidak tahu perasaan abah. Rasanya sukar untuk memberi kasih sayang kepada anak tiri yang mempunyai sejarah kehidupan yang berbeza. Lagipun aku degil dan selalu melawan cakap abah dan mama. Jadi sebab itu orang membenci aku. Betul tak Mia?
“Terima kasih, Mia!” ucap Dr. Luzman sambil tersenyum. Semuga ALLAH memberkati hidup Mia yang penuh dengan duri-duri tajam, doa Dr. Luzman di dalam hati.
“Zana bagaimana?” soal Damia Azra. Tentu semua ini ada kaitan dengan Damia.
“Zana makin teruk lah Mia sejak Muiz menolak cintanya. Sudah tak terurus. Serupa dengan Muiz juga, masih tak pergi kerja kerana terkenangkan Mia!” beritahu Dr. Luzman. Cinta tiga segi.  Zana sukakan Muiz, tetapi Muiz sukakan Damia Azra dan Damia Azra?? Hati Damia Azra terlalu kebal untuk ditembusi. Itu hakikatnya. Apa tah lagi setelah dilukai oleh Tengku Fayyad.
“Hahaha.. abah ni apa lah ke situ pula!” lepas Damia Azra. Muiz, Zana, terima saya kenyataan. Tentu hati akan menjadi tenang.
“Muiz tu baik Mia. Kenapa Mia tak suka dengan Muiz?”
“Mia anggap Muiz tu seperti seorang kawan tak lebih dari itu, abah!”
“Mia tolak Muiz kerana Zana ke? Abah tahu Muiz sukakan Mia sejak dari zaman sekolah lagi,”
“Tak. Mia anggap dia sebagai seorang kawan sejak dari dulu lagi,”
“Entah lah Mia. Zana tak tahu nak bezakan yang mana satu harus didahului dalam kehidupan ini. Cinta semasa manusia memang lah diperlukan tetapi dalam hidup ini cinta kepada ALLAH, kepada keluarga yang penting. Ini sampai tak boleh bekerja kerana cinta, kecewa kerana cinta. Asyik menangis dan meraung saja,”  ucap abah resah. Kasihan abah, tentu abah susah hati mengenangkan anak kesayangannya yang sedang berduka lara sekarang.
“Abah beri lah semangat kepada Zana, nanti Zana okey lah tu!” ucap Damia. Zana kan ada abah, ada mama, ada nenek-nenek, bukan seperti aku yang tiada sesiapa pun. Kasih sayang untuk Zana sudah melimpah ruah. Kenapa Zana bersedih lagi.
“Mama kamu dah lama tak masuk ke klinik, ambil cuti panjang jaga Zana!” beritahu abah. Kan aku dah cakap, mama sanggup berkorban apa saja untuk Zana. Lembik sangat!
“Abah dengan mama manjakan sangat Zana, sebab itu lah Zana jadi macam tu,” luah Damia Azra, tidak mempedulikan perasaan abah lagi. Sudah besar pun layan Zana macam anak kecil. Sampai bila lah Zana hendak menjadi dewasa kalau lah ini cara layanannya.
“Hahahaha.. ,”
“Betul lah abah, anak abah tu tak cukup kebal dan kental jiwanya. Sebab abah dengan mama manjakan sangat dia sehinggakan kasih sayang untuk saya pun tak ada walaupun sekelumit!” jujur Damia Azra bersuara. Kalau abah nak marah, marahlah, tetapi Mia cakap perkara yang betul. Mia tak nak jadi manusia yang hipokrit.
“Kamu ni suka berterus terang tidak seperti Zana yang menyimpannya di dalam hati,” ucap Dr. Luzman.

Kereta berhenti depan rumah sewa Damia Azra.
“Mia, jom balik tinggal dengan abah!” ajak Dr. Luzman ketika Damia menolak pintu kereta untuk keluar.
“Tak nak. Mia selesa tinggal di sini!”
“Tak takut ke?”
“Semua student kolej, abah. Jadi Mia sudah rasa selamat!”
“Kalau kamu nak apa-apa call abah yer!”
“Terima kasih abah!”
“Sama-sama!”

Kereta sudah berjalan, Damia Azra hanya melambai tangan kepada abah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan