Rabu, 5 September 2012

DENDAM YANG TERINDAH (25)




MAKAN TENGAH HARI YANG PALING INDAH dapat Damia Azra rasakan. Orang-orang di sekeliling papa menerima kehadirannya dengan setulus hati. Tidak ada perasaan demdam dan benci. Tidak perasaan cemburu dan sakit hati, yang ada hanyalah kebahagiaan dan kegembiraan saja.
“Makan Mia, jangan malu-malu. Kamu pun Omar tambahlah, jangan pula segan!” pelawa Tok. Tok adalah panggilan kepada nenek. Di Kedah, nenek di panggil tok, manakala datuk pula dipanggil tok wan.
“Ini bukan tok yang masak tetapi isteri Abang Safuan kau, Kak Lina yang masakkan. Tok tolong sikit-sikit boleh lah, “  sampuk tok wan sambil memandang Lina yang sibuk memasukkan menambahkan gulai ikan keli ke dalam mangkuk.
“Masakan kampung saja lah, Mia!”  beritahu Lina menghulurkan gulai ikan keli kepada Damia Azra.
“Mia dah kenyang ni!” tolaknya.Sudah dua kali dia tambah nasi. Perutnya sudah tidak mampu di isi  lagi. Kenyang teramat, mata pula letih kerana naik bas terlalu lama semalam. Mahu tidur saja kerana hati begitu tenang hari ini.
“Ril, kau tak nak tambah ke?” soal Nik Safuan, melihat sepupunya hanya makan sedikit saja. Kenapa pula? Malu ke? Selalunya makan sampai tak nampak orang.
“Letih lah!” jawabnya sepatah. Tangan dibasuh. Di bawanya ke singki lalu dia mencuci tangan sendiri.
“Jangan beri alasan. Aku suruh kau balik sebab ada banyak kerja yang penting!” marah Nik Safuan.
“Macam mana kenduri kahwin Fayyad, Ril. Okey ke? Maaflah tok dan tok wan tak dapat pergi kerana masalah kesihatan. Nak naik kereta atau bas lama-lama dah tak boleh lah, hendak naik kapal terbang pun rasanya macam tak larat dah!”  soal Tok Wan. Tengku Farel Hakimi memandang tepat ke arah wajah Damia Azra. Damia Azra menunduk memandang ke lantai.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, tok wan. Fayyad dan Nadia ada di Paris sekarang!” jawab Tengku Farel Hakimi.
“Jadi juga dia kahwin dengan Tengku Nadia yer, hari tu kecoh katanya terjumpa perempuan lain yang lebih cantik dari Tengku Nadia. Siapa nama perempuan tu, Ril?”  sampuk tok. Papa memandang ke arah Damia Azra kali ini.  Seakan ada sesuatu yang tidak kena. Damia Azra pura-pura tidak tahu, dia bangun dan mengambil pinggan mangkuk kotor untuk di bawa ke singki. Manakala Tengku Farel Hakimi masih berdiri di situ.
“Tak tahu tok!” jawab Tengku Farel Hakimi tersekat-sekat.  Andainya mereka tahu perempuan tersebut adalah Damia Azra bagaimana yer?  Apakah mereka akan marah ataupun sebaliknya.
“Keturunan kamu memang tak boleh berkahwin dengan orang biasa lah. Mama dan papa kamu memang menitik beratkan hal ini. Kamu tu kena cari yang berdarah raja juga nanti. Ataupun terima saja pilihan mama kamu tu!”  sambung tok wan. Damia Azra hanya mendengar. Oo, begitu ceritanya. Mujurlah hubungan ku tidak sampai ke pengetahuan Engku Zahirah sekeluarga, kalau tidak semakin parahlah hidup aku. Sudahlah aku ingin ada hubungan rahsia dengan Engku Zahirah sejak dari zaman remaja lagi.
“Saya serahkan kepada ALLAH, kalau ada jodoh, kahwin juga saya nanti!” balas Tengku Farel Hakimi.
“Safuan yang sebaya dengan kamu sudah ada anak dua, Farel. Jangan tunggu lama-lama, tak elok nanti!”  kata tok pula.  Damia Azra meneruskan kerjanya, tidak pedulikan perbualan antara Tengku Farel Hakimi dengan ahli keluarganya.
“Mia dah ada calon ke?” tanya Lina pula. Lina turut membantu Damia Azra dengan mengemas meja makan. Damia Azra memandang ke arah papa. Tidak ada jawapan untuk soalan ini.
“Gadis secantik Mia tentu sudah ada yang berpunya, betul tak?” pintas Tengku  Farel Hakimi. Damia Azra semakin resah. Kenapa dia berkata begitu? Mahu menjaga air muka ku barangkali?
“Hmm, terima kasih pak cik, mak cik kerana jemput kami anak beranak makan di sini hari ini. Mia papa tunggu Mia di luar yer!” kata Datuk Mohsin, tidak mahu anaknya disoal tentang perkara ini. Anak pembunuh siapa yang nak? Siapa yang sudi nak peristerikan anak pembunuh? Cantik pun orang tak pandang lah.
“Tidurlah di sini, Mia!”  ajak tok. Cadang mahu mengajak Damia Azra bermalam di sini sehari dua sebelum Damia Azra pulang tinggal di rumah papanya yang tinggal berdekatan dengan rumah mereka.
‘Tak mengapa, tok. Mia ikut papa!” jawabnya. Hendak tinggal di sini? Lebih baik tinggal dengan papa sendiri dari tinggal dengan orang luar. Tambahan lagi yang ada hubungan dengan Tengku Fayyad dan Tengku Farel Hakimi lagilah aku tidak rela.
“Ril, Safuan, hantar beg-beg Damia ke rumah Pak Cik Omar kau!”  suruh tok wan.
“Tak mengapa tok wan, Mia boleh bawa sendiri!” ujarnya menolak bantuan. Segera dia menuju ke bilik tamu rumah tok untuk mengambil beg-beg pakaiannnya. Digalas beg sandang, manakala dua lagi beg ditarik perlahan, tambahan apabila melihat papa berdiri di luar rumah.
“Papa!” panggilnya. Papa menoleh ke arahnya lalu mengambil beg sandang di bahu Damia Azra. Digalas lalu sama-sama menarik beg pakaian yang besar itu. Mujurlah beg beroda, jadi senang lah untuk mereka berdua menariknya.
“Rumah papa kecil saja lah, tak sebesar rumah mama!” beritahu papa. Rumah papa dekat sangat dengan rumah tok dan wan. Berjalan tak sampai pun 10 langkah, sampai lah ke rumah papa yang kecil saja. Sesuailah untuk kami berdua.
“Tak mengapa, papa. Mia tak kisah, lagi pun Mia dah biasa lah hidup macam ni!” balas Damia Azra. Aku duduk di rumah besar pun seperti duduk di rumah kecil juga. Jadi apa bezanya kan?

Rumah ini hanya ada dua bilik saja. Satu bilik kepunyaan papa dan satu lagi memang khas untuk Damia Azra pun. Setiap bilik memang sudah disediakan bilik air. Di ruang tamu ada gambar mereka bertiga. Gambar ketika Damia Azra masih kecil. Masih budak hingusan. Papa masih menyimpan gambar kami sekeluarga rupanya. Hmm..,

Damia Azra merenung gambar itu dengan begitu lama. Betapa bahagianya saat ini. Mama dan papa sedang memeluk dirinya dengan penuh mesra sekali. Terharunya dia melihat. Tentu papa masih terkenangkan bekas isterinya itu. Selama ini tiada sesiapa pun yang tahu isi hati papa, sama ada papa masih terkenangkan mama atau tidak, masih rindukan mama atau tidak? Tidak sesiapa pun yag peduli pun.
“Pergilah simpan barang, dan berehat. Mia tentu letih!” ujar papa bila melihat Damia Azra tekun melihat gambar yang tergantung besar di ruang tamu. Damia Azra patuh, walaupun hatinya mahu bertanya tentang perasaan papa terhadap mama. Bekas isterinya itu.
“Baik, papa!” jawabnya. Dia menuju ke bilik yang sememangnya dikhaskan untuknya. Rasanya papa memang sudah menunggu kepulangan dan kehadirannya. Bilik ini berwarna serba pink kerana sejak dari dulu memang dia sukakan warna pink.  Ada bintang-bintang dan bulan di dinding biliknya. Bilik ini hampir sama dengan biliknya di banglo mewah dulu. Semuanya masih sama kerana papa yang mahukan rekaan seperti ini.

Siap mengemas segala pakaian, dia terus mandi dan ingin berehat saja di dalam bilik sebelum keluar berjumpa dengan papa. Rindu pada papa belum pun usai. Tentu papa ada banyak cerita untuk dikhabarkan kepadaku. Dia hanya menghantar sms kepada Aisya memberitahu akan hal dirinya tetapi di handphonenya sekarang ada tiga mesej yang diterima datangnya dari abah. Abah yang mahu tahu tentang akan dirinya.
“Abah, Mia ada kat Langkawi dah ni!” beritahu Damia Azra. Dengan abah tidak boleh main hantar sms sebarangan, harus ada perasaan hormat kepada abah. Lain lah Aisya.
“Ooo, seronok sangat ke Langkawi tu sampaikan kamu lupa pada abah. Tak call abah, sms pun tak!” marah abah berkecil hati barangkali.
“Tak lah, sibuk angkat beg, sibuk naik bot, tu yang tak sempat call abah!” jelasnya sambil membelai rambut sendiri.
“Nanti jangan lupa beli buah tangan bawa balik untuk abah yer!” pesan Dr. Luzman. Hah?? Saya tak mungkin pulang ke sana untuk masa terdekat inilah abah.
“Insya allah!”  jawab Damia Azra. Belum masanya lagi aku beritahu hal sebenar kepada abah. Takut abah tidak boleh menerima berita ini.
“Okeylah, jaga diri kamu baik-baik!”
“Abah pun, jaga diri abah yer!” ujar Damia Azra sambil tersenyum. Ah, sekarang sudah ada dua lelaki yang mengambil berat tentang diriku iaitu abah dan papa. Tengku Farel Hakimi pula bagaimana Mia? Huish, tak mahulah aku dengan kebaikan mamat tu. Mak dengan anak sama saja. Ingat darjat boleh di bawa ke akhirat ke? Iman sajalah orang bawa sebagai bekalan.
“Mia, buat apa lama sangat kat dalam bilik tu?” jerit papa dari luar.
“Kenapa papa?” soalnya kembali.
“Papa nak ke Pekan Kuah dengan Farel, kamu nak pesan apa-apa tak?” soal papa.
“Boleh tak pergi dengan orang lain, Mia tak suka lah si Farel tu!” jawabnya sambil membuka daun pintu biliknya. Papa tersengih. Inilah perangai Damia azra sebenarnya, suka berterus terang, tidak pandai menyimpan di dalam hati.
“Kenapa dengan Farel? Dia buat apa dengan kamu, Mia!”
‘Dia buat macam-macam lah papa dekat anak papa nih!”
“Dia pikat kamu ke?” usik papa. Damia Azra mengelengkan kepalanya. Papa membelai rambut anaknya dengan mesra. Perangai orang muda macam itulah, mula-mula benci lama-lama sayang pula. kalau sayang bagaimana Mia?
“Mia tak sudi lah dengan orang yang berlagak seperti Tengku Farel tu!”
“Okeylah papa faham. Nanti kalau kamu nak apa-apa minta dengan kak lina kau yer. Papa pergi dulu!” 

Damia Azra menghantar papa sampai ke muka pintu. Rupanya lelaki itu sudah pun menunggu papa di luar dengan kereta hondanya berwarna biru. Kereta lain pula? Berapa banyak kereta yang kau ada agaknya? Tiga ? Atau Empat?
“Mia tak ikut?” soal Tengku Farel Hakimi bila melihat Damia Azra muncul.
“Dari saya ikut awak lebih baik saya lena di dalam bilik,” jawab Damia Azra garang.
“Anak dara tak elok lena  waktu siang lah, nanti tak laku!” sindir Tengku Farel Hakimi. Tak gunanya kata aku tak laku depan papa aku, dia nih memang tak sayang mulut langsung.
“Jomlah, nanti lewat pula!” ajak papa. Bergaduh sampai tak ingat dunia budak-budak ni. Hai, takut bergaduh nanti jatuh hati pula.

Tentu hubungan papa dengan Tengku Farel Hakimi rapat, sebab ternampak dengan jelasnya keakraban antara mereka berdua. Seperti hubungan seorang anak dengan ayahnya. Mungkin kerana papa tidak mempunyai anak lelaki sebab itu hubungan mereka berdua menjadi rapat. Penemuan yang tidak disangka ini telah menukarkan diri siapa diri papa yang sebenar. Papa sudah banyak berubah, mungkin kerana mendapat pengajaran dan keinsafan semasa berada di dalam penjara bertahun lamanya.

Damia Azra menuju ke bilik kerana mahu berehat sepuas hatinya. Mahu beradu terlebih dahulu.  Angin pantai sungguh nyaman sekali. Mata pun sudah berpinau dibuatnya. Mengantuk! Dia terlena dengan hembusan angin pantai dan dibaluti mimpi-mimpi indah saja. Mimpi yang bahagia dan mengembira.
“Mia, Mia!’ kejut papa. Damia Azra membuka matanya. Kelihatan wajah papa.
“Papa..,” ucapnya manja.
“Bangunlah, dah lewat ni?”
“Pukul berapa, papa?”
“Dah enam setengah!” jawab papa. Damia Azra bingkas bangun. Tak solat asar lagilah. Lamanya aku tidur, mujurlah tadi dah solat zohor, kalau tidak terlepas aku.
“Atas katil ada kain telukung untuk solat dan sedikit kain tudung, papa nak Mia pakai tudung selepas ni. Jaga aurat Mia, rambut tu biar lelaki yang bernama suami saja yang melihatnya!” ucap Papa tegas. Damia Azra memandang ke arah papa. Papa ni Mia tak selesa lah pakai tudung. Panas!
“Tapi papa..,”
“Berdosa kalau tak pakai tudung, Mia. Mia mahu papa berdosa sama kah dengan apa yang Mia lakukan?”
“Papa, jangan lah cakap macam tu..,”
“Kalau gitu Mia kena biasakan diri dengan memakai tudung!”  ujar papa sambil keluar dari bilik Damia Azra.

Damia Azra memandang kain tudung di atas katil. Ada hampir sepuluh helai semuanya. Fesyen terkini dan moden pula. Tak kan lah papa yang memilihnya, kerana ini citarasa orang muda, bukan orang tua seperti abah. Jangan-jangan Tengku Farel Hakimi yang memilihnya bukan papa yang memilihnya? Kalau lah benar... hmmm..

Terharunya kerana dapat solat berjemaah dengan papa sahaja. Malah papa yang menjadi imamnya. Dia menjadi makmum di belakang. Setiap kali sujud, air matanya mengalir membasahi kain sejadah. Entah lah, perasaan terharunya datang menjelma di tangkai hati. Benar, dia terharu kerana selama ini dia sudah lama kehilangan arah dan tujuan.  Tiada siapa yang sudi membimbing dirinya. Tiada sesiapa pun yang sudi memimpin tangannya. Mujurlah ada papa!
‘Selesai solat maghrib, Mia ikut papa ke rumah tok yer!” beritahu papa sambil bangun menyidai kain sejadah. Mereka berdua sembahyang di ruang tamu saja.
“Untuk apa papa? Mia malas lah nak pergi rumah tok!”  jawabnya. Tok dengan tok wan tu saudara Tengku Farel Hakimi, ada kaitan pula dengan Tengku Fayyad, kalau lah mereka tahu akulah perempuan yang ada kaitan dengan Tengku Fayyad, bagaimana reaksi mereka nanti? Boleh kah aku menyimpan rahsia ini?
“Jom lah, sampai di sana nanti tahu lah!” ajak papa bersungguh-sungguh. Aduh, tak sanggup berhadapan dengan Tengku Farel Hakimi lagi.  Kenapa lah mesti ada Tengku Farel Hakimi di sini? Alang kah indahnya andainya ada papa dan aku saja? Aku ingin melupakan segala cerita lama dan membuka buku baru untuk tinggal dengan papa di sini, tetapi mestikah aku membawa bersama Tengku Farel Hakimi dalam setiap muka surat buku baru yang bakal aku tulis ceritanya bersama papa?  Mestikah?

Papa seakan tahu Damia Azra tidak pandai memasak, tidak mahir di dapur, maka papalah yang memasaknya. Nasi putih, ayam goreng dan gulai ikan tenggiri. Sedapnya haruman masakan gulai ikan yang papa masak membuatkan Damia Azra kelaparan pula. Aduh, gemuklah kalau begini. Tengah hari tadi sudah makan nasi di rumah tok, malam ini makan nasi di rumah bersama papa pula.
“Banyaknya papa masak!” tegur Damia Azra apabila melihat papa masak banyak, bukan untuk mereka berdua saja.
“Farel dan Safuan suami isteri hendak datang malam ini, selalunya Farel yang temankan papa, tetapi malam ini Safuan pun nak datang sekali!” beritahu papa. Hmm, datang lagi. Aku tak suka kau, kau datang lagi kerap yer.
‘Ooo..,”
“Farel tu dah macam anak papa, Mia.  Tiap-tiap malam dia lah yang datang berbual dengan papa. Dia tu budak baik, Mia!’ puji papa membuatkan Damia Azra mahu termuntah saja. Baik dari pandangan mata papa lah bukan dari kaca mata saya pun.
‘Dia tidur sini ke papa?” sengaja dia bertanya begitu? Mana tahu tidur di sini.
“Tak lah. Dia tidur di resortnya lah. Kadang-kadang dia tidur di rumah tok dan wan!” terang papa. Leganya mendengar penjelasan dari papa. Ingatkan tidur di sini.

Hmm, aku kena cakap dengan Tengku Farel Hakimi supaya dia merahsiakan apa yang dia tahu tentang diriku. Aku tidak mahu papa tahu hubungan aku dengan Tengku Fayyad dan aku tidak mahu papa tahu kejadian Muiz Afendy yang mahu mencabul kehormatan diriku tempoh hari. Aku tidak mahu papa merasa susah hati dengan kejadian-kejadian malang yang menimpa diriku.

Rasanya kena cepat beritahu Tengku Farel Hakimi sebelum dia datang berjumpa dengan papa malam ini. Jam sudah menunjukkan ke angka tujuh malam. Mahgrib di sini pukul berapa? Kalau di Melaka, jam 7.24, lebih kurang lima enam minit masuk lah solat mahgrib di sini yer. Tak sempat dah rasanya aku hendak berjumpa dengan mamat meroyan tu.

Tapi kalau tunggu esok, lambat lah pula, malam ini dia datang mesti dia cakap tentang aku. Sudahlah mulutnya itu celupar nombor satu di Malaysia.  Telefon saja atau pun mesej? Telefon la cepat sikit.
“Papa, Mia masuk ke bilik sekejap yer!” pinta Damia Azra.
“Pergilah, tukar pakaian tu sama, nanti pakai baju kurung yer!” pesan papa.
“Okey papa!’

Dia berlari masuk ke dalam bilik dan mencapai telefon bimbitnya. Di tekannya nombor telefon orang yang paling dibencinya di dunia ini iaitu Tengku Farel Hakimi. Lambatnya lelaki itu mengangkat membuatkan dia keresahan.  Dua kali dia menelefon tetapi lelaki itu tidak mengangkatnya.

Damia Azra kehampaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan